"AKU datang Laila! Aku datang seperti yang telah kau hajatkan!" seru satu suara membuatkan tangkai jantung Laila bagaikan direntap keluar.
Dengan dada yang berdebar-debar, dia cuba menjauhi muka tingkap namun langkahnya bagaikan terbejat. Kedua belah kakinya bagaikan melekat di lantai bilik membuatkan batang tubuhnya kekal kaku di situ.
"Ke marilah Laila. Ke marilah. Ikut aku, dan akan aku tunaikan segala kehendakmu," suara itu bergema lagi di balik dinding sebelah sana.
Peluh yang memang sudah membasahi wajah semakin sakan merembes keluar. Badannya sudah mula menggigil. Kedua belah kakinya semakin longgar mahu menampung bebanan tubuh namun Laila masih kekal membeku di tempatnya berdiri. Dia langsung tidak punya kekuatan untuk berlari pergi.
"Laila...ke marilah! Aku sudah datang seperti mana yang kau hajatkan. Ke marilah...kehendakmu akan aku tunaikan," susuk tubuh itu bersuara lagi buat kesekian kalinya.
"Ha...hajat...hajat apa? Kehendak apa?" balas Laila tergagap-gagap.
He he he.
Susuk tubuh itu menghambatkan hilaian tawa yang agak panjang dan mendayu. Hilaian tawa itu kedengaran sayup di pendengaran telinga hingga melahirkan satu rasa yang luar biasa. Semerta reroma Laila merinding tegak. Belakang lehernya juga dirasakan kembang tidak semena-mena.
Sekonyong-konyong, muncul susuk tubuh itu betul-betul di hadapan mata. Dia menyeringai lebar, membuatkan mulutnya yang terkoyak bagaikan rabak hingga ke telinga. Sinaran matanya bercahaya berkilauan merah menyala.
"Allah! Pergi! Pergi!" lantang Laila menjerit sebaik pandangan matanya terpalit pada susuk tubuh yang masih menyeringai keseraman.
"Aku datang Laila...aku datang seperti yang telah kau hajatkan," ujar susuk tubuh itu sebelum dia mengekek tertawa.
"Mak!!! Tolong Laila mak! Tolong Laila! Allah!" Laila meraung kuat apabila matanya terkesan susuk tubuh itu melangkah perlahan merapati dirinya.
Sekuat tenaganya dia cuba menggerakkan batang tubuh yang bagaikan dikuasai satu tenaga. Dengan bersusah payah, akhirnya dapat juga Laila bebas dari bejatan tenaga yang dia sendiri tidak tahu dari mana. Sebaik sahaja batang tubuhnya berjaya dikawal, laju Laila mengatur larian kencang. Tidak dipedulikan langsung susuk tubuh yang sedang mengilai mentertawakan dirinya.
Daun pintu yang bertutup rapat segera dirapati lalu dikuak kasar. Menderu Laila berlari meninggalkan biliknya menuju ke luar. Langsung tidak dihiraukan langkahnya yang bersimpang dan sumbang.
"L! Tolong aku L! Tolong aku! Qaseh! L! Tolong aku!" kuat jeritan Laila melantun keluar sebaik pandangan matanya memanah ke arah batang tubuh Dahlia dan Qaseh yang berdiri terpacak membelakangkan dirinya.
Langkah kakinya diatur mendapatkan Dahlia dan Qaseh yang masih berdiri terpacak dengan kepala yang ditundukkan ke bawah mengukur lantai rumah. Sempat diraup mukanya yang basah dek peluh sebelum tangannya menggagau memegang bahu Dahlia, sahabat yang paling hampir dengannya.
"L! Qaseh!" tegur Laila dengan nafas yang tercungap-cungap.
Perlahan-lahan kedua sahabatnya itu mengangkat muka, memandang tepat ke anak mata Laila membuatkan gadis itu ternganga lebar dengan mata yang terbelalak besar. Tangkai jantung Laila kembali bagaikan direnjat kuat. Dia berdebar-debar dengan batang tubuh yang mula menggigil hebat.
"L...Qa...Qaseh? L..." tergagap-gagap Laila mengungkap kata.
Pusat pandangannya masih tertumpu pada wajah kedua sahabatnya itu. Wajah yang jauh benar dari rupa asalnya. Riak wajah Dahlia dan Qaseh ternyata berbeza. Keduanya berpucat lesi dengan gelungan kehitam-hitaman di bawah mata. Calar-balar ada di merata wajah kedua sahabatnya itu. Bibir Dahlia pecah manakala pipi Qaseh terkoyak hingga menitiskan darah.
YOU ARE READING
The Ghost Girl S1
HorrorAngkara satu ulah nakal tiga sahabat di Pekan Nanjingga, hidup mereka terus-terusan dihantui sesuatu. Sesuatu yang tidak mampu dilihat dek mata kasar. Sesuatu yang tidak dapat dirungkaikan apa sebabnya. Kehadiran satu demi satu si pengacau benar-ben...