BAB 1

173 4 0
                                    


DAHLIA mencelikkan mata dengan dada yang berombak kuat. Meliar pandangannya memerhati sekeliling. Sesekali diraup muka yang dibasahi peluh jantan yang sudah mengalir hingga ke leher. Pandangan mata yang tadinya berbalam-balam semakin lama semakin jelas.

Perlahan Dahlia bangkit dari pembaringan lalu duduk tegak di atas katil. Ditalakan kembali pandangan matanya memandang sekeliling. Spntan diletakkan tapak tangan kanannya melekap di dada. Debaran di dada masih ada walau rentaknya sudah mula mengendur. Perlahan dia mengeluh kelegaan. Mimpi rupanya...desis hati kecilnya.

Bzzz...bzzz

Spontan Dahlia menoleh ke sisi katil. Smartphone yang terdampar elok di meja kecil bersebelahan katilnya dipandang sepi. Lama, sebelum kesedaran memutik di minda. Pantas Dahlia mencapai smartphone itu lalu dibelek isinya.

Qaseh: Laila...L...malam ni, tempat biasa.

Berkerut muka Dahlia membaca pesanan Qaseh melalui aplikasi whatsapp. Belum pun sempat dia membalas, satu lagi pesanan muncul. Datangnya kali ini dari Laila, juga salah seorang sahabat baiknya. Sahabat sedari kecil.

Laila: Set! Aku pun ada benda nak beritahu.

Dahlia membaca sekilas sebelum dia mengerling ke arah jam dinding yang tergantung elok di dinding bilik. 6.45 petang. Sempat diraup peluh yang mengalir di pipi sebelum dia membalas pesanan tersebut.

L: Set...


***


"MACAM mana kita bertiga boleh mimpi perkara yang sama?"

Suara Qaseh memecah sunyi malam itu. Diperhatikan wajah Laila dan Dahlia silih berganti sebelum dibuang pandang ke arah kawasan lapang di hadapannya. Dia masih terfikir-fikir sendiri.

"Bukan setakat mimpi yang sama, tapi waktu yang sama jugak," tambah Laila.

Dahlia hanya mendiamkan diri. Otaknya juga diasak persoalan yang menghantui dua sahabatnya itu. Sejak kebelakangan ini, mereka bertiga kerap kali bermimpikan perkara yang sama. Mimpi yang serupa, datang berkali-kali.

"Kamu buat apa malam-malam di sini?"

Suara seseorang memeranjatkan mereka. Pantas Dahlia, Qaseh dan Laila menoleh ke arah yang menegur. Terlihat wajah Bidan Juraiah yang masam mencuka memerhatikan mereka dengan renungan yang tajam.

"Mak bidan buat apa merayau malam-malam macam ni?" soal Qaseh pula.

"Kamu tu mengganggu kerja aku! Pergi balik!" jerkah Bidan Juraiah tiba-tiba.

Berkerut muka mereka bertiga menerima jerkahan kasar Bidan Juraiah. Dah kenapa pulak orang tua ni tiba-tiba berangin? Desis hati mereka.

"Balik aku kata! Balik!" Bidan Juraiah masih membentak kasar.

"Yang bidan tiba-tiba naik angin ni kenapa?" soal Qaseh sedikit kasar. Hatinya tiba-tiba membengkak rasa geram.

Laila turut sama merenung tajam wajah Bidan Juraiah yang sudah merah padam. Sesekali terdengar dia merengus kegeraman. Dahlia pula hanya memandang kosong kelakuan Bidan Juraiah. Tak pernah-pernah menegur bidan ni...buang tebiat ke apa? Desis hati kecilnya.

Tiba-tiba angin bertiup kencang seraya menerbangkan lilitan kain di leher Bidan Juraiah. Tingkah bayu yang tidak semena-mena menggila menarik perhatian mereka. Sejalur terlihat kesan parut merah melintang di leher bidan tersebut.

Bidan Juraiah meneleng-nelengkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Mulutnya terkumat-kamit membaca entah apa. Biji matanya membulat dan tersembul. Rambut yang tadinya elok berikat siput kini sudah mengerbang ditiup angin malam.

The Ghost Girl S1Where stories live. Discover now