WAKTU melewati pukul 11 pagi. Sedar tidak sedar, hampir dua jam Diha menghadap komputer. Dia bingkas bangun lalu meregangkan otot badan. Kemudian, dia melangkah masuk ke dapur. Mata melilau ke sana ke mari melihat bahan apa yang ada untuk dimasak. Seminggu lebih di Jakarta, Diha sudah betah keluar membeli barang runcit juga keperluan lain.
Walaupun bahasa menjadi jurang komunikasi buatnya di sini, namun bagi Diha itu sekadar masalah kecil. Sementelahan, dua tiga hari itu Diha banyak dibantu oleh Bahri, pemandu peribadi Ariyyan. Sepanjang ketiadaan Ariyyan, Bahri ditugaskan supaya membawa Diha seandainya dia ingin pergi ke mana-mana.
Itu lebih dari memadai bagi Diha. Sungguhpun Ariyyan tidak mesra dengannya, lelaki itu bersedia memperuntukkan sedikit ruang hati dalam memikirkan kebajikannya. Tidaklah dia terpinga-pinga hilang punca tidak tahu hendak buat apa di rumah itu seorang diri.
"Wang belanja harian aku letakkan di dalam laci ini," terang Ariyyan sambil menunjukkan kepada Diha laci meja perhiasan di ruang tamu. Diha cuma mengangguk.
"Aku akan pastikan wangnya cukup bagi menampung perbelanjaan kamu. Kalau kamu perlu ke mana-mana atau pingin apa-apa, telefon nombor ini. Ini Bahri, supirku. Dia bisa bantu kamu sepanjang ketiadaanku," ujar Ariyyan sebelum berangkat pergi ke Surabaya. Dia menghulurkan sekeping kertas yang tertera nombor telefon Bahri.
Bahri, anak muda yang umurnya lebih kurang sebaya Dina itu telah bekerja untuk Ariyyan selama lima tahun. Bahri datang dari keluarga susah. Dia sekampung dengan Ariyyan. Adik-beradiknya lapan orang dan dia merupakan anak sulung. Menurut Bahri, dahulu dia hanya membawa ojek, iaitu motor sewa demi menyara keluarga. Berapa sangatlah pendapatan yang boleh diperoleh dalam sehari. Ariyyan telah bermurah hati membantunya. Bahri dihantar ke kelas belajar memandu hingga berjaya mendapatkan lesen kereta. Setelah itu, Bahri diambil bekerja sebagai pemandu peribadi Ariyyan dan keluarga.
Kebiasaannya, lelaki bertubuh kecil berkulit sawo matang itu akan datang membawanya ke pasar raya, membeli keperluan dapur. Adakalanya, Bahri sekadar menemankan Diha jalan-jalan cuci mata di pusat beli belah. Pada awalnya, dia hanya meminta Bahri menghantarnya ke satu-satu destinasi dan berniat cuba balik sendiri ke rumah menaiki teksi. Terasa janggal membiarkan orang lain menunggu dia menyelesaikan urusan. Tetapi, Bahri senang hati ingin menemankannya.
"Kapan Kang Ariyyan ke luar kota, saya nggak ada apa-apa kerja, kak. Apa salahnya saya temanin kakak. Lagipun Kang Ariyyan pesan, pastikan Diha selamat pergi selamat pulang," bicara Bahri sambil mengajuk intonasi Ariyyan. Pecah tawa kecil antara kedua-dua mereka.
Diha bersyukur. Untung ada Bahri di sampingnya. Bahri boleh bertindak menjadi jurubahasa sementara dia belum mahir berbahasa Indonesia. Misalnya semalam, sukar dia hendak membeli tepung gandum dari sebuah kedai runcit. Penjualnya seorang wanita tua yang berinteraksi menggunakan loghat Indonesia pekat. Pertuturan mereka ibarat ayam dengan itik. Akhirnya, atas pertolongan Bahri, barulah Diha tahu tepung gandum dipanggil tepung terigu oleh penduduk tempatan.
Bukan itu sahaja, Bahri turut menawarkan diri membantu Diha belajar menguasai bahasa tersebut andai ada masa terluang. Sekurang-kurangnya belajar perkara-perkara asas dahulu dalam komunikasi harian. Diha berasa selesa di samping anak muda itu. Orangnya bersopan santun malah mudah mesra.
Diha sibuk menyediakan makan tengah hari. Sup ayam berempah, bergedel tuna, sayur kubis masak tumis dan sambal kicap cili api. Dia tidak pasti sama ada Ariyyan akan balik makan tengah hari ataupun tidak. Soalannya tadi dibalas herdikan. Diha belum lagi dapat mengagak apa kebiasaan Ariyyan, bagaimana jadual hariannya. Ariyyan pula mengamalkan dasar 'tutup pintu'. Sukar diajak berbual.
'Biarlah,' putusnya, tetap menghormati ruang yang didambakan oleh si suami. Dia menghidangkan makanan di atas meja makan. Seandainya Ariyyan balik, makanan sudah tersedia. Jika tidak, lauk-pauk itu boleh dijadikan hidangan makan malam. Tidak payah susah -susah masak lagi petang nanti.
YOU ARE READING
Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)
RomanceDIHA 'AFINA tidak menyangka sama sekali yang dunianya bakal berubah disebabkan si pemilik nama ARIYYAN. Semua gara-gara rakaman video yang ditinggalkan oleh sahabatnya, Marsha. Persahabatan antara Diha dan Marsha bermula dengan blog Tentang Sesuatu...