5
“Lia….” Encik Fakhri mengikut langkah isterinya yang wajahnya mencuka. Dia tahu puan Aulia masih marahkan Qasyaf walaupun benda itu sudah lama berlalu.Puan Aulia merebahkan punggungnya di atas sofa bilik mereka. Berat benar keluhan yang dia lepaskan. Tangan kanannya memicit kepala yang sudah berserabut dengan masalah anaknya itu, Qasyaf Ilmi!
“Lia, saya minta sangat awak ubah layanan awak dekat anak kita itu. Lupakan apa yang dah berlaku dua tahun lepas. Masa tu dia mentah lagi. Kesian dia saya tengok. Lepas satu.. satu yang menggangu.” Keras hati isterinya itu memang sangat sukar untuk dilunturkan. “Lia, awak dengar tak apa yang saya cakapkan ni?” Tanyanya apabila puan Aulia tidak memberi sebarang respons.
“Hmm saya dengar. Telinga saya ni dah bernanah dengar ayat yang sama awak ulang.” puan Aulia masih dalam posisinya yang sama. Memicit kepalanya. “Awak percaya benda tu lagi? Syaf tu penuh dengan helah, saya ni bunda dia, tahulah saya perangai Qasyaf Ilmi tu macam mana.”
Memang Qasyaf dua tahun lepas penuh dengan helah, keras kepala, degil dan suka melawan tapi itu semua Qasyaf yang dulu. Qasyaf sebelum peristiwa itu berlaku. Masih tidak perasan ke isterinya ini?
“Awak tak sedar lagi ke Lia? Syaf yang dulu dah lama menghilang. Dia Syaf yang lain, yang pendiam, yang suka menyendiri dan yang penuh dengan rahsia. Awak tolonglah maafkan dia. Tolong jangan benci dia lagi. Kita dah hilang satu, awak nak hilang satu lagi ke?” Nada suara encik Fakhri penuh dengan nasihat. Dia memang seorang ayah dan suami yang tidak cepat melenting.
Mata puan Aulia memandang tajam ke dalam anak mata suaminya. Satu yang hilang itulah yang sangat berharga baginya. Tiada gantinya. “Saya malas nak masak hari ni. Kita makan luar je lah.” Dia mula mengubah topik. Setiap kali suaminya menyuarakan tentang perkara itu, pasti dia tidak betah. Dia bukan benci Qasyaf, jauh sekali untuk tidak menganggapnya sebagai seorang anak. Tetapi dia masih terluka dengan perbuatan Qasyaf. Kedegilan Qasyaf yang membuatkan hatinya keras.
Seperti yang dijangka, isterinya pasti mengubah topik. “Nak makan mana?”
Puan Aulia capai tuala yang bersangkut disebelah pintu bilik air. “Mana-mana je. Jangan jauh sangat dah lah.”
“Okay. Saya pergi beritahu anak-anak.” encik Fakhri capai tombol pintu. “Lia, jangan sudah terjatuh baru nak tergandah. Hidup ni singkat je. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik. Yang hilang memang tak ada galang gantinya tapi yang masih ada, jangan lupa hargai.” Terus dia membuka langkah keluar dari bilik dan meninggalkan puan Aulia keseorangan memikirkan ayatnya itu. Dia ingin isterinya sedar akan kesilapannya.
Qausar yang duduk disebelah Qoyyim yang sudah terlentok disisinya, menurunkan sedikit tingkap kereta. Angin malam yang sejuk membelai lembut dirinya. Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas makan malam disebuah kedai makan yang memakan masa setengah jam dari rumah mereka. Pada mulanya mereka ingin makan dikedai yang berdekatan tetapi semuanya penuh dengan orang. Takut lambat menunggu, papa mencadangkan kedai makan yang mereka makan tadi.
Qasyaf terjaga apabila terasa angin sejuk menyinggah tubuhnya. Dapat dia lihat Qausar yang sedang khusyuk menghirup udara malam dihadapan kerusinya. Cuaca malam ni agak sejuk dengan angin lembut bertiup sepoi-sepoi bahasa.
‘Pap!’Bunyi sesuatu yang jatuh ke atas bumbung kereta mereka. Qasyaf mula tidak keruan apabila ada rambut panjang yang terjuntai ditingkap ditempat Qausar menghulurkan tangannya. Qausar masih dalam posisi sama tanpa merasa janggal ataupun seram sejuk. Walhal ada benda yang bertenggek di sisinya saat ini.
Makhluk itu sudah mula menurunkan wajahnya yang betul-betul bertentangan dengan Qausar. Jarak mereka tersangatlah dekat.
“Abang!” Jerit Qasyaf ketakutan.
YOU ARE READING
HIJAB QASYAF {Terbitan Jun 2019}
HorrorKisah yang terinspirasi dari kisah benar yang diolah dan ditokok tambah. BLURB HIJAB QASYAF - RM23/RM26 Hijab Qasyaf bukanlah hadir dengan semula jadi, tapi hijabnya terbuka atas hatinya yang hitam dan dendamnya dengan Nada, kakaknya. Qasyaf Ilmi me...