Bab 9.1 - Telat dan Macet

878 95 23
                                    

DIHA menyusun kusyen-kusyen kecil di atas sofa di ruang tamu supaya nampak lebih elok letak duduknya. Sambil mengemas, tertinjau-tinjau dia mencari kelibat Ariyyan. 'Tak ke studio ke hari ini? Dah bangun ke belum? Dari tadi tak nampak bayang.'

Persoalannya terjawab apabila beberapa detik kemudian Ariyyan masuk ke ruang itu. "Pagi." Suara Ariyyan menerpa pendengaran. Kelihatan suaminya lengkap bersiap seperti mahu keluar. Ariyyan memakai sehelai kemeja berwarna biru gelap dan sepasang jeans Levi's hitam. Dia mencabut wayar pengecas iPad dari soket di tepi televisyen lantas memeriksa sesuatu di iPadnya.

"Selamat pagi. Awak nak keluar ya?" Ceria Diha membalas sapaan Ariyyan sebelum merapatinya.

"Ke studio," jawab Ariyyan, memandang ke arah Diha sekilas. Seperti biasa nada suaranya mendatar. Monoton.

Diha memerhatikan tingkahnya yang menggapai segugus kunci di atas meja kopi. 'Eh, hendak gerak dah ke? Takkan tak mahu bersarapan?'

"Sarapan dulu ya, Ariyyan. Saya dah siapkan makanan," tutur Diha, cuba menahan Ariyyan yang membuka langkah hendak beredar. Pagi itu Diha menyediakan nasi goreng kerabu, roti bakar dan kopi O panas. Dia tidak pasti Ariyyan suka makan apa untuk sarapan pagi. Jadi, sekurang-kurangnya lelaki itu akan ada pilihan.

"Sudah telat. Nanti kena macet!" Ringkas jawaban Ariyyan tanpa berpaling.

'Telat? Macet? Alamak apa maksudnya tu?' Tatkala berdepan dengan Ariyyan pada saat-saat begitu, minda gagal mencerna erti perkataan-perkataan tersebut. Diha akui penguasaan bahasa Indonesianya sangat lemah. Berada di tahap minima! Dahulu sewaktu di Malaysia, jika dia ingin menonton sinetron Indonesia, perlu ada bantuan sarikata barulah boleh faham sepenuhnya jalan cerita. Kosa kata bahasa Indonesianya bertambah hanya apabila berkawan dengan Marsha. Itu pun tidaklah sehebat mana. Dalam keadaan genting sedemikian, semuanya bertaburan. Dia tidak ingat apa-apa.

"Telat? Apa tu? Macet? Err, maksud awak ... awak dah kenyang?" Bersungguh-sungguh Diha bertanya. Dalam hati dia benar-benar berharap tekaannya mengena.

Ariyyan mendengus. Malas untuk melayan Diha. Anginnya tidak baik hari itu. Langkah dihala ke pintu utama.

Diha segera mendapatkannya. "Saya bekalkan makanan untuk awak ya, Ariyyan. Boleh makan di studio nanti. Tengah hari nanti awak balik tak?"

Diam. Tiada jawaban. Angguk tidak geleng pun tidak. Ariyyan sibuk memakai kasut. Tubuhnya kini membelakangi Diha.

"Awak balik pukul berapa ya?" soal Diha lagi menginginkan kepastian. Malangnya pertanyaan-pertanyaan Diha mengundang rasa jengkel Ariyyan. Dia langsung tidak selesa dengan itu semua.

"Jadi sekarang, aku perlu melapor kepada kamu ya?!" Lantang suara Ariyyan menengking Diha. "Kok mahu mengatur segala!" rungutnya kasar. Fikiran dan perasaan yang berkecamuk menjadikan dia cepat hilang sabar. Tajam matanya mencerlung ke arah si isteri.

Diha agak terkejut dengan reaksi Ariyyan ketika itu. 'Back off, Diha! Dia tengah bad mood tu.' Mindanya mengarah Diha agar berundur. Jangan terlalu memaksa. Sekarang ini, apa sahaja yang keluar dari mulutnya akan menjadikan situasi bertambah sulit. Tidak mahu memburukkan keadaan, Diha mengunci mulut. Wajahnya ditundukkan ke bawah. Lagipun, dia tidak berani menentang ekspresi Ariyyan yang cenge itu. Harap-harap angin tidak baiknya itu tidaklah berlarutan. Perlahan-lahan dicapai tangan kanan Ariyyan. Diciumnya lembut.

"Sorry. Baik-baik jalan ya, Ariyyan. Jaga diri," pesannya dengan teragak-agak. Sedaya upaya dia memaniskan tampang muka.

Tindakan Diha membuatkan Ariyyan terpempan. Tersentuh dengan kelembutan Diha. Baru sahaja ditengking dan dimarahi tetapi wanita itu tetap menitip pesan agar dia menjaga diri. Ada rasa bersalah yang menyentap tangkai hati. Tidak tahu untuk membalas apa, Ariyyan hanya menganggukkan kepalanya.

Setelah kelibat kereta yang dipandu Ariyyan hilang dari pandangan, barulah Diha menutup pintu. Lama juga dia terdiam di situ. "Tak apalah, Diha. Dia perlukan masa untuk sesuaikan diri," gumamnya. Dilontarkan sebarang perasaan yang tidak enak jauh-jauh. Jika dia benar-benar berniat menolong Ariyyan, dia harus kuat. Mustahil belum apa-apa dia sudah hendak mengalah!

Diha mula tercari-cari aktiviti yang hendak dilakukan pagi itu. Jika di Malaysia, selalunya sesudah bersarapan dia sibuk membuat tugasan-tugasan rencamnya; menterjemah dokumen, mengedit manuskrip atau menulis artikel. Pada sebelah pagi otak masih cerdas, badan masih bertenaga. Jadi, kerja-kerja yang memerlukan perhatian dan pembacaan yang banyak memang akan dilaksanakan sebelum tengah hari.

Kebetulan, tiada sebarang tugasan yang perlu dilangsaikan. Lazimnya, dia akan meluangkan masa dengan membaca akhbar atau novel kegemarannya. Tetapi, pagi itu dirasakan seperti tiada angin pula. Buntu memikirkan apa yang hendak dibuat, Diha mengambil keputusan menulis entri baharu untuk blognya - 'Tentang Sesuatu'.

Entri Blog Tentang Sesuatu - Saya, Jakarta dan Dunia Baharu

Hari ini masuk minggu kedua saya jalani kehidupan di Jakarta. Jakarta sangat sibuk. Lebih sesak berbanding Kuala Lumpur rasanya. Saya belum berpeluang untuk teroka apa-apa yang menarik di sini. Orang dalam fasa perubahanlah katakan. Memang tiada sebarang aktiviti istimewa yang dirancang.

Tiba-tiba dia terfikir sesuatu. Pantas jarinya menekan tetikus untuk membuka tetingkap baharu pada browser. Kursor menekan pautan Google Translate. Sebaik sahaja halaman itu tertera di skrin, dia menaip perkataan 'telat' dan menterjemahkannya ke bahasa Melayu.

"Ya Allah, telat kan maksudnya lambat!" Diha menepuk dahi beberapa kali. "Macet ... macet ... oh, macet tu kesesakan lalu lintas!"

Diha mengeluh sendiri. Perkataan-perkataan itu bukan istilah asing baginya. Dia biasa menggunakannya ketika berbual dengan Marsha. Tetapi, apabila bersama Ariyyan semua bertukar haru-biru. Ketenangan dirinya gugah. Apa yang dibuat ada saja yang dirasakan tidak kena. Diha mengeluh. Mungkin dia perlu lebih bersedia setiap kali berdepan dengan lelaki itu. Rasa gemuruh harus ditolak tepi.

Diha menyambung tulisannya di blog.

Sejujurnya saya masih lagi terkapai-kapai membiasakan diri dengan keadaan di sini. Hendak dikatakan kejutan budaya (cultural shock) hmm ... rasanya tidak sampai ke tahap itu. Cuma mungkin kejutan dari segi penggunaan bahasa! Saya tidak lancar berbahasa Indonesia. Sukar memahami pertuturan dan dialek masyarakat tempatan lagi-lagi bagi saya yang jarang menonton sinetron. Sebagai permulaan, saya ingin kongsi beberapa perkataan mudah bahasa Indonesia dengan kalian hari ini.

· telat bermaksud lewat, lambat

· macet bermaksud kesesakan lalu lintas (traffic jam)

Bayangkanlah, tadi saya terpinga-pinga sendiri apabila mendengar, "Sudah telat. Nanti kena macet!" Perbualan mudah begini pun saya gagal faham. Teruk kan?!

· kapan bermaksud bila

· banget bermaksud sangat

· bareng bermaksud bersama. Contohnya makan bareng - makan bersama, foto bareng - bergambar bersama

Rasanya pasti ramai yang sudah tahu dan lebih arif daripada saya. Well, as I said earlier, pengetahuan bahasa Indonesia saya agak lemah. Bolehkah saya bergantung pada Google Translate? Atau saya perlu dapatkan Kamus Indonesia untuk diri saya? Any views?

Selesai menerbitkan entri blog, Diha melihat akaun e-mel pula. Sekadar memeriksa jika ada tugasan baharu yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Pada masa yang sama, dia bersembang dengan teman-teman di Facebook. Satu notifikasi muncul di bahagian bawah skrin - Dina telah memuat naik sekeping gambar ke dinding profilnya. Diha tersenyum riang. Pasti gambar Hakeem.

Pautan halaman yang mengandungi gambar tersebut ditekan. Wajah ceria Hakeem menyapa pandangan. Hakeem sedang ketawa dalam pangkuan mamanya. Kedua-dua belah tangan kejap memegang mainan. Pada bahagian caption, tertulis 'Hakeem rindu Aunty Diha.' Diha menyentuh skrin. Dia sangat rindu akan telatah manja mestika hatinya. Sejak Hakeem lahir, inilah kali pertama dia bercenggang dengan anak saudaranya itu.

Kursor dihalakan ke butang 'Suka'. Dengan senyuman meleret, Diha menaip sesuatu di ruang komen. 'I miss you more!'

Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)Where stories live. Discover now