Bab 7.1 - Ole-ole dari Jakarta

869 93 16
                                    

DINA IMANI memang terkejut apabila tiba-tiba kakaknya hendak ke Jakarta. Dia tidak tahu secara terperinci atas urusan apa kakaknya ke sana melainkan pemergiannya ada kaitan dengan arwah Marsha. Sekarang, bagai mahu terenggut tangkai jantungnya apabila tiada angin, tiada ribut, Diha kembali ke Malaysia membawa calon suami. Calon suami! Mana ada orang pergi bercuti bawa balik ole-ole calon suami?

Mengenali Diha, Dina tahu kakaknya itu memang suka melakukan sesuatu di luar jangkaan. Sanggup buat pelbagai perkara mengikut apa yang dirasakannya wajar. Tetapi, dia tidak menyangka Diha akan pergi sejauh itu. Berkahwin dengan seseorang yang langsung tidak dikenali semata-mata demi menunaikan janji kepada insan yang telah tiada.

"Akak, Dina tak kisah pun satu hari akak bangun pagi, buat keputusan sertai program tolong anak-anak di perkampungan orang asli. Sebulan lebih akak duduk kat situ. Punyalah susah kami nak hubungi akak semata-mata nak tanya khabar berita. Dina pun tak pertikaikan keputusan akak sambut raya korban di Kemboja tahun lepas sebab jadi sukarelawan di sana. Tapi yang ini?!"

"Kenapa dengan yang ini? Ada beza ke? Niatnya nak tolong orang juga kan?" tingkah Diha yang sedang memangku Hakeem. Sesekali Hakeem didukung menghadap dirinya lalu anak kecil itu diagah hingga mengekek.

"Mana ada orang yang berkahwin sebab nak tolong orang?"

"Ada je ...." Endah tidak endah Diha membalas. Hakeem ditimang-timangnya.

"Kakakkk! Seriuslah sikit, please." Geram Dina melihatkan reaksi Diha yang dianggap tidak serius dalam perbualan itu. Lengan kanan Diha dicubitnya, ekspresi rasa tidak puas hati.

"Ni dah kira kahwin paksa tau, kak. Tak pun kahwin kontrak. Macam dalam novel dan cerita-cerita dekat TV tu!"

"Firstly, I didn't sign any contract at all. Dua, tiada siapa yang kena paksa, terpaksa atau dipaksa dalam hal ini. Kami berdua dah setuju untuk cuba yang terbaik. Come what may, we just hope for the best." Balasan Diha seolah-olah perkara itu amat mudah baginya.

'Cuba yang terbaik? Come what may, we just hope for the best.' Si adik menarik muka.

Diha mengeluh. "Tak salah bukan, kalau kakak tolong Ariyyan? Tolong tunaikan hajat terakhir Marsha. Kita terhutang budi pada arwah, Dina. Marsha yang tanggung sebahagian besar kos pembedahan Dina tahun lepas. Ingat lagi tak keadaan kewangan kita waktu tu?"

Dina mengangguk. Memang benar ketika itu mereka sangat terdesak. Pembedahannya nyaris sahaja dibatalkan kerana Diha tidak dapat menyediakan wang biaya kos pembedahan tersebut. Dalam kerunsingannya, Diha menyuarakan masalah itu kepada Marsha. Sekadar meluahkan perasaan. Tidak diduga sama sekali, tanpa berlengah Marsha mengirimkan sejumlah wang yang diperlukan.

"Akak takut sangat akan kehilangan Dina. Akak doa, mohon Allah lorongkan jalan agar Dina dapat dibedah dan kembali sihat. Alhamdulillah, Allah makbulkan permintaan akak. Allah hantar Marsha sebagai perantaranya. Padahal masa tu, dia sendiri sedang berperang melawan penyakit tetapi masih bermurah hati nak tolong kita." Ada getir yang menyelinap dalam hatinya tika dia mengingati saat-saat itu.

"Akak rasa tak salah kalau akak cuba laksanakan amanat arwah. Dengan izin Allah, Marsha bantu kita dan Dina dapat jalani kehidupan yang lebih baik. Lebih sihat. Akak dapat adik akak semula. Kenapa akak tak boleh buat benda yang sama untuk Ariyyan?" Diha mengajak Dina berfikir.

Dina memandang wajah kakaknya lama. Penjelasan Diha yang terhutang budi dengan Marsha langsung tidak dapat meredakan kerisauannya. Memang benar jasa Marsha terlalu besar. Tetapi setarakah tindakan yang bakal diambil oleh Diha dengan budi yang telah dihulur?

"Tapi kak, akak tak kenal dia ... tak tahu hati budi dia ...." Disuarakan kerisauannya kepada Diha. "Dengan orang yang kita kenal pun susah kita nak sesuaikan diri, apa lagi dengan orang asing? This is a marriage you know. Not a Facebook friend request yang kita boleh terima tanpa fikir panjang," tambahnya lagi. 'Huh, sekarang ini nak terima permintaan menjadi rakan Facebook pun kena hati-hati. Banyak scammer! Old coin collectors lah ... jejaka handsome sampai seru nak cari jodohlah ....' Sempat dia bermonolog dalam hati.

Diha memaniskan muka. Dia tahu, seperti selalu Dina risau akan dirinya.

"Ingat tak kumpulan dari Indonesia yang akak suka sangat tu?"

"Maksud akak, ARJUNA?"

"Hmm."

"Mestilah ingat. Akak pasang lagu diorang pagi petang siang malam." Dina mengusik kakaknya. Malah, ketika ARJUNA mengadakan konsert di Malaysia beberapa tahun lepas, dia turut ikut menemani Diha menyaksikan persembahan kumpulan itu.

"Tengok muka Ariyyan tu betul-betul." Diha menggunakan jemarinya untuk memalingkan wajah Dina ke arah Ariyyan. Kala itu, Ariyyan sedang berbual dengan Fahim disertai Armand tidak jauh dari tempat mereka berdua duduk. Meskipun berasa sedikit keliru dengan permintaan Diha, diperhatikan juga raut wajah bakal abang iparnya.

'Apa kena mengena dia ni dengan kumpulan ARJUNA? Ada-ada sajalah Kak Diha ni!' gumam Dina dalam hati. 'Eh?' Dina mula rasa seperti pernah melihat Ariyyan. 'Macam cam je dia ni?'

"Hah?!" Dina separuh menjerit. Menyedari intonasi suaranya sedemikian, cepat-cepat dia menutup mulut. 'Biar betul?!' Wajah Ariyyan diteliti lebih dalam.

Tidak percaya dengan apa yang dilihat, Dina mengangkat punggung. Dia merapati Fahim dan Ariyyan. Teko air panas di atas meja dicapai lalu Dina menuangkan air ke cawan tetamunya sehingga penuh. Kesempatan itu digunakan untuk memandang Ariyyan dengan lebih dekat. Lelaki itu tersenyum lantas mengucapkan terima kasih kepadanya.

"Makanlah kuih tu Abang Ariyyan, Encik Armand ... jangan malu-malu," pelawa Dina sebelum gesa-gesa mendapatkan si kakak. Perasaan ingin tahu semakin membuak-buak.

"This isn't real! Is that him?! It's him, right?"

Angguk.

"Ini Ariyyan yang nyanyi 'Separuh Jiwaku Milikmu' tu?" Dina kurang mengikuti perkembangan artis luar. Dia cuma meminati Dato' Seri Siti Nurhaliza. Artis pujaannya yang tiada banding dan tara. Dia mengenali ARJUNA pun kerana Diha cukup meminati lagu-lagu dendangan kumpulan tersebut. Menurut Diha, lagu-lagu ciptaan Ariyyan sampai terus ke jiwa. Kena dengan cita rasa.

"Ya Tuhan, kecilnya dunia!" Dina menggeleng-gelengkan kepala. Minda masih cuba memproses apa yang baru diketahui. 'Kak Diha dan Ariyyan?! Ariyyan si penyanyi popular?! Seriously?'

"Akak nak kahwin dengan artis terkenallah ni?!" soal Dina teruja. Buntang mata menagih penjelasan lanjut.

"Ish, ke situ pulak dia!" potong Diha pantas. Ditepuk bahu adiknya.

"Kenapa Kak Marsha tak pernah beritahu yang suami dia tu artis? It's weird, right?! Don't you think it's weird?!" Tiba-tiba perkara itu terlintas di benak Dina.

Diha memandang Ariyyan sekilas. Dia cuma diam.

Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)Where stories live. Discover now