PAGI itu Diha ditemani Bahri pergi membeli barang keperluan dapur. Dia turut membeli pek-pek minuman pracampur. Menurut Marsha, Ariyyan gemar minum air panas terutama sekali teh susu. Diha pernah beberapa kali membuat air teh susu untuk Ariyyan. Namun, minuman yang disediakan tidak bersentuh. Suasana bertambah tegang bilamana lelaki itu dirundung angin tidak baik. Ariyyan akan marah-marah tidak tentu pasal. Takkanlah Marsha seorang yang layak bancuhkan minuman buatnya?
Teh O, kopi O, kopi susu, semua jenis minuman panas sama sahaja kesudahannya. Tidak berusik. Disebabkan Ariyyan masih dalam proses transisi menyesuaikan diri hidup berdua bersamanya, Diha tidak mahu terus-menerus meneka selera suami. Tidak masuk akal jika disajikan tiga atau empat jenis air sekaligus. Untunglah sekiranya Ariyyan sudi meneguk minuman. Jika tidak, siapa pula hendak habiskan air-air itu nanti?
Semalam, Diha melihat katalog IKEA di internet. Pelbagai seleksi troli dapur beroda menarik perhatiannya. Timbul idea menyediakan hot drink station khusus buat Ariyyan. Di atas troli akan diletakkan kole, cawan, sudu kecil, serbuk kopi, susu coklat, teh uncang aneka perasa dan paket-paket minuman pracampur. Jadi, andai Ariyyan teringin minum air panas, dia boleh membancuh sendiri air mengikut kemahuannya.
Diha meminta Bahri membawanya ke kedai menjual peralatan dan kelengkapan rumah. Mujur mereka berjaya jumpa apa yang dicari. Sebuah troli dapur beroda berwarna hitam, sangat sesuai ditempatkan di dapur atau ruang makan rumah. Diha tersenyum puas membayangkan hot drink station yang bakal disediakan.
"Ke mana lagi, kak?" soal Bahri sebaik mereka berdua berada di dalam kereta.
"Pulang, Bahri. Semua barang dah ada," jawab Diha.
Bahri angguk. Kereta dipandu memasuki jalan besar. Tiba di sebuah simpang, kereta diberhentikan mematuhi lampu isyarat merah.
"Hampir terlupa saya, kak. Bunda saya kirim salam pada kakak. Dia gembira kok kapan saya beritahu yang kak suka sama lauk pecel lelenya." Bahri membuka cerita.
Diha tersenyum lebar. "Enak banget, sih! Enaknya sampai terbawa-bawa dalam mimpi!" luahnya ceria. Minggu lepas, Diha telah menghadiahkan dua helai tudung buat ibu Bahri. Sebagai tanda terima kasih, ibu Bahri menitipkan lauk pecel lele dan sambal badjak. Diha menikmati hidangan tersebut tanpa menoleh kiri kanan. Sangat menyelerakan apatah lagi apabila dimakan bersama nasi panas.
"Eh, Bahri! Lampu dah hijau."
Bahri menurunkan brek tangan seterusnya menekan pedal minyak. Tiba-tiba, sebuah kereta dari arah kanan simpang meluru laju ke arah mereka. Kereta yang dinaiki dirempuh betul-betul di bahagian tempat duduk belakang.
"Allahu Akbar!" Kalimah agung terlafaz dari bibir Diha tatkala tubuhnya menerima impak kuat hentaman.
ARIYYAN bergegas masuk ke dalam kereta. Cuaca tengah hari itu sungguh panas. Berpeluh-peluh Ariyyan dibuatnya. Beg kertas berwarna putih diletakkan di tempat duduk sebelah. Selesai kerja di studio, Ariyyan pergi membeli telefon pintar berserta nombor telefon baharu untuk Diha. Lebih mudah jika Diha menggunakan nombor syarikat telekomunikasi tempatan. Tidak perlu membayar caj tambahan perkhidmatan roaming. Tentu sebelum ini, bil telefonnya bulan-bulan melambung tinggi.
Dia menghidupkan enjin kereta. Alat pendingin hawa dipasang. Udara dingin yang menerpa terasa menyamankan. Baru hendak memulakan pemanduan, Ariyyan mendapat panggilan daripada Bahri.
"Allo. Ada apa Bahri?"
"Kang, saya mahu kasi tahu. Saya dan Kak Diha ditimpa kecelakaan. Kami ditabrak mobil. Pemandunya nggak patuh sama lampu lalu lintas. Sekarang ini, kami lagi masih di rumah sakit."
"Ya Allah! Ditabrak?! Habis, gimana keadaannya?" tanya Ariyyan cemas. Terkejut mendengar berita yang disampaikan Bahri.
"Mobilnya remuk teruk di bahagian belakang, kang. Di sebelah kanan," jelas Bahri, beranggapan Ariyyan bertanya tentang kereta.
YOU ARE READING
Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)
RomanceDIHA 'AFINA tidak menyangka sama sekali yang dunianya bakal berubah disebabkan si pemilik nama ARIYYAN. Semua gara-gara rakaman video yang ditinggalkan oleh sahabatnya, Marsha. Persahabatan antara Diha dan Marsha bermula dengan blog Tentang Sesuatu...