BAB 11

87 3 0
                                    


"APA yang kita nak buat ni, Qaseh? L?" ujar Laila dengan nada suara yang cemas.

Pertanyaan Laila hanya terbiar sepi tidak berjawab. Qaseh dan Dahlia hanya mendiamkan diri dengan kepala yang menunduk. Sesekali, terdengar keluhan berat dilepaskan Qaseh sebelum dia mengerling ke arah Dahlia lalu kembali menundukkan kepalanya.

"Kau orang dengar tak aku cakap apa ni? Takkan nak diam je?" Laila bersuara lagi dengan nada yang sedikit membentak melihatkan tindak balas dua sahabatnya yang ternyata kosong.

"Manalah kita orang tahu nak buat apa, Laila," ujar Qaseh perlahan.

Qaseh mengangkat muka, merenung ke wajah Laila yang nyata gelisah. Agak lama dia memandang ke arah Laila sebelum dibuang pandang ke wajah Dahlia yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.

"L..." panggil Qaseh perlahan membuatkan Dahlia mengangkat mukanya.

"Aku tak tahu...aku tak tahu apa yang patut kita buat sekarang," ujar Dahlia sebelum dihempaskan keluhan resah.

Dahlia kembali menunduk. Fikirannya sarat dek perkara-perkara yang dirasakan tidak masuk akal. Mustahil...memang mustahil...hatinya mendesis sendiri. Secara tidak langsung, dia turut menggeleng perlahan.

"Aku tak sangka benda tu betul-betul jadi," gumam Dahlia tanpa sedar.

"Ni semua salah kau, L!" ujar Laila tiba-tiba sambil merenung tajam ke anak mata Dahlia.

"Salah aku?" soal Dahlia kembali.

Pandangan matanya dilarikan ke wajah Qaseh yang jelas tergamam mendengarkan kata-kata Laila. Terkebil-kebil matanya memerhatikan wajah Laila yang perlahan-lahan merona merah, kegeraman.

"Ye! Salah kau! Kalau kau tak cadangkan permainan bodoh tu, semua ni tak jadi! Apa benda Ouija tu? Permainan panggil hantu?" balas Laila agak keras membuatkan Dahlia terdiam.

"Kita tak boleh nak salahkan L seorang, Laila. Kita pun main sama," bidas Qaseh, cuba membela Dahlia yang kembali menunduk.

"Kau pun sama Qaseh! Kalau tak kerana permintaan gila kau yang nak sangat tengok benda-benda ni semua, L takkan cadangkan permainan bodoh tu! Ni semua salah kau orang! Salah kau orang!" ujar Laila lagi dalam nada yang keras.

"Apa ni Laila? Kau cakap apa ni? Bukan kita sama-sama pergi ke banglo tu ke? Kau sedar tak yang kita sama-sama main permainan tu? Sedar tak, Laila?" ujar Qaseh perlahan, namun tetap berbaur keras.

"Ada aku cakap aku nak main permainan gila tu? Kau orang yang paksa aku, kan? Aku dah cakap, jangan! Jangan! Jangan! Kau orang nak jugak pergi! Nilah yang mendapat ni!" bentak Laila membuatkan Qaseh dan Dahlia merenung ke wajahnya yang jelas sudah mula menyinga.

"Ok! Ok! Laila, sabar! Aku tahu salah aku sebab cadangkan Ouija. I'm sorry, okay? Aku tak sangka benda ni menjadi. Aku ingatkan Ouija ni cuma mainan bodoh untuk budak-budak pengecut je," bidas Dahlia.

Laila tidak membalas, malah dia menundukkan kepalanya sahaja. Melihatkan tingkahnya itu, Dahlia lantas membuang pandang ke wajah Qaseh yang turut menoleh ke arahnya sebelum keduanya mengeluh perlahan. Mereka sempat mengerling ke arah tangan Laila yang menggeletar. Mereka tahu Laila sedang diserang ketakutan.

"Laila, kita orang tahu kau takut. Kita orang pun takut jugak, tapi no matter what, janganlah macam ni. Apa pun yang jadi, kita kena sama-sama selesaikan sebab benda ni jadi kita yang sama-sama mulakan," ujar Qaseh sebelum dicapainya tangan Laila yang menggigil lalu digenggam erat.

"Puas dah Qaseh? Puas dah bila kau dah nampak apa yang kau nak sangat nampak? Puas dah ke atau kau masih nak tengok lagi?" ujar Laila sedikit sinis lalu merentap tangannya yang dipegang Qaseh.

The Ghost Girl S1Where stories live. Discover now