KOSONG. Hampa. Ariyyan sugul. Permulaan hari baharu tidak membawa sebarang erti buat diri. Hari itu dia menatang sisa semangat sama seperti hari-hari sebelumnya. Tidak mengharapkan apa-apa. Tidak juga menjanjikan apa-apa. Bagi Ariyyan, hidupnya kini tiada makna.
Selesai mandi, tangan ligat mencari baju di sebalik timbunan kain di atas lantai. Dia sendiri malas ambil peduli sama ada longgokan pakaian itu bersih, kotor ataupun telah bercampur kedua-duanya. Sehelai kemeja T Polo berwarna putih dihidu beberapa kali. Disarungkan kemeja T tersebut ke tubuh. Seterusnya, dia mengenakan sepasang jeans hitam Levi's. Siap berpakaian, dia menyisir rambutnya dengan jari-jemari. Sekadar mengemaskan gaya.
Ariyyan memandang pantulan diri di cermin. Dia melepaskan keluhan berat. Kegelapan dan kesuraman hari-hari mendatang ibarat sedang merenungnya tajam saat itu. Dia jadi benci melihat refleksi imej sendiri. Lama dia kaku di situ. Fikirannya mengembara jauh. Hati terasa benar-benar kosong. 'Mengapa hidupku jadi kayak ini?' Ariyyan mengeluh lagi.
Deringan telefon dari dalam bilik mengganggu lamunan Ariyyan. Panggilan itu tidak dipedulikan. Dia ingin terus berjeda di situ. Tidak mahu dunianya diganggu. Selang beberapa minit kemudian, telefonnya berbunyi lagi. Lambat-lambat Ariyyan keluar dari bilik air.
"Halo," bicara Ariyyan malas. Dia berdehem membetulkan suara. Kemudian senyap sebentar mendengar tutur kata si pemanggil.
"Iya. Bisa." Dia menjawab ringkas. "Tapi hari ni aku nggak ke studio," ujarnya kepada suara di hujung talian. Sambil itu jemari pantas menaip sesuatu di iPad. Membuat peringatan penting.
"Perlu ke kantor pengacara," tambahnya sebelum menamatkan panggilan. Dengan pantas Ariyyan mengumpul barang-barang peribadi miliknya – telefon bimbit, iPad, sekotak rokok dan pemetik api, dompet serta kunci kereta. Dia mengenakan jam tangan. Sempat dilirik muka jam tangan tersebut, ingin tahu bacaan waktu sebenar. Bimbang terlewat untuk janji temunya dengan Armand sekejap lagi, Ariyyan bergegas ke pintu. Ketika itulah loceng pintu rumah berbunyi. Ariyyan membukanya.
"Selamat pagi, Pak Ariyyan." Ramah suara Bibik Murni menyapa. Dihulurkan beberapa pucuk surat yang diambil dari peti surat kepada Ariyyan. Bibik Murni merupakan pembantu rumah yang diupah oleh Ariyyan untuk membersihkan kediamannya seminggu sekali. Perempuan berbadan gempal itu sudah berkhidmat dengannya hampir satu tahun. Ariyyan berpuas hati dengan cara Bibik Murni melakukan kerja-kerja.
"Pagi," jawab Ariyyan. Dia menyelak satu persatu surat-surat yang diberikan kepadanya. Bil utiliti. Katalog promosi. Bil kad kredit. Tiada apa yang perlukan perhatian segera. Ariyyan meletakkan surat – surat tersebut di atas meja. Tangannya terhenti pada sekeping sampul jernih bersaiz agak besar yang dialamatkan kepada Marsha. Dia mengambilnya.
Sampul jernih itu berisi majalah Livingetc Indonesia, majalah rekaan dan idea hiasan dalaman kegemaran Marsha yang dilanggan setiap bulan. Meskipun telah setahun lebih Marsha pergi, Ariyyan tidak tergerak langsung untuk menghentikan langganan majalah-majalah si isteri. Biarlah kenangan dan memori Marsha terus hidup bersamanya. Perlahan jari telunjuknya menyentuh nama Marsha yang tertera di atas sampul. Detik itu, jantungnya umpama terhenti seketika. Ariyyan memejamkan mata. Perasaannya berbaur. Hati terasa pedih, sedih dan kecewa.
Ariyyan cuba bertenang. Dia membuka mata. Bibik Murni masih berdiri tegak di hadapannya. Wanita itu telah lali melihat kerenahnya bermain dengan emosi.
Bibik Murni tidak bersuara. Sekadar memandang penuh simpati. Dia tahu apa yang difikirkan oleh Ariyyan. Dia faham apa yang dilalui oleh majikannya itu. Bibik Murni benar-benar berharap semoga satu hari nanti, Ariyyan akan dapat mengatasi kekecewaannya dan memulakan hidup baharu.
"Oh iya, ini upahnya untuk hari ini, bik." Ariyyan menghulurkan sejumlah wang yang dikeluarkan dari dompet kepada Bibik Murni. Dia perlu beredar. "Saya harus pergi ni."
YOU ARE READING
Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)
Любовные романыDIHA 'AFINA tidak menyangka sama sekali yang dunianya bakal berubah disebabkan si pemilik nama ARIYYAN. Semua gara-gara rakaman video yang ditinggalkan oleh sahabatnya, Marsha. Persahabatan antara Diha dan Marsha bermula dengan blog Tentang Sesuatu...