"Amboi, bukan main handsome anak buah aunty ni!" puji Diha.
"Thanks, kak! Cantik-cantik rompers and onesies yang akak hadiahkan. Jangankan Hakeem, mama Hakeem pun tumpang gembira sekaki. Kan Hakeem, kan?!" Ceria Dina berbicara. Hakim ditimang-timang.
"You're most welcome. Rompers and onesies tu daripada Abang Ariyyan juga," ucap Diha. Mata leka memerhatikan Hakeem. Terubat rindu yang terbuku melayan keletah anak buah kesayangan meskipun sekadar di skrin.
Kata-kata Diha spontan mengundang senyum sinis Dina. 'Ariyyan?! Daripada Ariyyan?' Dia merenung tepat ke wajah kakaknya. Tidak berniat membalas tutur Diha. Kening sengaja dijungkit seakan-akan mempertikaikan sesuatu.
"Kak, there's no need for that." Mendatar nada suara Dina.
"No need for what?" Diha arif sungguh makna pandangan si adik. Dina jikalau mengangkat kening dan mengetap bibir sebegitu, manifestasi tanda tidak setuju. 'Ish, ada sahaja yang ingin disangkal, dibuat balah!' getus Diha. Dia sedia maklum, meskipun Dina sentiasa menyokong, teguh berdiri di belakangnya, sekelumit kesal terus bersarang di hati Dina rentetan keputusan nekadnya mengahwini Ariyyan.
"Tak payahlah nak berlapik-lapik. Ini Dina. I'm your sister. You know that you don't have to hide anything from me, right?" Dia sedar, Diha berkata sedemikian demi memelihara nama baik suami.
"Dina, please don't start," tegur Diha.
"Betullah apa Dina cakap. Tak perlu lapik-lapik. You don't have to sugarcoat things," tambah Dina. Manalah Ariyyan punya masa memikirkan Hakeem. Ruang untuk Diha pun belum tentu wujud, inikan pula ahli-ahli keluarga Diha. Tidak berniat berburuk sangka, tetapi itu realiti yang perlu diterima.
Secara peribadi, Dina menganggap Ariyyan belum bersedia memulakan dunia baharu selepas tempoh bahagianya bersama Marsha sudah maktub terhenti. Dia tidak akan lupa bagaimana pendirian Ariyyan goyah menjelang detik pernikahannya dengan Diha. Acara terpaksa ditangguhkan sementara waktu semata-mata memberi peluang lelaki itu bertenang mencari diri.
"Apa yang lapiknya? Memang from both of us. Duit dari poket Uncle Ariyyan. Tukang pilih baju-baju cantik tu, Aunty Diha," bela Diha. Tidak mempedulikan asakan Dina, dia enggan kalah. Apa Dina mahu fikir, terpulang! Bagi Diha, baik buruk Ariyyan, biar dalam rangkuman kemas isi rumah tangganya. Tidak usah diadili mana-mana pihak.
"Hakeem nampak kurus sikit. Dah tak tembam macam dululah." Dia mengubah hala perbualan, mengulas penampilan Hakeem yang tampak agak susut berbanding minggu-minggu sebelum ini.
"Hmm ... orang dah dapat kaki, kak. Mana reti duduk diam. Mama dan papa dah tak larat nak mengejar dia ke sana ke mari. Lagipun, kan minggu lepas Hakeem demam. Turun sikitlah berat badan dia," jelas Dina. "Kak, Dina nak cerita something ni." Baru teringat ada perkara harus disampaikan kepada Diha. Kedudukan Hakeem di ribaan dibetulkan.
"Apa dia?"
"Dua hari lepas Mahirah datang rumah kita. Terkejut Dina. Dia nak jumpa akak," tutur Dina membuka topik.
"Mahirah?"
Serta-merta Diha jadi buncah. Sukma diserang rasa kurang enak. Ingatan terhadap Mahirah membuatkan dia turut terkenang pada sepotong nama yang sekian lama diasingkan dari kotak minda. Dipencilkan dari sanubari.
Muammar.
Lantas tanpa berjaya dihalang, wajah Muammar bertubi-tubi menata layar minda. Setiap ekspresi Muammar; kala tersenyum, tika tertawa, riak nakalnya saat mengusik, tampang serius apabila berfikir dan muka tenang nan mendamaikan tatkala berbicara, laksana bayangan yang silih berganti terpapar di tubir mata.
"Muammar." Terluah jua nama itu di antara celahan bibir. Nada hibanya gagal dibendung. Dada seakan terhimpit, makin sesak. Cepat-cepat Diha memejamkan mata. Menghela nafas panjang-panjang. Dalam-dalam. Serba payah dia mengumpul kekuatan untuk menyambung tutur.
"Mahirah cari akak?" tanya Diha mendambakan kepastian. Emosinya berkocak hebat.
Dina angguk.
Diha mengeluh. Lama dia tidak berhubung dengan gadis muda itu. Fikiran dibiarkan melayang mengingati Mahirah, adik perempuan Muammar. Ada apa Mahirah datang mencarinya? Kenapa tiada angin, tiada khabar Mahirah muncul?
YOU ARE READING
Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)
RomanceDIHA 'AFINA tidak menyangka sama sekali yang dunianya bakal berubah disebabkan si pemilik nama ARIYYAN. Semua gara-gara rakaman video yang ditinggalkan oleh sahabatnya, Marsha. Persahabatan antara Diha dan Marsha bermula dengan blog Tentang Sesuatu...