Diha menghulurkan kad berbentuk kotak berwarna hitam kepada Ariyyan. Ariyyan membeleknya penuh minat. "Kartu berupa kotak?"
"Kad ni dipanggil explosion box. Bahagian panel kosong tu nanti saya nak letak gambar mereka berdua."
"Cantik banget," puji Ariyyan. "Kamu memang kreatif orangnya. Kartu ini jauh lebih cantik dan istimewa daripada kartu-kartu ucapan yang dijual di luar sana."
Mata Ariyyan masih menatap kad di tangan. Dengan tidak semena-mena, dia teringat pada kad-kad yang pernah diberikan Marsha kepadanya. Seingat Ariyyan, ada beberapa keping kad buatan tangan yang disimpan rapi menjadi koleksi peribadi.
"Aku ke kamarku sebentar," katanya sebelum meninggalkan Diha.
* * *
"Ini hasil kerja kamu, bukan?"
Ariyyan hanyut dalam permainan emosi. Dia memandang semua lembaran memori di hadapannya dengan mata yang berkaca. Tanpa dapat dihalang, rindu pada Marsha datang membuak-buak. Cepat-cepat Ariyyan mengemas kad-kad Marsha lantas memasukkannya semula ke dalam kotak. Dia sudah berjanji pada diri sendiri. Babak kehidupan bersama Marsha perlu dinoktahkan. Itu muktamad. Dia tidak ingin terus berada di situ.
"Kenapa ni?" Diha nyata terkejut dengan tindakan buru-buru sang suami.
"Mahu disimpan. Semua ini bikin aku sakit hati," jawab Ariyyan lirih.
Diha menahan tangan Ariyyan dengan lembut. Menghalangnya. Dia mengeluarkan satu demi satu kad dari dalam kotak lalu diletakkan semula di atas katil.
"Ini kenangan-kenangan awak bersama Marsha, kan? Awak patut gembira sebab berpeluang cipta memori indah bersama arwah. Tak salah kita bersandar pada memori lama. Apa yang awak lalui bersama Marsha seharusnya jadi sesuatu yang bermakna untuk dikenang, dihargai sampai bila-bila."
"Aku akan bersifat tidak adil pada kamu, Diha," kata Ariyyan dengan nada sedih yang gagal disembunyikan.
"Lagi tak adil kalau awak hukum semua memori ini," tutur Diha.
* * *
"Kamu masih ingati dia?"
"Marsha?"
"Bukan. Mantan pacarmu."
"Maksud awak, arwah Muammar?"
Ariyyan angguk.
"Tujuh tahun kami berkawan, Ariyyan. Kadang-kadang tu teringat juga," ungkap Diha perlahan. "Tipulah kalau saya langsung tidak teringatkan arwah," sambungnya hiba. Tetapi, tiada guna dia terus menangisi cinta lama. Cinta Muammar bukan miliknya. Cinta Muammar buat Sang Pencipta. Lagipun, dia tidak mahu berdosa pada suami. Dia kini isteri Ariyyan. Satu-satunya lelaki yang layak mengisi ruang minda dan sukma ialah lelaki di hadapannya itu.
'Sekarang saya sudah ada awak untuk bebat luka saya.' Luahan itu terkunci di kotak hati. Tidak disuarakan kepada Ariyyan.
"Moga mereka berdua tenang di sana," doa Ariyyan. "Gimana keadaanmu setelah dia pergi?" Pandangan jatuh ke wajah Diha. Cuba mengintai reaksinya. Dia mahu mendengar kisah silam Diha dari mulut tuan punya diri. Selama ini dia tidak pernah peduli untuk mengambil tahu mengenai hidup Diha dan perjalanan kisah cintanya.
"Saya terkejut." Itu sahaja yang terluah dari seulas bibirnya. Lama dia berdiam sebelum menyambung bicara. "Kami dah nak bertunang. Tiba-tiba dia pergi. Saya tak boleh terima hakikat. Semuanya jadi gelap. Hitam. Saya tak mampu bayangkan melalui hari-hari baru tanpa dia.
Saya menangis. Saya bersedih. Setiap pagi, apabila buka mata, saya harap akan terima berita gembira. Tak tahulah apa yang saya fikirkan pada masa tu, tapi saya berharap yang dia hidup semula. Setidak-tidaknya, berita pemergian Muammar itu cuma mimpi. Bila saya bangun, Muammar ada. Masih hidup.
Alhamdulillah. Lama-kelamaan saya sedar, dia bukan milik saya. Dia dipinjamkan oleh Allah, sekadar singgah dalam hidup saya." Ada kesayuan melatari suaranya.
"Pasti kamu sedih banget ketika itu."
Diha diam. Kemudian dia menatap wajah Ariyyan.
"Luka saya tak sedalam luka awak, Ariyyan. Saya belum berkongsi hidup bersama arwah Muammar. Jadi, separah mana pun keadaan saya setelah dia pergi, saya hanya kehilangan seorang kekasih. Awak kehilangan seorang isteri, belahan jiwa, teman hidup, teman bicara. Kehilangan awak lebih besar berbanding saya."
"Aku terkilan Diha. Aku terlalu sibuk bekerja karna aku ingin pastikan dia sentiasa hidup nyaman. Aku bimbang aku tidak sempat curahin kasih sayang yang sewajarnya kuberikan padanya."
"Awak tak perlu risau, Ariyyan. Cinta awak pada Marsha dah lebih daripada cukup. Marsha sayang dan cintakan awak sepenuh hati. Dia selalu cakap, cinta awak terlalu banyak. Tidak setara dengan cintanya."
Terjemahan kata:
kartu - kad
pingin - ingin
manggung - membuat persembahan pentas
mantan pacar - bekas kekasih
YOU ARE READING
Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)
RomanceDIHA 'AFINA tidak menyangka sama sekali yang dunianya bakal berubah disebabkan si pemilik nama ARIYYAN. Semua gara-gara rakaman video yang ditinggalkan oleh sahabatnya, Marsha. Persahabatan antara Diha dan Marsha bermula dengan blog Tentang Sesuatu...