BERGEGAR seketika isi rumah apabila daun pintu menghentam dinding kayu sebaik Qaseh merempuh masuk ke dalam. Ibunya yang sedang leka menjahit di ruang tamu tersentak. Hampir tercabut jantungnya ketika itu. Spontan tangan di bawa ke dada lalu diurut perlahan bagi menghilangkah rasa panic yang menyapa batang tubuh.
"Kau dah kenapa?" marah Puan Sufiah seraya meletakkan kain baju kurung yang sedang disulamnya ke dalam sebuah bakul.
Turun naik nafasnya saat itu melihatkan Qaseh yang terlentang di atas lantai. Baring memandang ke atap rumah dengan membiarkan daun pintu yang ternganga luas. Tidak lama, Puan Sufiah mengerlingkan mata ke arah dinding rumah. Tidak semena-mena anak matanya terbeliak luas!
"Bertuah punya anak dara! Dah pukul 12 tengah malam baru kau nak balik!" bebel Puan Sufiah lantang.
Dek kerana leka dengan jahitan menyebabkan dia tidak sedar detik yang telah berlalu. Perlahan dia menggelengkan kepala. Qaseh satu-satunya anak perempuan yang dia ada. Tetapi perwatakannya yang agak kasar membuatkan Qaseh kelihatan seperti lelaki. Kerap keluar malam dan melepak di pondok berhampiran dengan simpang masuk kampong itu kadangkala membuatkan orang kampong bercakap mengenai anak perempuan tunggalnya itu.
Qaseh tidak menghiraukan bebelan ibunya. Dari memandang ke arah atap rumah, kini kornea matanya melilau tepat ke arah sebatang pokok berakar banir yang tumbuh tinggi melayut di depan rumahnya. Semak samun yang tumbuh meliar kelihatan menyeramkan. Melian-lintuk ditiup angin malam.
Tiba-tiba anak mata Qaseh mencerlung luas dengan peluh sejuk mula berbintil di dahi. Nun di perdu pokok berakir banir itu, satu kelibat bertubuh hitam, tinggi dan menggerunkan sedang berdiri menghadap ke arahnya. Kepala kelibat itu menunduk ke bawah, merenung lantai bumi manakala sepasang tangannya dihulurkan ke arah Qaseh. Seolah-olah memanggil gadis itu untuk mengikutnya.
Semakin diperhatikan, Qaseh semakin dihambat ketakutan yang mencanak-canak. Serentak hembusan angin kasar menerpa muka pintu, satu suara tangisan mirip milik Bidan Juraiah terdengar sayup-sayup di hujung telinga sebelum menghilang begitu sahaja.
Tidak semena-mena bau hamis darah menyeruak masuk ke dalam rongga hidung. Bau yang pada mulanya tipis tiba-tiba sahaja bertukar pahit dan meloyakan. Seakan darah tersebut bersimbah dan mengalir tepat di hadapan batang hidungnya!
"Tutup pintu tu, Qaseh!" jerkah Puan Sufiah dengan nada yang cukup sebal.
Qaseh tersentak kuat. Spontan dia bingkas bangun laru meluru masuk ke dalam bilik. Puan Sufiah yang melihat tindakan anak daranya itu diserbu rasa marah yang mendongkol. Bakul di hadapan matanya ditolak ke tepi sebelum tubuh gempalnya itu bingkas bangun. Laju langkah di atur menghala ke muka pintu.
Sebaik tiba di muka pintu, matanya meliar memandang ke halaman rumah. Entah kenapa darahnya tiba-tiba berderau hingga ke kepala. Puan Sufiah menarik nafas takut-takut. Pantas daun pintu yang ternganga luas ditarik kasar agar rapat ke rangkanya. Berdentum bunyinya sekali lagi memecah kesunyian isi rumah itu.
Qaseh meluru naik ke atas katil lalu dia duduk bergumpal di hujung kepala katil dengan tubuh yang terketar-ketar. Angin pada malam itu dirasakan tidak seperti selalu. Rasa sejuk yang berhembus meninggalkan rasa ngilu pada setiap sendi tubuhnya. Sejuknya hingga mencengkap ke tulang hitam.
Sebaik dia, Laila dan Dahlia meloloskan diri dari rumah Bidan Juraiah, mereka bertempiaran pulang ke rumah masing-masing. Entah apa yang telah terjadi pada dua sahabatnya itu, dia sendiri tidak tahu.
"Huu..." suara tangisan yang sama kedengaran sayup di luar bilik.
Qaseh terdiam. Selimut yang berlipat di hujung katil digumpal dengan kedua belah tangannya. Rasa takutnya disalurkan ke situ. Cengkang urat lengannya dirasakan ketika itu. Seketika suara tangisan yang sayu itu hilang. Qaseh masih memasang telinga.
YOU ARE READING
The Ghost Girl S1
HorrorAngkara satu ulah nakal tiga sahabat di Pekan Nanjingga, hidup mereka terus-terusan dihantui sesuatu. Sesuatu yang tidak mampu dilihat dek mata kasar. Sesuatu yang tidak dapat dirungkaikan apa sebabnya. Kehadiran satu demi satu si pengacau benar-ben...