Pekan Nanjingga, Merlimau, Melaka - 2015
ANGIN bertiup kencang malam itu. dedaunan tingkap yang sudah pecah cerminnya terlihat terbuai-buai dihentam angin malam yang tiba-tiba menggila. berdentum-dentak hingga menyesakkan telinga. di luar sana, guruh mula kedengaran melahar di dada langit. biasan pancaran kilat pantas terbias di hadapan mata membuatkan Qaseh memeritkan kelopak mata dengan sendirinya. dia semakin menghayunkan langkah menjelajah ke setiap sudut banglo tinggal itu. langsung tidak dihiraukan suara alam yang sedang ganas membelasah bumi.
Berhati-hati Qaseh memijak lantai yang sudah berlumut dan berdebu. bau hamis mula kuat menusuk hidung. hanyir menyeruak dibawa angin malam yang berhembus kencang. Dia pantas menekup hidung, cuba menahan isi perutnya yang bergelodak secara mendadak. Serentak itu juga kepalanya dihentak sakit secara tiba-tiba. Berdengung dan berdenyut.
"Laila! L! Kau orang dekat mana?" laung Qaseh sambil mengusap lengannya yang terasa meremang.
Sedari tadi Qaseh mencari-cari kelibat dua sahabatnya, Laila dan Dahlia. Dia pasti keduanya berlari masuk ke dalam banglo terbiar ini tadi. Satu-satunya banglo tinggal yang di bina di tengah hutan, terletak di hulu Pekan Nanjingga itu. Satu kawasan yang sudah lama dijauhi oleh penduduk kampong itu.
Menurut penduduk kampong mereka, banglo tersebut perlu dijauhi. Ada segelintir dari mereka pula berpendapat kawasan banglo tersebut wajib dihindari. Kononnya ada satu kuasa jahat yang cuba menguasai sesiapa sahaja yang mendekati kawasan itu tanpa diketahui puncanya. Dan sekarang, dia ada di situ. Di dalam banglo tinggal yang dianggap menggerunkan oleh penduduk kampong mereka.
Sretttt...
Mata Qaseh mula melingas memerhati ke segenap ruang. Liur yang bertakung di laluan tekan ditelan payah. Terasa berpasir dan tersekat di dalam rengkung. Kakinya mengacah permukaan lantai yang berdebu dan berhabuk. Acap kali dia tersadung kayu yang bergelimpangan di situ.
"Qaseh..."
Spontan Qaseh berpaling ke belakang. Suara Laila sayup kedengaran di hujung telinga. Pandangan matanya berbalam-balam. Kegelapan yang melatari membuatkan penglihatannya terhad. Seketika anak matanya terbeliak. Satu susuk tubuh kelihatan tertiarap di atas lantai. Tangannya terawang seakan cuba menggapai tubuhnya.
"Lai...la?" seru Qaseh dengan nada yang tak pasti.
"Tolong aku..." lirih suara Laila merayu. Bertindan dengan rasa sakit yang menggunung.
Pantas Qaseh berlari ke arah Laila. Namun, belum pun sempat dia tiba di tempat Laila tertiarap, tanpa diduga kakinya direntap dari belakang. Qaseh jatuh tersembam ke atas lantai. Dahinya berlaga dengan kayu yang berceracak dengan paku. Kelam seketika penglihatannya. Azab kesakitan tidak dapat dibayangkan!
Tiba-tiba angin ganas berpusar di ruangan itu. Debu-debu tebal berpusar ke atas dan cuba menusuk masuk ke dalam mata. Qaseh segera menghadang mukanya dengan lengan. Sebaik pandangan matanya terhalang, serentak itu juga teriakan Laila bergema.
Qaseh mencelikkan mata. Jelas di pandangan matanya batang tubuh Laila melayang ke udara sebelum terpelanting di ceruk dinding. Darah pekat menyembur keluar dari mulut Laila lalu menjejeh membasahi bajunya. Ada sebahagian darinya menitik-nitik ke atas lantai. Rintihan kesaikatan Laila kembali mendayu-dayu.
"Allah! Laila!" jerit Qaseh lantang. Namun, hendak dirapati sahabatnya itu, pergerakan kakinya bagaikan dihalang.
"To..long aku...Qa..seh..." rayu Laila lagi sambil menggogoi kesakitan.
Derita yang ditanggung Laila bukan kepalang. Belum pun hilang sakit dibaling ke dinding, kini tubuhnya tidak semena-mena diseret sesuatu. Jeritan kembali bergema di dalam banglo tersebut. Jeritan yang terhambur meluruhkan semangat Qaseh. Di hadapan matanya Laila diseret di atas kayu-kayu yang berceracak dengan paku. Teriakan Laila panjang dan lantang. Mengerikan sekali. Dan akhirnya senyap.
"Laila!" laung Qaseh dengan air mata yang berderu-deru. Laila diam tidak berkutik.
"Qa...seh..."
Qaseh terkedu sebaik satu suara lainnya menjamah cuping telinga. Air mata yang membasahi wajahnya terus dibiarkan begitu sahaja. Teragak-agak dia berkalih ke belakang. Takut kejadian yang menimpa Laila kembali terlayar di hadapan mata. Debaran yang ditahan semakin menyakitkan dada. Sekali lagi matanya tercelik luas.
Dahlia sedang bergelut dengan sesuatu yang tidak ternampak oleh mata kasar. Kaki dan tangannya terpaku pada dinding. Kepalanya terkulai ke kanan. Nafasnya menggeruh di hujung kerongkong. Darah pekat tersembur pada mulutnya dan terpercik ke atas lantai.
"L!" Qaseh meratap tidak berdaya. Kakinya yang terpasak kaku cuba diangkat. Tetapi sia-sia!
PRAK!
Dengan sekali rentapan, leher Dahlia terkulai patah. Anak mata Dahlia terbeliak luas dengan mulut yang ternganga lebar. Seakan melihat sesuatu yang menggerunkan di penghujung nyawanya. Seksa! Sungguh seksa keadaan sahabatnya itu sewaktu roh direntap keluar dari jasad.
Qaseh terlopong!
"L!!!" Jeritan terhambur keluar.
Air mata Qaseh semakin lebat membanjiri wajahnya. Dia mula menggogoi kuat, meratap hiba. Seperti Laila, dia juga gagal menyelamatkan Dahlia!
Tap...tap...tap...
Titisan likat dan berbau maung menitik ke atas kepalanya. Lalu titisan itu jatuh menuruni pipi. Qaseh menahan nafasnya. Liurnya terasa lekat di rengkung. Titisan itu semakin lebat. Dan membasahi wajahnya. Qaseh cuba menahan rasa mual yang menjolok tekak. Tetapi dia tewas. Sekonyong-konyong isi perutnya terhambur di situ.
Tiba-tiba kolong telinganya menangkap satu bunyi dari ruang hadapan banglo itu. Persis bunyi petikan piano. Qaseh menopangkan tangan di atas lantai. Cuba mengamati irama lagu yang kedengaran begitu menyedihkan. Dan kemudian bunyi itu hilang. Diganti dengan pancaran kilat yang sekali lagi melahar dada langit.
Sekonyong-konyong muncul bayang kelibat seseorang di belakang Qaseh. Pantas dia menoleh ke belakang. Tetapi kelibat itu hilang dalam sekelip mata. Qaseh berpaling semula ke hadapan. Tanpa diduga tubuhnya ditolak sesuatu. Lantas dia terperosok di celah kabinet buruk yang sudah terlerai pintunya. Terdongak Qaseh menahan kesakitan yang mencucuk.
Sekonyong-konyong muncul satu kelibat di depan matanya. Perlahan-lahan dan kelihatan berbalam-balam. Qaseh memicingkan anak mata, cuba memerhati gerangan siapakah yang menjelma secara tiba-tiba.
"Selamat datang ke duniaku..."
Suara itu bergema-gema dan saling bertimpa di ruang kosong itu. Tawa sinis menusuk telinga. Bingit dan menyeramkan!
"Siapa kau?" soal Qaseh sambil menggelinjang menahan kesakitan. Perit tubuhnya diasak sebegitu rupa.
Tawa itu serta-merta terhenti. Angin yang berpusar semakin ganas. Pandangan mata Qaseh yang kabur cuba dipaksa agar dapat melihat dengan jelas susuk misteri itu. Makin dicuba, makin dirasakan sukar. Segala usaha hanya sia-sia!
"Aku datang untuk menunaikan permintaanmu..." jawabnya lagi.
"Permintaan apa? Aku minta apa?!" jerkah Qaseh.
Satu tamparan hinggap di pipinya. Lantas dia terjelopok ke atas lantai. Batang tubuhnya longlai menghentam kayu yang berceracak paku. Qaseh meraung kesakitan. Perit yang dirasakan bukan kepalang.
"Setiap permintaan punya bayarannya!" ujar suara itu garang.
Dalam payah Qaseh menjeling marah. Dengan sisa-sisa tenaga yang ada, dia bertatih untuk bangun. Setelah dirasakan dirinya berdiri dalam keadaan stabil, segera ditantang susuk tubuh misteri itu.
"Apa yang aku minta?" soal Qaseh dalam nada yang cukup keras.
"Aku sudah tunaikan segala permintaan kalian. Sudah tiba masanya untuk aku tuntut segala bayarannya!"
Serentak dengan itu, kelibat itu memunculkan dirinya. Serta-merta Qaseh terdiam. Anak matanya membesar. Kelibat di depannya menyeringai menampakkan batang-batang gigi yang kekuningan dan berceracak tajam. Nyawa Qaseh dalam bahaya!
------ B E R S A M B U N G ------
YOU ARE READING
The Ghost Girl S1
HorrorAngkara satu ulah nakal tiga sahabat di Pekan Nanjingga, hidup mereka terus-terusan dihantui sesuatu. Sesuatu yang tidak mampu dilihat dek mata kasar. Sesuatu yang tidak dapat dirungkaikan apa sebabnya. Kehadiran satu demi satu si pengacau benar-ben...