Allah tidak akan menduga seseorang hamba dengan sesuatu di luar kemampuannya.
—————Hari ini.
Manik-manik jernih yang jatuh berlinang di kedua-dua belah pipi diseka dengan belakang tangan. Ingin membuang rasa sedih, Diha menyibukkan diri memeriksa barang-barangnya agar tidak ada yang tertinggal kelak. Dia sedang bersiap-siap untuk ke Jakarta, Indonesia. Gadis itu berasa sangat teruja. Dia akan menjejakkan kaki ke bumi Jakarta buat kali pertama.
Sebelum ini, walaupun bekerja sendiri, apabila ada kelapangan Diha lebih selesa bersantai menghabiskan masa di rumah. Tambahan pula, dahulu adiknya, Dina, sering sakit dan mendambakan perhatiannya. Dia sendiri dengan rela hati menjaga si adik sehingga sembuh. Jadi, bercuti atau melancong ke tempat lain bukanlah satu pilihan yang dirasakan wajar pada masa itu.
Mujurlah setelah dibedah pada tahun lalu, penyakit yang dialami Dina pulih sepenuhnya. Sebaik sahaja Dina sembuh, adiknya itu melangsungkan perkahwinan dengan Fahim. Keluarga sebelah Fahim yang memohon agar pernikahan mereka disegerakan supaya Fahim sama-sama dapat memikul tanggungjawab menjaga Dina. Alhamdulillah! Allah telah mengatur yang sebaik-baiknya untuk mereka dua beradik.
Kini Dina bahagia bersama Fahim dan bayi mereka, Hakeem yang menginjak usia empat bulan. Melihatkan adiknya mula mengecapi kehidupan sempurna di samping suami dan anak tersayang, Diha sudah mampu menarik nafas lega. Tertunai janji-janji pada arwah ayah dan ibu. Baru terasa ringan bahunya. Mengenangkan kedua-dua arwah orang tuanya, hati Diha diserbu pilu.
Encik Affendi dan Puan Nurha dipanggil Yang Maha Pencipta ketika Diha berada di tahun akhir pengajian di universiti. Mereka terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya sewaktu mahu pulang ke kampung menziarahi kenalan lama yang uzur.
"La ... kakak balik nanti tak sempat jumpa ibu dengan ayahlah ni?" soal Diha saat berbual dengan ayahnya. "Sebab kakak bertolak balik petang sikit. Selepas habis tutorial."
"Insya-Allah, kami tak lama pun di kampung. Selesai ziarah keluarga Pak Cik Mahat, kami pulanglah. Alah, kakak kan balik tiap-tiap minggu. Tak sempat jumpa minggu ni, kita jumpalah minggu depan," tutur Encik Affendi cuba memujuk anak sulungnya. Dia sudah betah dengan keletah manja Diha. Saban minggu, setelah semua kuliah selesai, Diha akan bergegas pulang. Homesick katanya.
"Anak ibu nak tumpang manjalah tu." Kedengaran suara ibu pula. Kebiasaannya, jika mereka berbual di telefon, ayah akan menggunakan loudspeaker supaya ibu turut dapat menyertai perbualan mereka.
"Heheheh, mestilah! Rindu tau! Nasib baiklah kampus kakak dekat dengan rumah. Senang nak balik jumpa ibu, ayah dengan adik," balas Diha manja.
"Kakak ...." Suara ayahnya tiba-tiba bertukar nada. Kali ini lebih serius.
"Bila ayah dengan ibu tak ada, kakak yang jadi ketua keluarga. Jaga adik baik-baik. Adik tu sakit, kakak kena sabar sikit. Jangan buli adik pula." Lembut intonasi suara Encik Affendi menitip pesan.
"Ayah ni ... bila masa pula kakak buli adik?" Diha separuh terjerit. Sangkanya pengucapan si ayah ketika itu sekadar usikan. Tidak terlintas sama sekali bahawa itulah amanat terakhir orang tuanya sebelum kembali menemui Sang Pencipta.
Seawal usia dua puluh satu tahun, Diha belajar erti tanggungjawab keluarga. Bukan sekadar bertanggungjawab ke atas diri sendiri, tetapi juga terhadap satu-satu adiknya yang menderita penyakit jantung. Dina muda empat tahun daripadanya. Bakal menempuh peperiksaan SPM tahun itu, sudah tentu si adik memerlukan sokongan penuh daripada dirinya. Mereka hanya ada satu sama lain untuk bergantung. Diha harus kuat. Tiada masa untuk meratapi pemergian ayah dan ibu. Tiada ruang untuk menangisi nasib diri.
YOU ARE READING
Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)
RomanceDIHA 'AFINA tidak menyangka sama sekali yang dunianya bakal berubah disebabkan si pemilik nama ARIYYAN. Semua gara-gara rakaman video yang ditinggalkan oleh sahabatnya, Marsha. Persahabatan antara Diha dan Marsha bermula dengan blog Tentang Sesuatu...