"QASEH!" jerit Dahlia setelah mereka berlari agak jauh dari rumah Orang Kaya Selamat.
Laila yang mengekori langkahnya daripada belakang turut sama menarik nafas lelah. Diperhatikan juga keadaan Qaseh dan Dahlia yang sama termengah-mengah. Merah padam muka mereka menghirup oksigen yang terasa sendat di dalam paru-paru.
Qaseh menggapai batang pokok kayu yang berceracak tinggi di depan matanya. Perlahan dia menyandarkan belakang tubuhnya pada batang pokok itu. Kemudiannya, Qaseh membongkok sedikit. Nafas kelelahan sedaya-upaya dilepaskan perlahan-lahan. Peluh lencun semakin lebat membasahi baju yang disarungkan ke tubuhnya.
"Kau nampakkan tadi?" soal Dahlia setelah nafas diatur dengan lebih selesa.
"Nampak!" balas Laila laju seraya mengangguk pantas, mengiyakan pertanyaan Dahlia.
Dahlia mula merebahkan punggungnya ke atas tanah yang bersepah dengan daun-daun kering sebaik kata-kata Laila hinggap di telinganya. Benarlah apa yang dilihatnya selama ini. Dan apa yang dilihatnya selama ini bukanlah semata-mata mainan ilusi matanya sahaja.
Qaseh pula sekadar menyeka peluh yang mengalir laju dan berbintil di atas dahi. Sepatah kata pun tidak terkeluar dari mulutnya. Timbul rasa kesal kerana meragui kata-kata Dahlia sebelum ini. Kali ini, dia melihat dengan matanya sendiri. Belaan Orang Kaya Selamat yang mengganggu kesejahteraan satu Pekan Nanjingga.
"Memang betullah sangkaan kau selama ni, L! Kecurian yang jadi dekat rumah aku tu belaan orang tua tu punya kerjalah!" bentak Laila sedikit kasar, sengaja meluahkan rasa amarah yang berbekas di hati.
"Kau orang dengar tak tadi? Toyol tu nak pergi mencuri dekat rumah Pak Husin pulak," ujar Qaseh tiba-tiba dengan muka berbaur kerisauan.
"Habis tu...habis tu kita nak buat apa?" soal Laila teragak-agak.
Wajahnya yang tadinya mula merona merah kini kembali pucat. Dia mula menggigil ketakutan. Darahnya berderau tidak semena-mena. Terbayang-bayang susuk tubuh kenit toyol itu dengan kepala botak dan mata yang bersinar merah menyala duduk menyeringai ke arah mereka.
"Kita kena buat sesuatu. Takkan kita nak duduk tercongok aje macam ni. Betul tak, L?" ujar Qaseh seraya memandang ke arah Dahlia yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
Dahlia hanya mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan Qaseh. Orang Kaya Selamat benar-benar sudah melampau. Semakin hari, kes kecurian semakin menjadi-jadi. Apatah lagi setelah rumah Laila turut menjadi mangsa toyol belaannya.
Entah mengapa, tiba-tiba ibu jari kaki Dahlia yang menjadi sasaran gigitan toyol belaan Orang Kaya Selamat terasa berdenyut. Pantas Dahlia melurut ibu jari kakinya. Kebas lehernya seketika mengingatkan kejadian toyol yang menggigit ibu jarinya dan menghisap darahnya malam itu.
"Kau pun nasib baik tak mati kering, L! Kalau tak, tak pasal-pasal darah kau habis kena minum dengan toyol orang tua tu," tokok Qaseh lalu tersengih lebar.
Dahlia berdecit perlahat sebelum merenung tajam ke wajah Qaseh yang masih tersengih kesukaan. Dia merasa tidak selesa dengan gurauan sahabatnya itu yang dirasakan agak berlebihan. Hal itu menarik perhatian Laila yang hanya memerhati sebelum dia menggeleng perlahan.
"Jadi, kita nak buat apa sekarang?" soal Laila dalam nada yang agak perlahan.
Hari sudah semakin larut malam. Perasaan tidak enak semakin mencucuk-cucuk hatinya. Sesekali dia melingaskan anak matanya ke atas dahan-dahan kayu yang melayut di atas kepala. Tidak semena-mena bayangan penanggal yang pernah mengejar mereka satu ketika dulu terbias di depan mata.
YOU ARE READING
The Ghost Girl S1
TerrorAngkara satu ulah nakal tiga sahabat di Pekan Nanjingga, hidup mereka terus-terusan dihantui sesuatu. Sesuatu yang tidak mampu dilihat dek mata kasar. Sesuatu yang tidak dapat dirungkaikan apa sebabnya. Kehadiran satu demi satu si pengacau benar-ben...