PAPARAN skrin berwarna yang sedari tadi menayangkan sebuah rakaman video ditatap dengan mata berkaca. Usah ditanya apa yang dirasakan ketika itu. Sedih, pilu, marah, geram, rindu, keseorangan. Semuanya berbaur berperang menggodam tenang jiwa dan lubuk fikir. Kecamuk! Sedaya upaya Ariyyan cuba bertahan mengawal amukan emosi yang meledak dalam diri. Dia perlu bertahan.
"Aku yakin dia dapat memahamimu. Mengerti passion-mu yang sangat dalam pada musik. Aku sendiri nggak pernah mentafsir karyamu sebegitu, ayang. Sebagaimana dia bisa mendalami hasil gubahanmu, aku yakin dia juga bisa menelah jiwamu."
Setiap patah kata yang dituturkan oleh Marsha menyentuh hati Ariyyan. Dia melarikan pandangan dari skrin yang memaparkan rakaman video Marsha. Manik jenih yang bergenang di kolam mata segera diseka. Menurut Armand, rakaman itu dibuat beberapa minggu sebelum isterinya menghembuskan nafas terakhir. Dia berasa amat sayu melihat keadaan si isteri kala itu.
"Aku sudah cukup bahagia dengan cintamu, kasihmu dan segala-galanya yang kita nikmati bersama. Meskipun masa untuk kita tidak panjang, ayang perlu terus nikmati hidup tanpa aku."
Ariyyan gagal membendung kesedihan yang mengelar hati. Diseka lagi air mata yang kini turun laju dengan belakang tangan. Betapa dia amat merindui Marsha. Sukmanya benar-benar luluh setelah ketiadaan Marsha. Tiada walau satu perkataan pun yang dapat menggambarkan perasaannya dengan tepat detik itu.
"Beri dia peluang dan beri dirimu peluang itu juga. Belajar untuk kasihi dan cintai dia, ayang. Aku tahu ayang terlalu menyayangiku ...." Kelembutan suara Marsha yang menyapa pendengaran gagal meredakan gundah-gulananya. Minda menjadi semakin kusut.
"Tapi, bukankah cinta dan kasih sayang itu nggak akan pernah habis? Nggak bisa luak. Malah, rasa cinta dan kasih itu kian menggunung jika kita suburi. Usah takut-takut untuk memberi perasaanmu kepada insan lain. Sedikit pun ayang tidak mengkhianati aku. Aku tidak berkongsi kasih sayangmu dengan sesiapa. Apa yang ayang beri selama ini sudah lebih daripada cukup buat diriku."
"Ini permintaan terakhirku, ayang. Ayang telah pun berjanji untuk menunaikannya."
Ariyyan mengambil alat kawalan jauh dan menekan butang 'Off'. Wajah dan suara Marsha lenyap. Sudah lebih tiga kali dia menonton rakaman tersebut. Setiap kali itu juga dia akan menitiskan air mata. 'Marsha, aku kangen banget sama kamu!' jeritnya dalam hati.
Ariyyan memicit-micit pelipisnya. Kepalanya pusing. Dunia terasa sempit. Perasaan seolah-olah dihimpit. Sesak! Nafas ditarik dalam-dalam. Dilepaskan lambat-lambat.
"Loe perlu baca ini juga." Armand yang sejak tadi hanya menjadi pemerhati bisu menghulurkan kepada Ariyyan sehelai kertas bersaiz A4. Ariyyan menyambutnya tanpa minat. Namun, dipaksa juga diri melihat apa yang tertera pada helaian tersebut. Lembaran di tangannya itu ialah salinan catatan blog Diha, 'Tentang Sesuatu'.
"Apa ini?"
"Baca, Ri."
Ariyyan merenungnya tajam. Inginkan kepastian.
"Itu catatan blog Diha yang Marsha pingin loe baca."
"Penulis blog?"
Armand angguk.
"Cewek itu penulis blog? Apa udah nggak ada pekerjaan lain lagi yang bisa dilakukan?" Sinis nada Ariyyan. Hatinya sedikit panas. Secara peribadi, dia tidak selesa dengan penulis-penulis blog terutamanya yang suka menulis berita hangat semata-mata ingin menarik perhatian pembaca agar berkunjung ke blog mereka.
"Baca dulu, dong. Kalau loe mengekspresi diri melalui musik, mungkin blogging merupakan caranya. Nggak salah, bukan? Dia bukan blogger entertainment yang kerjanya menulis gosip atau berita hangat. Blognya bersifat personal, blog catatan peribadi," jelas Armand.
Ariyyan menyebak kasar juntaian rambutnya yang jatuh ke dahi. Kali ini, nafas dihela rakus, dilepaskan dengan dengus. Berbekalkan secebis sabar tersisa dalam diri, matanya dihalakan semula pada kertas itu. Dia membaca apa yang tertera di atas kertas berkenaan sehingga habis. Entri tersebut merupakan ulasan peribadi tuan punya blog mengenai lagu ciptaan Ariyyan, 'Separuh Jiwaku Milikmu'. Sesudah beberapa baris pertama, riak wajah Ariyyan yang tadinya tegang kini beransur-ansur mengendur. Perlahan tatapan tajamnya memudar.
Wajah diangkat. Ariyyan memandang Armand sekilas. Dia membetulkan duduk. Kemudian, patah demi patah ulasan Diha 'Afina mengenai lagu ciptaannya dibaca dengan teliti.
Entri Blog Tentang Sesuatu: Review Lagu – 'Separuh Jiwaku Milikmu', ARJUNA (Ciptaan Ariyyan)
Secara peribadi, saya suka semua tentang lagu ARJUNA yang satu ini. Liriknya puitis, berkias penuh misteri dan pada masa yang sama sangat menyentuh jiwa. Lagunya pula membuai perasaan pendengar. Bagi saya, ini karya agung Ariyyan yang tulus. Lahir dari hati.
Menerusi lagu ini, Ariyyan menggambarkan sang kekasih yang mengharapkan pujaannya membalas cinta. Mungkin kisah ini hanya rekaan. Mungkin juga pengalaman sebenar empunya lagu. Ariyyan mengajak kita semua untuk sama-sama menjadi si pungguk yang mengharapkan bulannya agar terus di situ. Tidak jemu menghargai dan memuja keindahan sinarannya. Rasa yang mahu dikongsikan hanya rasa yang indah. Kita yang mendengar tidak pasti sama ada cinta pungguk ini dibalas oleh sang rembulan ataupun tidak. Perasaan perihnya tidak diluahkan secara nyata tetapi diekspresikan melalui gubahan melodi yang mendayu dan meruntun perasaan.
Ariyyan terdiam. Lama dia terkaku. Ada sesuatu mengenai ulasan berkenaan yang mengusik perasaannya. Mengetuk pintu hati. Memang lagu 'Separuh Jiwaku Milikmu' terlalu istimewa dan berharga buat diri Ariyyan. Tambahan pula, lagu itu yang menjulang namanya ke puncak populariti. Tulisan Diha meninggalkan kesan di jiwa. Diha boleh mengungkapkan dengan jelas apa yang ingin disampaikannya melalui lagu tersebut. Diha seolah-olah bersuara bagi pihak dirinya.
"Ada juga beberapa catatan lain yang mengulas lagu-lagu gubahan loe dari sudut pandangannya sendiri," terang Armand. "Semuanya OK. Menurut pembacaan gue, nggak ada sebarang kritikan atau kata-kata buruk yang ditujukan kepada loe atau ARJUNA."
Ariyyan diam. Dia membaca kembali kandungan kertas di tangan.
Rasa yang mahu dikongsikan hanya rasa yang indah. Kita yang mendengar tidak pasti sama ada cinta pungguk ini dibalas oleh sang rembulan ataupun tidak. Perasaan perihnya tidak diluahkan secara nyata tetapi diekspresikan melalui gubahan melodi yang mendayu dan meruntun perasaan.
Lembaran kertas di tangan dilepaskan. Dia menyandarkan tubuh ke sofa. Satu keluhan kecil terbit dari bibir.
'Siapa kamu sebenarnya?'
Terjemahan kata:
kangen – rindu
cewek – perempuan__________
Trivia LLB: Antara perkara yang saya tidak suka semasa menulis LLB ialah mereka tajuk lagu-lagu ARJUNA. I was really bad at this! Setiap kali baca semula tajuk-tajuk lagu Ariyyan dan ARJUNA, saya akan kerut dahi. Hahahah! Tetapi, semasa menulis tu dah malas nak fikir panjang-panjang, jadilah tajuk-tajuk lagu tangkap muat ikut apa yang terlintas.
Mohon bertahan ye :)
YOU ARE READING
Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)
RomanceDIHA 'AFINA tidak menyangka sama sekali yang dunianya bakal berubah disebabkan si pemilik nama ARIYYAN. Semua gara-gara rakaman video yang ditinggalkan oleh sahabatnya, Marsha. Persahabatan antara Diha dan Marsha bermula dengan blog Tentang Sesuatu...