PEKAN Nanjingga kembali aman daripada kes kecurian yang berleluasa kebelakangan itu. Tiga hari kemudiannya, gempar satu kampong dek penemuan mayat Orang Kaya Selamat dalam keadaan yang cukup mengerikan dan secara tidak langsung menjawab teka-teki akan dalang sebenar di sebalik kejadian kecurian yang berlaku.
"Tok nak ucapkan terima kasih pada kamu bertiga sebab tolong tok banteras kes kecurian tu," ujar Tok Ketua.
Qaseh, Laila dan Dahlia hanya menyengih lebar. Kembang kuncup hidung mereka menerima pujian yang julung-julung kali itu. Selalunya, mereka bertiga hanya dipandang enteng oleh segelintir penduduk kampong.
"Tapi, tok nak tahu macam mana kamu bertiga boleh tahu tentang toyol tu?" soal Tok Ketua penuh musykil.
"Kami tak sengaja tahu je tok," balas Qaseh laju.
Dia mengerling ke arah Dahlia dan Laila yang hanya mendiamkan diri. Mereka bertiga sudah sepakat untuk merahsiakan tentang apa yang mereka tahu. Cukuplah sekadar perkara tersebut dapat diselesaikan dengan kadar segera.
"Tak apalah kalau macam tu. Kamu pergilah balik, hari dah petang ni," ujar Tok Ketua.
Qaseh, Dahlia dan Laila hanya mengangguk kecil sebelum mengatur langkah meninggalkan rumah Tok Ketua dengan hati yang berbunga ria. Untuk kali itu, dapat dirasa kepuasan apabila membantu orang.
"Bye Laila! Kita jumpa malam ni."
Suara Qaseh mematikan lamunan Dahlia. Segera dia menoleh ke arah Laila yang sudah berdiri terpacak di muka pintu rumahnya. Dia hanya menjungkitkan keningnya sahaja tanda selamat tinggal sebelum kembali mengatur langkah menyaingi derapan kaki Qaseh.
"Tak sangka teruk macam tu sekali mayat Pak Selamat," ujar Qaseh perlahan membuatkan Dahlia menoleh ke arahnya.
"Takutkan, L," ujar Qaseh lagi.
"Takut," balas Dahlia sepatah.
Qaseh menoleh ke arah Dahlia yang sudah membuang pandang ke hadapan jalan. Tergeleng-geleng kepalanya melihatkan tingkah Dahlia yang dirasakan sengaja mahu membakar sabarnya.
"Bercakap dengan kau ni serupa bercakap dengan angin," rungut Qaseh geram.
"Kau pernah bercakap dengan angin ke, Qaseh?" soal Dahlia bersahaja sambil terus mengayun langkahan kakinya.
"Pernah! Macam bercakap dengan kaulah!" ujar Qaseh sedikit keras.
Dahlia menoleh sebelum menyengih lebar. Geli hatinya melihatkan tingkah si sahabat yang mudah bertingkah angin. Dan kerana sikap Qaseh sebegitulah dia gemar menyakat sahabatnya itu.
"Dahlah, aku masuk dulu. Kau tu hati-hati balik tu. Kalau ada yang nak ajak teman, biarkan je," ujar Dahlia seraya mengatur langkah mendapatkan rumahnya.
"Kau ni kalau dapat penampar sulung aku tak pasal aje senja-senja macam ni," bidas Qaseh dengan wajah yang masam mencuka.
"Bye Qaseh," balas Dahlia mendatar.
"Bye L! Jumpa malam karang!" laung Qaseh sebelum laju meneruskan langkahnya.
Dahlia hanya memerhatikan susuk tubuh Qaseh hingga sahabatnya itu hilang dari pandangan mata sebelum dia menutup daun pintu rapat ke bingkainya lantas berpaling ke belakang. Langkah kembali diatur menuju ke biliknya yang berada di tingkas atas rumah.
Tuala mandi dicapai. Dia kembali terkedek-kedek menuruni takah demi takah anak tangga mendapatkan bilik mandi. Usai membersihkan diri, sayup kolong telinganya mendengar suara azan berkumandang dari surau Pekan Nanjingga yang berada tidak jauh dari rumahnya.
YOU ARE READING
The Ghost Girl S1
TerrorAngkara satu ulah nakal tiga sahabat di Pekan Nanjingga, hidup mereka terus-terusan dihantui sesuatu. Sesuatu yang tidak mampu dilihat dek mata kasar. Sesuatu yang tidak dapat dirungkaikan apa sebabnya. Kehadiran satu demi satu si pengacau benar-ben...