ARIYYAN baru balik daripada membuat persembahan selama tiga hari di Bandung. Konsert mini yang diadakan di Kota Kembang itu telah mendapat sambutan luar jangkaan. ARJUNA turut terlibat menjayakan sesi bertemu peminat serta menghadiri wawancara di stesen televisyen dan radio tempatan. Tiga hari yang cukup padat. Ariyyan keletihan. Namun, hatinya puas. Segala penat lelah terus terubat mengenangkan kelompok peminat setia yang sentiasa bersemangat, sentiasa bertenaga sepanjang persembahan berlangsung.
Kepulangan Ariyyan pada sebelah malam disambut mesra oleh Diha di muka pintu. Si isteri memakai sepasang pijama berwarna biru gelap. Wajah bersih mulus yang bebas daripada sebarang palitan alat soleken ceria menyapanya. Rambut ikal melepasi paras bahu yang selalu diikat satu, kali ini ditocang. Sekali pandang, Diha nampak jauh lebih muda berbanding usianya apabila berpenampilan sebegitu.
Ariyyan berusaha mengawal pergelutan seribu satu rasa di sanubari. Setiap kali mendepani Diha, jiwanya jadi kacau. Dia gagal berfikir dengan baik. Masih tidak betah membenarkan kehadiran Diha dalam hari-hari yang ditempuh, dia sukar menerima hakikat bilamana dengan sekelip mata Diha muncul menceroboh dunianya. Wanita itu terlalu asing. Asing!
Mujurlah sekali-sekala dia ke luar kota memenuhi jadual pertunjukan pentas. Kesempatan bersendirian tanpa perlu bertembung dengan Diha acap kali digunakan untuk bertenang, mengumpul dan membina kekuatan diri yang tersisa.
"Awak sihat? Dah makan? Saya ada simpankan makanan. Mana tahu kalau-kalau awak lapar," kata Diha sewaktu menyalami tangannya. Beg pakaian Ariyyan diambil dan dibawa masuk.
"Sudah." Ringkas respons Ariyyan. "Sedang bikin apa?" soalnya pula. Saat itu mereka berada di ruang tamu.
"Tengah tengok drama kat TV. Best jugak cerita malam ni," jawab Diha. Dia duduk di atas katil sofa. Mula menyambung tontonan.
"Bandel tu maksudnya degil, ya? Keras kepala ... tak dengar cakap." Diha bertanya kepada Ariyyan. Cuba memahami dialog drama yang ditonton.
"Iya."
"Borgol?"
Ariyyan mengangkat muka memandang televisyen. "Ini ...." Menapak merapati skrin, dia menunjuk ke arah gari di pergelangan tangan salah seorang watak.
"Oh, borgol tu gari!" Diha tersenyum lebar. Difikirnya apa tadi. Banyak juga perkataan bahasa Indonesia yang dipelajari hari ini.
Ariyyan membuka laci meja perhiasan. Niatnya mahu menambah wang belanja buat kegunaan Diha. Dia terdiam sejenak. Duit yang ditinggalkan sebelum ini tidak luak. 'Mungkin Diha tidak keluar ke mana-mana. Jadi dia tidak berbelanja.' Dia bermonolog. Laci ditutup semula. Pandangan kembali terhala ke arah Diha.
"Ariyyan, nak rasa kerepek pisang? Semalam saya beli kerepek ni dekat pasar. Sedap!" Diha mencapai sebuah balang kecil di atas meja kopi yang berisi kerepek pisang. Dihulurkan balang tersebut kepada Ariyyan.
Ariyyan datang menghampiri lalu mengambil beberapa keping kerepek pisang yang ditawarkan kepadanya. Sekadar menjaga hati si isteri. Jika Diha sedaya upaya belajar menyesuaikan diri, mengapakah dia tidak berikhtiar agar keadaan antara mereka berdua berubah ke arah lebih baik.
"Kamu gemar makan kerepek pisang?"
Diha angguk.
"Tak kisahlah apa jenis kerepek pun, semua saya suka. Janji boleh kunyah-kunyah sambil siapkan kerja atau tengok TV. Tapi, kerepek pisang yang ni paling saya suka! Ini kerepek pisang tanduk," terang Diha panjang lebar. Senyuman manis terhias di bibir.
"Nak lagi?"
Ariyyan menggelengkan kepala. "Makasih."
"Oh, lupa saya nak tanya! Awak ada terima tawaran berlakon juga, ya?" Sementara angin Ariyyan baik, dia mencuri peluang memanjangkan perbualan.
YOU ARE READING
Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)
RomanceDIHA 'AFINA tidak menyangka sama sekali yang dunianya bakal berubah disebabkan si pemilik nama ARIYYAN. Semua gara-gara rakaman video yang ditinggalkan oleh sahabatnya, Marsha. Persahabatan antara Diha dan Marsha bermula dengan blog Tentang Sesuatu...