PUAN Fatimah sedang bersiap untuk ke rumah tok ketua. Tudung yang disangkut di belakang pintu bilik segera dicapai. Kakinya segera melangkah untuk keluar. Sebelum itu sempat juga dia membancuh teh panas dan memasak cucur manis dan dihidang di atas meja makan buat anak tunggalnya, Laila.
"Mak...mak!" laung Laila yang baru keluar daripada biliknya mencari ibunya di ruangan dapur.
Tiada sesiapa pun yang kelihatan. Tudung saji yang terletak di atas meja makan segera diangkat. Kelihatan teh panas dan cucur manis kegemarannya terhidang membuatkan Laila tersenyum bahagia.
Bzzz...bzzz...
Tiba-tiba sahaja telefon bimbitnya menerima pesanan daripada Dahlia melalui aplikasi Whatsapp. Matanya membutang apabila membaca mesej itu. Kuih cucur manis yang ditelan juga berasa pahit.
L : Kak Aisyah baru meninggal dunia malam tadi.
Laila terkebil-kebil tidak percaya. Sungguh tidak disangka Kak Aisyah, anak tok ketua yang amat dikenalinya itu telah pergi meninggalkan mereka. Telah pergi buat selamanya sedangkan baru beberapa minggu lepas mereka berbual dan dia diberitakan tentang Kak Aisyah yang sedang mengandungkan anak sulungnya.
"Apa yang berlaku kepadanya?" desis hati Laila melonjak ingin tahu.
Pantas Laila bangkit dan meninggalkan meja makan. Dia bersiap ala kadar sebelum bergegas meninggalkan rumahnya menuju ke rumah tok ketua. Dahlia dan Qaseh sudah menunggunya di sana.
Dari jauh lagi sepasang mata Laila menangkap kelibat penduduk kampong yang sudah memenuhi kawasan rumah Tok Ketua. Dia tertinjau-tinjau, mencari-cari kelibat dua orang sahabatnya itu. Terlihat Dahlia dan Qaseh sedang duduk bersimpuh di sudut tepi ruang tamu rumah Tok Ketua. Wajah mereka sugul, sedih akan pemergian Kak Aisyah yang dirasakan terlalu mendadak. Tanpa sedar, air mata Laila mengalir deras.
"Bila arwah pergi?" soal Laila menahan sebak
Qaseh yang berada di sebelah hanya memandang sayu jenazah Kak Aisyah yang sedang diusung untuk dimasukkan ke dalam keranda. Van jenazah pula sudah lama menunggu di laman rumah.
"Malam tadi, masa melahirkan anak sulungnya," ujar Dahlia mencelah sambal matanya kekal memerhati ke arah van jenazah yang sudah mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan laman rumah Tok Ketua.
Segala urusan pengebumian jenazah Kak Aisyah selamat diselesaikandi tanah perkuburan Kampong Nanjingga selepas Zohor. Riuh-rendah keadaan di rumah Tok Ketua waktu itu. Penduduk kampong saling berbincang akan kenduri arwah dan bacaan tahlil serta yasin yang akan diadakan di Masjid Nanjingga malam nanti.
Tok Ketua berasa amat sedih, tetapi tiada apa yang mampu dilakukan semuanya sudah ditentukan oleh Allah SWT. Kullun nafsin dzo iqotul maut. Setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati. Itulah hukum yang hakiki.
LAILA bermenung jauh. Fikirannya melayang-layang entah ke mana. Hatinya merusuh mengenangkan pemergian Kak Aisyah membuatkan Dahlia dan Qaseh berpandangan sesama sendiri.
"Dahlah tu Laila. Yang pergi biarkan pergi, kita yang hidup ni perlu teruskan hidup," ujar Qaseh lalu menolak bahu Laila yang sedang mengelamun.
"Aku tahu tu, Qaseh. Cuma, aku macam teringatkan sesuatulah," Laila berdecit perlahan dengan kening yang bersatu seakan sedang memikirkan sesuatu.
"Apa dia?" Dahlia dan Qaseh bertanya serentak. Laila yang berdiri terus duduk menghadap kedua kawan baiknya itu.
"Kau orang ingat tak apa yang jadi malam tadi?" ujar Laila sedikit berbisik namun masih mampu didengar dengan jelas.
YOU ARE READING
The Ghost Girl S1
HorrorAngkara satu ulah nakal tiga sahabat di Pekan Nanjingga, hidup mereka terus-terusan dihantui sesuatu. Sesuatu yang tidak mampu dilihat dek mata kasar. Sesuatu yang tidak dapat dirungkaikan apa sebabnya. Kehadiran satu demi satu si pengacau benar-ben...