"KAU tak nak balik lagi ke, L?" soal Laila di muka pintu.
Dia terus-terusan memandang ke arah Dahlia yang asyik bersembang dengan Qaseh. Diperhatikan tingkah sahabatnya itu dengan kening yang sesekali dikerutkan. Menanti-nanti jawapan balas dari Dahlia.
"Nak balik jugak ni," balas Dahlia lalu bangkit dari duduk.
Qaseh yang melihat tingkah sahabatnya itu turut bangkit lalu mereka berdua menapak perlahan menuju ke muka pintu. Laila di sana hanya menanti derap demi derap langkahan kaki dua sahabat baiknya itu.
"Kita orang balik dululah, Qaseh. Nanti esok kita jumpa dekat tempat biasa," ujar Laila sebelum menyarung selipar.
Dahlia yang melihat turut bertingkah sama. Laju selipar disarung sebelum dia melangkah mendapatkan basikal yang elok terbaring di tanah. Sempat dia menoleh seketika ke arah Qaseh yang memerhati di muka pintu sebelum dia dan Laila sama-sama mengayuh basikal mereka meninggalkan halaman rumah Qaseh.
"Mujurlah demam Qaseh tak lama, kan L," ujar Laila sambil terus mengayuh perlahan. Sengaja mengikut rentak Dahlia yang hanya mengayuh perlahan.
"Ha'ah. Nasib baik sekejap aje, kalau tak bosanlah asyik kita berdua aje melepak sama," balas Dahlia.
Laila mengangguk kecil, mengiyakan apa yang dikata Dahlia. Masuk hari itu, sudah tiga hari mereka bertandang ke rumah Qaseh. Mujurlah Qaseh sudah sihat sepenuhnya. Tidak lagi lemah dan lesu seperti hari-hari sebelumnya.
Laila meliarkan pandangan matanya memerhati suasana senja di Pekan Nanjingga. Tiada apa yang mampu menarik minatnya saat itu. Baginya, suasana di kampong mereka tetap sama seperti hari-hari lainnya. Namun, sebaik terpandangkan sebuah rumah besar terletak agak jauh dari rumah-rumah penduduk kampong lainnya, timbul satu rasa di hati Laila.
"L, cuba kau tengok rumah Orang Kaya Selamat tu. Besar betulkan," ujar Laila sambil memuncungkan mulutnya, menunjuk ke satu arah.
"Ha'ah," balas Dahlia sepatah.
Dia turut memandang ke arah yang ditunjukkan Laila. Lama diperhatikan rumah Orang Kaya Selamat itu, satu-satunya penduduk kampong yang boleh dikatakan kaya-raya, sebelum dikalihkan pandangannya memandang ke arah lain. Serentak itu juga mukanya berubah riak!
"Cantiklah rumah dia," puji Laila, masih lagi mencuri pandang ke rumah agam yang besar itu.
"Jangan tengok lama-lama, Laila," tegur Dahlia perlahan.
"Kenapa pulak?" soal Laila kehairanan.
Serentak itu juga dia menoleh pandang ke wajah Dahlia yang mula memucat. Entah mengapa, merenek peluh di dahi sahabatnya itu tanpa diketahui puncanya. Laila terus-terusan merenung wajah Dahlia. Hanya sesekali sahaja dia memandang ke hadapan jalan yang sedang mereka selusuri.
"Aku nampak macam ada benda yang perhatikan kita," ujar Dahlia, masih lagi perlahan.
"Mengarutlah kau! Dahlah, jom cepat. Maghrib dah ni," bidas Laila.
Entah mengapa, sebaik kata-kata Dahlia menerjah gegendang telinga, dadanya berdebar-debar. Angin senja yang bertiup sepoi-sepoi Bahasa juga turut dirasakan dinginnya lain macam. Membuatkan dia semakin diserang rasa tidak selesa.
LAILA terjaga dari lena malam yang dirasakan cukup nyenyak. Batang tubuhnya yang kedinginan membuatkan dia menarik selimut lalu membungkus dirinya sendiri. Laila kembali memejamkan mata, cuba menggamit mimpi malam yang mengasyikkan.
YOU ARE READING
The Ghost Girl S1
HororAngkara satu ulah nakal tiga sahabat di Pekan Nanjingga, hidup mereka terus-terusan dihantui sesuatu. Sesuatu yang tidak mampu dilihat dek mata kasar. Sesuatu yang tidak dapat dirungkaikan apa sebabnya. Kehadiran satu demi satu si pengacau benar-ben...