Seharian aku mengurungkan diri di dalam bilik. Nasib baik Affy memahami keadaan aku dan meninggalkan aku sendirian. Aku perlukan masa. Sendirian. Kerana ketika ini aku sangat terkejut. Lebih-lebih lagi aku mempunyai penyakit yang berbahaya apabila berkait rapat dengan soal emosi dan mental. Aku bukannya kuat.
Dan dia tahu itu. Tapi kenapa dia sanggup melukakan aku? Bukan mudah untuk aku membuka gerbang hati aku kembali. Namun, apabila aku buka, sepantas kilat dia menghancurkannya. Memusnahkan kubu kebal aku. Merapuhkan jiwa aku.
Walaupun berkali-kali Affy mengatakan bahawa aku harus menunggu penjelasan daripada Mateen, aku tidak tahu apakah itu keputusan yang terbaik. Ya lah sekarang sudah pun menginjak Maghrib. Tiada panggilan telefon mahupun mesej daripadanya aku dapat. Apakah dia sudah terbang ke Malaysia atau belum aku juga tidak tahu. Jujurnya, saat ini aku masih tidak tahu apakah aku ingin bersemuka dengannya. Separuh jiwa aku ingin menemuinya dan bertanyakan apa yang sudah terjadi tetapi separuh jiwa aku lagi tidak kuat untuk menatap wajahnya. Aku takut kecewa.
Bagaimana harus aku lakukan seandainya dia mengatakan bahawa semua ini kebenaran? Bolehkah aku menerima kenyataan yang sebenarnya sayang dan cinta dia bukan untuk aku? Sedangkan cinta itu baru berputik, aku jaga dan siram dengan baik. Dan sekarang, aku harus membunuhnya.
Bagaimana kalau dia katakan bahawa ini hanya permainannya? Untuk memenangkan egonya? Yang sejujurnya perasaan sayang mahupun suka itu tidak pernah wujud dalam dirinya untuk dihadiahkan kepada aku.
Bagaimana kalau semua janji yang dia tabur dulu hanya dusta? Hanya untuk menundukkan aku yang disangkakan punya ego yang menggunung. Kerana dia sudah tahu rahsia dan kelemahan aku. Dia tahu aku pernah putus cinta dan berperang dengan diri sendiri suatu ketika dahulu.
Memikirkan itu semua membuatkan aku tidak mahu bertemu dengannya. Biarlah aku masih dengan anggapanku tanpa aku tahu jawapan yang sebenar. Kerana jawapan yang sebenar mungkin lebih menyakitkan. Aku tidak kuat. Aku masih mahu bersama Mateen.
Separuh diri aku mahu berpura-pura seolah-olah aku tidak tahu apa yang sedang terjadi. Aku mahu mencampak telefon bimbitku ke dalam pool dan menghancurkannya. Menghilangkan segala bukti bahawa aku telah pun mengetahui perkara yang sebenar. Biarlah jika ini permainan dia. Aku lakonkan sahaja watak yang dia berikan. Asalkan aku masih boleh berada di layar perak ini bersamanya. Sebagai sepasang kekasih. Walaupun hanya di teater ini.
Tetapi itu semua tidak mungkin. Affy pasti sudah memberitahu Danial. Dan Danial juga dengan sepantas kilat pasti sudah menceritakan perkara sebenar kepada Mateen. Aku yakin ketika ini, Mateen sudah tahu. Tapi yang aku sangat pelik, tiada langsung usaha daripada dia untuk menceritakan perkara yang sebenar. Hal ini yang menguatkan lagi firasat aku tentang permainan yang dia sedang mainkan. Berbagai-bagai senario sudah bermain di minda aku.
Fikiran aku sangat berserabut. Aku harus mengadu kepada-Nya. Dan itulah yang aku lakukan sejak tadi. Aku mengambil wuduk. Aku hamparkan tikar sejadah dan aku sarungkan telekung ke tubuhku. Aku ingin kembali tenang. Aku tidak mahu terbuai dek emosi.
'Ya Allah. Kau tunjukkanlah kepada aku jalan yang harus aku lakukan. Jika kebenaran yang terbaik buat aku dan Mateen, kau kuatkanlah aku, kau tabahkanlah hati aku. Sesungguhnya, aku tidak mampu untuk berperang dengan emosi lagi. Kau berikanlah aku ketenangan. Kau tetapkanlah yang terbaik buat aku dan dia. Kalau benar tiada jodoh dan keikhlasan antara kami, kau tunjukkanlah. Supaya kami tidak terlanjur melayani perasaan yang tiada penghujung. Kau bantulah kami ya Allah menyelesaikan masalah ini. Kerana Engkau yang Maha Mengetahui dan Engkau lah sebaik-baik Perancang. Amin ya rabbal al-amin'
Aku berasa lega sedikit. Terasa seperti bebanan perasaan semakin surut. Benarlah kata orang masalah, segala kekusutan hanya boleh diringankan dengan mengadu kepada Dia. Dan aku berharap untuk soal ini, Dia akan membantu aku dalam mencari jalan yang terbaik buat aku. Dan juga buat Mateen.
YOU ARE READING
Seteguh Kasih Sedalam Rindu
Fantasy"Why don't you marry me? We can be happy together. I mean.......I akan try bahagiakan you?" - Pengiran Muda Abdul Mateen "Tak semudah itu, Mateen. Kebahagiaan yang I cari mungkin tak sama dengan definisi kebahagiaan you" -Alya Balqis "We'll try. Tak...