Dua bulan sebelum...
DAHLIA berjalan menghampiri pondok di simpang masuk ke Pekan Nanjingga. Di situ, Laila dan Qaseh sudah siap menunggu sambil berbual sesama sendiri. Dahlia mengangkat tangan seraya melambai ke arah kedua-dua sahabat baiknya yang ralit merenung ke arahnya.
"Lambatnya kau!" jerkah Qaseh.
Jam tangan yang terikat elok di pergelangan tangannya ditalakan ke arah Dahlia. Seolah-olah menyindir sikap gadis itu yang tidak menepati masa. Laila yang memerhati pantas menganggukkan kepala.
"Ha'ah, betul tu! Bersawang dah kita orang tunggu kau kat sini. Mana kau pergi?" soal Laila dengan muka cemberut.
Dahlia hanya diam sambil menayangkan muka tidak beremosi. Melihatkan tingkah dua sahabatnya yang berapi-api, spontan tangannya menggaru kepala yang tidak gatal. Hendak tidak hendak, terpaksa juga ditelan kerenah dua sahabatnya itu.
"Sorry. Tadi ibu aku suruh aku pergi kedai. Tu yang lambat sikit," ujar Dahlia sambil berjalan merapati kedua-dua mereka.
Lantai pondok yang bertaburan dengan helaian daun kering disapu dengan kedua belah telapak tangan. Kemudian dia menepuk kedua belah telapak tangannya sebagai tanda dia membuang habuk yang melekat di situ.
"Ada aje alasan kau. Sikit-sikit guna nama ibu kau. Ibu suruh pergi kedailah, ibu suruh petik sayurlah," sindir Qaseh.
"Betullah Qaseh. Ibu aku suruh aku pergi kedai Pak Mat tadi. Gula habis..." balas Dahlia dalam nada mendatar.
Qaseh mencebikkan bibir. Bengang dengan sikap Dahlia yang dirasakan terlalu banyak beralasan. Hatinya pula bertambah bengang melihatkan sikap Dahlia yang bersahaja menayangkan muka tidak beremosi.
"Dahlah tu, takkan pasal lambat sikit pun kau orang nak gaduh?" tegur Laila, tenang.
Selalunya di dalam keadaan tegang begitu, Laila lebih suka bertindak sebagai pendamai. Tidak hairanlah kalau Qaseh dan Dahlia memanggilnya sebagai ahli jaksa pendamai sekiranya ada pertelingkahan yang berlaku di antara mereka bertiga.
"Qaseh yang nak gaduh, aku tak..." ujar Dahlia, masih lagi dalam nada yang sama
"Kau pun sama, L. Lain kali cubalah tepati masa sikit. Naik haus tekak aku tunggu kau tadi. Dengan panas teriknya ni," marah Laila sambil menjenguk ke dada langit.
Matahari yang tegak di atas kepala membuatkan peluh turun menderu-deru. Basah lencun belakang bajunya disimbah dengan peluh. Kata-kata Laila membuatkan Dahlia mengangguk kecil.
"Sorry," balas Dahlia perlahan.
Qaseh membetulkan duduknya. Belakang tubuhnya disandarkan pada tiang pondok itu. Kedua tangannya memeluk erat kepala lutut yang dibawa rapat ke dada. Laila sekadar menggelengkan kepala. Malas mahu menambah cerita. Kelak tidak pasal-pasal membuahkan satu lagi pertengkaran di antara Dahlia dan Qaseh.
Suasana sepi seketika. Ketiga-tiga mereka duduk membungkam seolah tidak ada apa yang boleh dibualkan. Lama mereka mendiamkan diri sebelum Dahlia tiba-tiba sahaja bersuara.
"Tadi masa aku pergi kedai Pak Mat, aku ada dengar satu cerita," ujar Dahlia tiba-tiba.
Sekaligus memecahkan kesunyian yang menguasai pondok kecil itu.
Qaseh menjeling Dahlia dengan ekor mata manakala Laila mula menunjukkan minat untuk mendengar cerita seterusnya dari Dahlia."Cerita apa?" soal Qaseh.
Dahlia membetulkan duduknya. Silanya dirapatkan hingga duduknya terasa selesa. Setelah dirasakan segalanya sempurna, barulah dia kembali membuka mulut, berkongsi cerita bersama Qaseh dan Laila.
YOU ARE READING
The Ghost Girl S1
TerrorAngkara satu ulah nakal tiga sahabat di Pekan Nanjingga, hidup mereka terus-terusan dihantui sesuatu. Sesuatu yang tidak mampu dilihat dek mata kasar. Sesuatu yang tidak dapat dirungkaikan apa sebabnya. Kehadiran satu demi satu si pengacau benar-ben...