Cuplikan #3

1K 88 48
                                    

"Mari mama periksa." Sastri menghampiri Diha. Diha menghela nafas. Sukma diamuk badai sesal. Dia yakin sekali lagi alasannya tidak diterima. Tetapi, mana mungkin dia mahu berterus terang. Pasti situasi jadi makin kusut.

"Jangan tipu mama, sayang." ujar Sastri lembut namun Diha dapat mengesan nada kesal pada suaranya. "Jelas memar ini kesan jari manusia. Masakan kena bucu meja?"

Diha diam tercatuk. Mati akal.

"Assalamualaikum." Salam Ariyyan kedengaran sayup-sayup menandakan dia baru pulang. Diha sudah tidak terkata apa-apa. 'Masa inilah dia pilih untuk balik!' Terbit keluhan halus dari rekahan bibir, membayangkan salah faham lebih rumit yang bakal menyusul.

Terdengarkan suara Ariyyan, lantang Sastri memanggil anaknya. "Ri! Ariyyan! Ke mari kamu!"

Muncul dari ruang tamu, lelaki itu terpinga-pinga merapati mereka. Keliru merona tampang wajah. Mengapakah Sastri berdiri di depan bilik Diha dalam keadaan isterinya hanya bertuala?

"Apa-apaan sih?" Berkerut dahi Ariyyan memandang Diha. Apa lagi yang dicetuskan Diha? Kenapakah dia bertuala begitu? Tidak berpakaian lengkap. Dia mula tidak sedap hati melihat air muka mamanya. Dia tahu kini mustahil dia terlepas daripada menjadi sasaran amarah mama.

"Ini!" Telunjuk Sastri menunjukkan kesan lebam di bahu Diha. Ariyyan ditenungnya tajam.

"Sudah pandai pukul istri sekarang, ya?" jerkah Sastri. "Mama nggak pernah ajar kamu guna kekerasan! Lagi-lagi sama perempuan."

"Diha, masuk. Biar aku jelasin semua pada mama." Mendatar intonasi Ariyyan mengarahkan Diha masuk ke bilik. Diha mengangguk. Sastri menegahnya.

"Kekal di situ! Mama pingin dengar segala-galanya daripada dua-dua pihak. Diha bilang dia terlanggar bucu meja. Setahu mama, tiada meja yang bentuk kayak jari manusia di rumah kamu ini. Nah, apa cerita dari pihakmu!" pungkas Sastri. Sesak dada mendepani kerenah kedua-duanya.

Ariyyan putus bicara. 'Aku harus bagaimana? Jika mengaku memukul Diha, tentu marah mama berlanjutan. Jika menafikan, apa yang perlu diterangkan kepada mama? Kesan jari itu kesan jari Bima, ma. Malam tadi dia di bawah pengaruh narkoba, coba tiduri Diha. Mau dinyatakan begitu? Bisa copot jantung mama andai ketahui cerita sebenar. Silap-silap, mama tidak lagi menganggap kalau aku ini anaknya. Si Diha pun, kok ngomongnya biarlah yang masuk akal. Ini yang tidak-tidak. Kesan jari dikata kena meja. Bego! Bego!' Dia berperang dengan fikiran sendiri.

"Kenapa diam? Mulutnya tu udah nggak bisa ngomong kapan tepergok begini? Ariyyan, apa sebenarnya berlaku?!" Mencerlung mata Sastri. Dia tidak berpuas hati selagi tidak menerima penjelasan munasabah daripada Ariyyan.

"Ma, hal ini antara aku sama Diha. Biar kekal antara kami. Aku nggak mau mama repot-repot mikirin tentang semua ini. Ini keluargaku. Izinkan aku tangani masalah yang timbul dengan caraku." Hanya itu yang terluah olehnya. Rumit! Rumit!

Sastri memandang Ariyyan penuh geram. 'Bandel banget sih anak ini!' Ariyyan kelihatan benar-benar kecil di matanya saat itu. Bagai mahu ditelan Ariyyan hidup-hidup.

"Jadi begini cara kamu tangani masalah rumah tangga. Guna tangan?! Tunjuk kuasa?! Terserah!" Sastri mengangkat kedua-dua tangan tanda mengalah. Sekali lagi dia meninggalkan anak menantunya dalam keadaan berkonflik. Ariyyan dijeling sebelum dia beredar.

Ariyyan merengus. Inilah antara sebab utama mengapa dia belum memperkenalkan Diha kepada mama atau ahli keluarga yang lain. Apalagi mengajak mama bertandang ke rumah. Perjalanan kehidupan mereka masih orak-arik. Dia sendiri sering tewas dengan pergolakan emosi. Muhal dia mampu menakhoda bahtera rumah tangga baharu bersama Diha sebaiknya? Mama mengharapkan sebuah perkahwinan yang sempurna sedangkan apa yang dilalui dia dan Diha di luar batas normal. Jauh dari sempurna.

Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)Where stories live. Discover now