BAB 12 (FINAL)

118 3 0
                                    


QASEH berundur tertatih-tatih ke belakang. Gerak kakinya hanya perlahan. Kesakitan yang semakin kuat menjalar ke segenap inci tubuhnya membuatkan langkahnya tersekat-sekat. Makhluk yang menyeringai di depan matanya masih tidak berganjak walaupun seinci.

Titisan yang terasa hangat mengalir laju menuruni birai pipi Qaseh. Bau hanyir semakin membuak-buak. Tetapi bukan itu yang menjadi fokus utama Qaseh. Nyawanya di hujung tanduk. Bila-bila masa sahaja nyawanya akan bercerai daripada badan. Dan tubuhnya akan bertukar menjadi sekujur jasad yang tidak bernyawa.

"Mana kawan-kawan aku?" soal Qaseh dengan bibir yang menggeletar.

Suara Dahlia dan Laila lenyap sama-sekali. Tidak ada lagi raungan menahan kesakitan dan jeritan meminta pertolongan singgah di telinganya. Qaseh semakin penasaran. Perasaan bersalah semakin membuak-buak. Permainan gila ini berpunca daripada dia. Dia yang meletakkan nyawa ketiga-tiga mereka di dalam bahaya!

Seketika tawa halus kedengaran mendayu dan sayup menyapa kolong telinga. Sinis. Qaseh menelan air liur yang terasa payau. Tidak berkelip kelopak matanya merenung sekujur tubuh di depan matanya.

"Mati..."

Anak mata Qaseh terbeliak! Sepatah perkataan yang meluncur keluar daripada mulut makhluk itu membuatkan darahnya berhenti mengalir. Sejuk beku seluruh tubuhnya ketika itu. Bibir Qaseh bergetar seakan mahu membuah kata. Berkali-kali ditelan liur yang bertakung di laluan tekak. Dia menggeleng-gelengkan kepala tidak percaya.

"Mustahil...mustahil..." gumam Qaseh sendiri.

Sekali lagi gegendang telinganya disapa tawa yang halus dan menyeramkan. Hilaian tawa itu kedengaran cukup sayup dan sinis, namun mampu membangkitkan rasa seriau hingga ke tulangan hitam.

"Mati...mereka dah mati..." susuk tubuh itu berkata lagi sebelum perlahan-lahan mengukir senyuman sinis.

"Kau siapa! Apa salah kami pada kau!"
Jeritan Qaseh kedengaran bergema-gema di dalam ruang banglo yang kosong itu. Sunyi dan sepi. Tidak ada sebarang suara yang menyahut membuatkan soalan Qaseh tergantung tidak berjawapan di situ.

Tiba-tiba sesuatu yang berdetap menjamah telinga Qaseh. Pada mulanya hanya sayup di lorongan pendengaran namun perlahan-lahan menghampiri Qaseh yang semakin terperosok ke belakang dengan ketakutan yang menggila.

"Qaseh..." bisik satu suara tepat di tepi telinga Qaseh.

Qaseh tersentak ke belakang lalu jatuh terlentang. Ketika itu satu kelibat muncul di depannya. Menampakkan rupa dalam tempoh sesaat. Tetapi cukup membuatkan Qaseh terlopong. Dan kemudian pandangannya gelap-gelita!

QASEH membuka kelopak mata. Bunyi bising yang masuk ke dalam kepala membuatkan dia tersedar. Perlahan dia mengerdipkan mata. Cahaya silau yang menusuk masuk ke dalam anak mata membuatkan dia pantas memejamkan mata. Perit. Tidak semena-mena Qaseh terkesima. Pantas dia melawan bisa silau yang menusuk masuk. Anak matanya terbuntang melingas ke sekelilingnya. Spontan dia bingkas bangun.

"Aku kat mana?" gumam Qaseh sendiri.

Qaseh berpusing di dalam ruang itu. Cahaya lampu yang melimpahi isi ruang itu membuatkan Qaseh bertambah kaget. Dia betul-betul pasti, dia masih ada di dalam banglo tinggal itu lagi. Tetapi apa yang menghairankan, suasana tidak lagi gelap-gelita. Isi banglo itu juga dilengkapi dengan perabot yang lengkap. Tidak ada bau hapak yang menusuk masuk ke dalam hidungnya. Tetapi bau haruman daripada pewangi yang dipasang di dinding banglo itu memenuhi ruang banglo itu.

Qaseh menapak perlahan di dalam ruang yang asing baginya. Anak matanya melingas ke arah jendela yang bersusun di depan matanya. Aneh. Jendela itu lengkap bercermin. Tidak rompong seperti tadi. Kain langsir yang tersangkut kelihatan terbuai-buai mengikut arah tiupan angin yang kuat bertiup. Qaseh semakin keliru. Spontan kakinya berhenti melangkah. Kepalanya yang terasa berat dipegang dengan kedua belah telapak tangan.

The Ghost Girl S1Where stories live. Discover now