DIHA mengangkat gitar Ariyyan yang terdampar di lantai ruang tamu. Dibelek-belek gitar itu buat seketika. "Ariyyan bad mood lah ni. Tak pasal-pasal kau pun jadi mangsa," omel Diha, seolah-olah sedang bercakap dengan gitar kepunyaan suami. Gitar tersebut dipegang kemas. Satu demi satu tali gitar dipetik perlahan. Sekadar suka-suka. Ceria dia mengamati bunyi yang terhasil.
"Kamu bikin apa?!"
Diha tersentak. Dia tidak sedar dari mana Ariyyan datang. Tahu-tahu terpacul di situ. Dia mengukir senyum. Wajah Ariyyan yang kelihatan tidak terurus dek kerana sudah beberapa hari tidak bercukur, ditatap penuh kasih. Di matanya, Ariyyan tetap nampak kacak dan sempurna walau kusut-masai begitu. 'Masamnya muka! Kalau awak senyum sikit kan bagus ....'
"Tengah tengok gitar ni. Gitar kesayangan awak, kan?" soal Diha memulakan interaksi dua hala.
"Nggak," sanggah Ariyyan. Sengaja menafikan meskipun apa yang dikatakan oleh Diha itu benar. Hakikatnya dia tiada angin melayan bual si isteri. Gitar disambar dari tangan Diha. Pada masa yang sama, terbit rasa musykil di hati. 'Gimana dia bisa menebak ini gitar kesayanganku? Ada-ada saja cewek ini!'
"Itu gitar pertama awak, kan?" Diha meneruskan perbualan. Selangkah dia merapati Ariyyan.
Diam. Tiada respons.
"Arwah datuk awak yang hadiahkan gitar ini masa awak mula-mula tunjuk minat dalam bidang muzik dan belajar main gitar. Pelekat 'Guns and Roses' dekat body gitar ni, awak beli sendiri dengan wang saku. Dalam banyak-banyak gitar, ini yang paling awak sayang. Awak selesa cipta lagu ... rakam lagu guna gitar ni," ulas Diha panjang lebar, mengumpan minat Ariyyan.
"Dari mana kamu tahu?! Dari Marsha?!" herdik Ariyyan. Amarah menakluki hati mengenangkan entah apa lagi yang dikongsikan antara Marsha dengan Diha. Jika bukan melalui mulut Marsha, masakan Diha boleh tahu mengenai gitar itu hingga ke butiran-butiran kecil. Haruskah Marsha memperincikan setiap kegemaran dan kebenciannya pada orang asing? Tidakkah Marsha sedar, segala kenangan, kisah suka duka mereka sewajarnya kekal eksklusif milik mereka. Tidak perlu dikisahkan kepada sesiapa. Jauh di sudut sanubari, dia teramat kecewa. Tersinggung. Tiada kata yang tepat dapat menggambarkan amukan perasaannya kala itu. Kerancuan!
Sehingga kini persahabatan Diha dan Marsha terus dipertikaikan minda Ariyyan. Jika tidak berkenalan rapat, mustahil Diha tahu perkara-perkara mengenai dirinya dan Marsha yang tidak didedahkan kepada umum. Andai betul bersahabat baik, kenapakah dia tidak pernah maklum akan kewujudan persahabatan antara kedua-duanya?
Diha terkejut disergah sebegitu rupa. Namun, dia tidak berganjak. Dia berdiam sebentar. Menimbangkan untuk menyusun kata-kata sebaik mungkin. Dia perlu bersuara. Perlu ikhtiar mendekati Ariyyan. Hubungan mereka tidak patut kekal terumbang-ambing begini. Mata bundar Diha lembut memandang Ariyyan.
"Ariyyan ...."
Tiada jawapan. Hanya renungan kosong Ariyyan yang terhala ke arahnya.
"Kita hidup serumah. Takkan sampai bila-bila pun awak nak cakap kasar, nak marah-marah setiap kali saya sentuh barang awak?"
Senyap sunyi.
Yakin bahawa dia berjaya memancing sekelumit perhatian si suami, Diha menyambung tutur, "Kita dua orang dewasa yang berakal. Boleh berfikir secara rasional. Tak boleh ke kita berkomunikasi dengan cara baik? Macam orang biasa." Penuh waspada Diha meluah baris-baris ayat. Takut seandainya dia mengguris hati Ariyyan.
"Saya bukan musuh awak, Ariyyan. Saya tak berniat nak rampas apa-apa pun daripada awak."
Ariyyan tidak membalas. Akal ligat mencerna apa yang disampaikan oleh Diha. Ada sesuatu pada kata-kata Diha yang menyentak kalbu. Merenjat daya fikir. Dia mengeluh. Tubuh dihempas ke sofa. Gitar kesayangan didakap erat.
YOU ARE READING
Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)
RomanceDIHA 'AFINA tidak menyangka sama sekali yang dunianya bakal berubah disebabkan si pemilik nama ARIYYAN. Semua gara-gara rakaman video yang ditinggalkan oleh sahabatnya, Marsha. Persahabatan antara Diha dan Marsha bermula dengan blog Tentang Sesuatu...