LAILA memandang wajah kedua-dua kawan baiknya silih berganti. Mereka bertiga masih terkejut dengan kejadian semalam. Mana tidaknya, Bidan Juraiah tiba-tiba sahaja bertukar menjadi penanggal.
"Gilalah! Penanggal kot!" ujar Laila dalam nada yang tidak percaya.
"Aku macam tak percaya pulak Bidan Juraiah masih amalkan ilmu kuno tu," desis Qaseh perlahan.
Dahlia hanya mendiamkan diri seribu bahasa. Sedari awal mereka berkumpul lagi dia lebih senang menjadi pendengar di dalam perbualan dua sahabatnya yang masih berkisar tentang amalan kuno Bidan Jariah. Ilmu penanggal. Satu amalan kurafat yang sudah berpuluh tahun tidak diamalkan oleh masyarakat setempat. Tidak disangka, penduduk di kampong mereka pula yang masih mengamalkannya!
"Apa patut kita buat, Qaseh?" soal Laila tiba-tiba.
Qaseh pula mendiamkan diri. Otaknya ligat memikirkan tentang soalan Laila. Tindakan semacam apa yang perlu diambil mereka. Hendak diberitahu kepada orang kampong tentang Bidan Juraiah, dikhuatiri tidak ada yang mempercayai mereka. Iyelah. Bidan Juraiah bertukar menjadi penanggal, siapa yang mahu percaya?
"Aku tak pasti apa yang patut kita buat. Kau rasa macam mana, L?" ujar Qaseh sambil merenung wajah Dahlia.
"Entah. Kalau kita beritahu orang kampong, nak ke dia orang percaya?" balas Dahlia sebelum melontarkan pandangannya ke arah kawasan lapang di hadapan pondok tempat mereka melepak bertiga.
Keadaan kembali menjadi sepi. Terlihat tiga gadis remaja itu seakan sedang bermenung jauh, ralit memikirkan tindakan semacam apa yang patut mereka ambil berkenaan kes Bidan Juraiah tersebut. semakin difikir, rasa resah semakin menghentak jiwa mereka.
"Aku rasa lebih baik kita beritahu tok ketua. Manalah tahu kalau dia percaya," usul Qaseh memberi cadangan.
Laila dan Dahlia hanya berpandangan sesama sendiri. Berkerut-kerut kening keduanya menimbal baik buruk cadangan Qaseh itu. Agak lama sebelum akhirnya mereka berdua mengangguk kecil. Mungkin itulah jalan terbaik yang mereka ada.
****
"ASSALAMUALAIKUM! Tok! Oo tok!"
Kuat laungan salam yang diberikan Qaseh namun tiada jawapan balas yang diterima mereka. Qaseh mula mengeluh perlahan. Laila dan Dahlia pula saling berpandangan, memberi riaksi muka kehampaan. Agaknya tok ketua tak ada...desis hati keduanya.
"Kita balik dululah. Nanti kemudian baru kita datang lagi," cadang Qaseh setelah salam yang diberi sebanyak tiga kali tidak menerima jawapan balas.
Sudah menjadi kebiasaan pada mereka untuk beransur pergi jika salam yang diberi sebanyak tiga kali tidak berjawab tuan rumah. Itulah yang diajar ustaz di sekolah. Diharuskan untuk beredar sekiranya salam yang diberi sebanyak tiga kali tidak berjawab. Namun, baru sahaja mereka berpaling arah, kedengaran pintu rumah tok ketua dikuak dari dalam.
"Waalaikumsalam. Lah...Qaseh, Laila dan L rupanya. Kamu bertiga cari siapa?" ujar seseorang yang sedang sarat mengandung di muka pintu.
"Eh Kak Aisyah! Bila balik dari Kuala Lumpur?" balas Laila.
Laila yang sememangnya agak rapat dengan Aisyah berbanding Qaseh dan Dahlia jelas terperanjat dengan kehadiran anak tok ketua itu. Setahu dia, Aisyah sudah lama berhijrah ke bandar besar setelah berkahwin dengan pemuda yang berasal dari sana. Dan setahu dia juga, semenjak berpindah ke bandar besar, Aisyah amat jarang sekali mahu pulang ke kampong mereka itu.
"Semalam akak sampai. Akak ingat nak duduk lama sikit di kampung, nak berpantang di sini," balas Aisyah seraya tersenyum manis. Jelas terpancar kegembiraan di wajahnya. Maklum sajalah, dia sedang menunggu bayi sulungnya lahir tidak lama lagi.
YOU ARE READING
The Ghost Girl S1
HororAngkara satu ulah nakal tiga sahabat di Pekan Nanjingga, hidup mereka terus-terusan dihantui sesuatu. Sesuatu yang tidak mampu dilihat dek mata kasar. Sesuatu yang tidak dapat dirungkaikan apa sebabnya. Kehadiran satu demi satu si pengacau benar-ben...