DAHLIA meraup wajahnya buat kesekian kali. Wajahnya yang keruh masih kekal diperhatikan Qaseh dan Laila sedari tadi. Mereka bertiga kekal mengunci mulut hinggalah keluhan keras dilepaskan Dahlia.
"Aku tak nampak pun budak tu, L," ujar Laila dengan muka yang berkerut.
"Aku pun!" sampuk Qaseh kuat.
"Tapi aku nampak. Banyak kali dah aku nampak, Laila, Qaseh," balas Dahlia beria-ia.
Sekali lagi diraup wajahnya yang keruh sebelum dilepaskan keluhan kasar. Hatinya sentiasa merasa tidak selesa sejak pertama kali melihatkan Orang Kaya Selamat memikul seorang budak kecil di belakangnya.
"Sejak bila kau mula nampak budak tu?" soal Qaseh.
"Ingat lagi tak tiga hari lepas, masa kita duduk melepak dekat sini? Masa semua orang sibuk dekat dewan pasal kes kecurian rumah Laila ni?" soal Dahlia kembali.
"Ingat..." balas Laila perlahan. Mana mungkin dia lupakan perkara itu. Perkara yang membuatkan ibunya rugi ribuan ringgit.
"Jadi, sejak tu kau mula nampak budak tu?" soal Qaseh meminta kepastian.
"Sejak tu, tiap kali aku nampak Pak Selamat, mesti dia tengah pikul budak tu ikut sama dia," balas Dahlia.
"Budak tu macam mana, L? Maksud aku, fizikal dia macam mana?" soal Laila tiba-tiba.
Soalan Laila membuatkan kening Dahlia bertaut. Spontan ibu jari dan jari telunjuknya menyentuh bawah bibir. Tingkahnya seakan sedang memikirkan sesuatu. Agak lama, sebelum akhirnya dituturkan juga kata-kata.
"Kepala dia botak. Muka dia aku tak nampak sebab budak tu sentiasa tundukkan kepala dia. Tengok dari badan dia, macam budak tiga empat tahun," balas Dahlia.
Sebaik sahaja usai dia berkata-kata, tidak semena-mena angin kuat menderu menampar tubuh mereka. Guruh mula kedengaran di atas sana. Kilat pula sudah mula saling beradu sinaran di dada langit. Perubahan alam yang tiba-tiba menerbitkan resah di hati tiga gadis itu.
"Baliklah jom, hari macam nak hujan ni. Lagi pun dah lewat sangat," ujar Qaseh seraya bangkit dari duduknya.
"Jomlah," balas Laila manakala Dahlia hanya mengangguk.
Laju mereka bertiga berjalan mendapatkan basikal lalu mengayuh agak deras meninggalkan pondok tersebut menuju ke rumah masing-masing. Sampai sahaja di rumah, Dahlia segera mendapatkan daun pintu yang bertutup rapat.
Tok...tok...tok...
Daun pintu diketuk berkali-kali namun tetap juga tidak dibuka dari dalam membuatkan tingkah Dahlia semakin resah. Dia terus-terusan mengetuk daun pintu rumahnya. Sesekali ditinjau keadaan di dalam rumah melalui tingkap neko yang turut bertutup.
"Bu! Oo bu! L balik ni!" laung Dahlia resah.
Daun pintu diketuk lagi. Kali ini lebih kuat dan keras dari yang sebelumnya. Mana pulaklah pergi Puan Kamelia ni, desis hati Dahlia. Dia sudah mula merungut bersendirian saat itu.
Kreekkk...
Daun pintu dikuak dari dalam membuatkan Dahlia melepas keluhan kelegaan. Sebaik sahaja dia melangkah masuk, menderu hujan turun dengan lebatnya. Sempat juga matanya terkesan pancaran kilat di dada langit sebelum dia menutup pintu itu.
"Ibu pergi mana?" soal Dahlia sambil merenung ibunya yang terkedek-kedek berjalan menuju ke ruang dapur. Tidak lama, ibunya kembali semula lalu duduk di sofa berhadapan televisyen.
YOU ARE READING
The Ghost Girl S1
HorrorAngkara satu ulah nakal tiga sahabat di Pekan Nanjingga, hidup mereka terus-terusan dihantui sesuatu. Sesuatu yang tidak mampu dilihat dek mata kasar. Sesuatu yang tidak dapat dirungkaikan apa sebabnya. Kehadiran satu demi satu si pengacau benar-ben...