'Bukankah kita harus sentiasa siap untuk meninggalkan dan ditinggalkan?'
—————LAGU 'Separuh Jiwaku Milikmu' yang dimainkan melalui telefon pintar berkumandang kuat di seluruh ruang kamar. Sambil mengemaskan beberapa helai pakaian dan barang keperluan ke dalam beg, sekali-sekala Diha 'Afina membiarkan diri hanyut dibuai perasaan. Menghayati lagu kegemarannya. Lagu yang sering diulang-ulang ketika dia sunyi atau sekadar mahu berehat melapangkan minda. Lagu yang acap kali dapat membujuk tenang kala resah datang menghambat jiwa. Setiap patah lirik lagu tersebut sudah terpateri jelas dalam memori. Alunan melodi yang digubah ibarat telah sebati dengan rentak nafas. Gadis itu tersenyum. Entah sudah berapa ribu kali dia mendengar 'Separuh Jiwaku Milikmu', dia sendiri kurang pasti.
Usai mengezip beg pakaian, Diha bangkit dari katil merapati meja solek. Sekeping sampul surat putih yang berada di atas meja itu diambil. Semerta fikirannya melayang. Minda dibawa menjengah lipatan memori.
Kira-kira lebih setahun yang lalu.
Perbualan antara Diha dan Marsha melalui panggilan video Whatsapp petang itu agak suram. Tidak disulami gelak tawa seperti biasa. Tiada usik gurau mengiringi tutur kata. Sesekali mereka berdua hanya diam tercatuk sekadar menyabung pandang antara satu sama lain. Masing-masing putus buah bicara.
"Sudah makan, Marsha?" Prihatin Diha bertanya. Waktu sudah pun menjangkau ke pukul dua petang. Kebelakangan ini, temannya itu sering mengadu tidak ada selera untuk menjamah makanan.
"Orang sakit kayak aku mana lalu makan, Diha," balas Marsha lemah. Tetap memaniskan riak wajah meskipun berada dalam kesakitan.
Diha meneliti keadaan Marsha. Nampak pucat tidak bermaya. Kulitnya kusam dan kering. Tidak lagi berseri. Pipi yang dahulu gebu kini semakin cengkung. Tubuhnya juga kian susut. Blaus kuning cair yang dipakai kelihatan terlalu besar buat tuan punya diri.
"Memanglah tak lalu, tapi kau harus makan. Barulah ada tenaga. Kau perlu tubuh yang kuat agar cepat sembuh, Marsha," pujuk Diha. Marsha senyum tanpa membalas. Dia sedar Diha sedang cuba menenangkan hatinya. Menghantar sejalur semangat agar dia terus kuat. Sedangkan, kedua-dua mereka tahu yang penyakit Marsha berada pada tahap kritikal. Tidak ada jalan lagi untuk sembuh.
Sudah hampir tiga tahun Diha mengenali temannya yang berasal dari Jakarta itu. Tetapi, atas faktor kesibukan masing-masing, persahabatan mereka terbatas di alam maya. Kedua-duanya belum pernah berkesempatan bersua empat mata di dunia nyata. Hanya internet yang merapatkan mereka.
Perkenalan antara mereka bermula apabila Marsha menjadi pengikut (follower) blog Diha, 'Tentang Sesuatu' dan kerap meninggalkan komen di blog tersebut. Marsha selalu mencari resepi mudah yang enak untuk dimasak buat suaminya. Kebetulan, dia terjumpa entri-entri resepi yang menarik di blog Diha. Blog Diha tidak mengkhusus kepada penulisan berkaitan masakan sahaja, tetapi lebih merupakan blog peribadi yang berkisar tentang kehidupannya secara kasar dan sesuatu yang ingin dikongsikan. Sejak itu, mereka sering berutus e-mel dan berkomunikasi melalui Skype atau Whatsapp. Malah, beberapa resepi Diha yang telah dicuba oleh Marsha turut menjadi kegemaran suaminya.
Keserasian wujud antara kedua-dua mereka. Marsha senang dengan sikap terbuka dan penyayang Diha. Diha seorang yang mudah didekati. Tidak suka mengadili orang lain, teman pendengar yang baik juga seorang yang sangat memahami. Marsha melihat Diha sebagai seorang yang sentiasa berfikiran positif. Jiwanya sarat dengan kasih sayang. Jika tidak, masakan Diha sanggup melepaskan kerjaya bergaji besar semata-mata demi menjaga adiknya yang sakit dan memerlukan perhatian.
Diha pula selesa dengan keramahan Marsha, keceriaannya. Bertukar-tukar cerita bersama Marsha menjadikan hidupnya lebih terisi. Marsha tidak pernah ketandusan idea untuk berkongsi pelbagai kisah menarik. Marsha seorang yang suka mengambil berat. Dia ibarat seorang kakak buat Diha. Tidak lokek memberikan pandangan dan nasihat kepada Diha apabila perlu.
YOU ARE READING
Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)
RomanceDIHA 'AFINA tidak menyangka sama sekali yang dunianya bakal berubah disebabkan si pemilik nama ARIYYAN. Semua gara-gara rakaman video yang ditinggalkan oleh sahabatnya, Marsha. Persahabatan antara Diha dan Marsha bermula dengan blog Tentang Sesuatu...