14🌌

118 27 1
                                    

Teksi yang dinaiki menghentikan kereta di tempat yang dipinta. Helina membuka pintu lalu membantu memapah Haikal untuk masuk ke pagar rumahnya.

Jalan yang singkat terasa jauh. Pergerakannya jadi sedikit lambat disebabkan lutut yang kepedihan. Mungkin kerana geseran di permukaan jalan tar waktu kejadian tadi.

Sesampainya di muka pintu, Haikal melepaskan papahan dari Helina.

"Saya hantar awak sampai sini je ye."

"Taknak masuk dulu ke?" Jemput Haikal berbudi bahasa.

"Tak apa la awak, saya balik dulu. Saya ada hal lepas ni." Helina menolak lembut perlawaan lelaki itu. "Kirim salam pada kakak awak."

Helina menghadiahkan senyum terakhir sebelum mengangkat kaki beredar menuju ke teksi yang dari tadi menunggu.

Haikal memulas tombol pintu lalu melangkah masuk ke ruang tamu. Beg yang tersangkut di badan ditanggalkan dan diletak di meja berdekatan. Dia melabuh duduknya di sofa kemudian dia melihat kesan-kesan luka dan darah pada beberapa bahagian tubuh badannya. Tisu di meja digarap untuk membersihkan darah yang menyelaputi luka.

Belum sempat tisu di tangan menyapu luka yang ada, kepalanya menoleh belakang apabila kedengaran bunyi pintu depan dikuak seseorang. Sesusuk tubuh wanita berseragam putih masuk ke dalam lalu mata mereka bertentangan.

"Hai Haikal, buat apa tu?" Soal wanita itu dengan pancaran senyumannya. Dia membawa diri mendekati Haikal.

"Ya Allah! Kenapa ni, Haikal?" Sofia meletakkan tas tangan lalu segera duduk di sebelah anaknya itu. Lengan Haikal itu ditarik lalu diperhati.

"Apa dah jadi ni??" Soalnya lagi bernada cemas. Terkejut melihat anaknya dengan kesan-kesan luka dan lebam di lengan dan lutut.

Tanpa menunggu lama, Sofia bergerak mencari kotak kecemasan yang tersimpan di laci. Alat ini memang wajib untuk ada di setiap rumah buat membantu di kala perlu. Setelah mendapatkan barang yang dicari, Sofia kembali mendapatkan Haikal.

"Sini ibu bersihkan dulu luka-luka tu." Arah Sofia. "Kenapa ni Haikal? Macam mana boleh jadi macam ni?".

Sofia menyentuh tangan anaknya. Panas. Dia sudah menduga. Dia meletakkan lengan Haikal itu di atas pehanya lalu melekapkan cecair antiseptik berwarna kuning menggunakan kapas yang ada.

Haikal menggenggam tangannya sekuat hati. Matanya dipejam, menahan kepedihan apabila cecair itu menyentuh kulit yang kemerahan. Beberapa saat kemudian mulutnya mula cuba bersuara. "Haikal terjatuh.."

"Macam mana boleh jatuh? Kenapa cuai sangat. Sampai berdarah macam ni kenapa?" Sofia mula bersuara tegas, risau dengan keadaan anaknya.

"Eh, ibu dah balik? Hai ibu..!" Jerit Hadi dari dapur. Dia dan Hana akhirnya muncul selepas bersama-sama menikmati roti bercicah milo di dapur tadi.

Dia mengarak langkah ke ruang tamu bersama Hana yang mengikutinya dari belakang. Melihat kotak kecemasan yang terbuka di situ, Hadi dan Hana melajukan langkah mereka.

"Eh kenapa ni, ibu??" Tanya Hadi terkejut melihat Haikal sebegitu.

"Haikal kenapa??" Hana pula turut bersuara panik.

Mendengar gopoh-gapah anak-anaknya itu, Sofia kembali bertanya. Tapi kali ini dia bersuara lembut. Tidak mahu Haikal terasa celaru dengan suasana cemas yang mereka timbulkan itu. "Haikal jatuh kat mana.. Cuba cerita kat ibu..."

Sebelum mula berbicara, Haikal melepaskan keluhan. Sebenarnya dia malas mahu mengingati kembali peristiwa tadi tapi bila ditanya, terpaksalah dia memberitahu. "Tadi ada motor hampir nak langgar Haikal. Kawan Haikal tolong selamatkan. Dia tolak ke tepi, tu yang Haikal terjatuh kat atas jalan tu." Ceritanya. Lengannya direhatkan di peha setelah ibunya siap membalut luka.

"Wah, heroin datang selamatkan!"

"Baiknya kawan Haikal... Nasib baik dia tolak. Apalah sangat luka-luka macam ni berbanding patah riuk kalau kena langgar motor tu." Kata Sofia meniupkan semangat positif.

"Hm." Dia mengangguk sekali. "Alamak..! Lupa pula nak cakap terima kasih kat dia.." Tangan kiri Haikal menepuk dahi. Kesal dengan dirinya yang lupa menunjukkan penghargaan pada orang yang telah menyelamatkannya tadi.

Sofia menggeleng-geleng kepala. "Macam mana la benda simple macam tu pun boleh lupa."

"Oh ya, baru Haikal teringat." Celahnya mengejut. "Dia kirim salam dekat kakak tadi."

Hana mengerut kening. Rasa aneh di hati terkeluar melalui ekspresi wajahnya. "Kirim salam kat kakak?"

"Haah. Tu la macam pelik pula. Kakak kenal dia ke?"

Hana diam sejenak. Cuba meneka-neka manusia yang berkemungkinan boleh berkirim salam dengannya. Tapi tidak ada satu pun muka yang keluar di benak fikiran. Tidak pernah pula dia rapat dengan mana-mana perempuan yang menyebabkan ada yang boleh beramah mesra mengirim salam. Melainkan Iskandar. Tetapi tidak mungkin, sudah tentulah bukan dia.

"Tapi ganas jugak kan dia tolak Haikal. Sampai macam ni jadinya." Hadi menarik lengan Haikal untuk melihat kesan daripada kejadian yang diceritakan. Namun tidak sampai dua saat, tangan Haikal terlepas dari pegangannya tanpa sengaja.

"Aduh!" Tangan kiri Haikal dengan laju mengampung tangan kanan yang dijatuhkan Hadi lalu dirapatkan ke dada. Refleks daripada kesakitan yang tiba-tiba meninggi dek perbuatan Hadi yang tidak dijangka itu.

Hana yang berdiri di sebelah memandang aneh. Tidak dapat mencerna apa yang berlaku.

Hadi cuba menekapkan tangannya pada tubuh Haikal kembali. Ingin memastikan sesuatu lagi sekali. "Panasnya badan Haikal!"

"Haikal demam." Beritahu Sofia.

"Eh?" Haikal menekap tapak tangan ke dahi merasa suhu badannya. Dia sendiri tidak perasan bila tubuhnya berubah suhu. Baru lagi rasanya dia demam, penyakit itu datang lagi tanpa disedari.

"Eh, Haikal demam-demam pun pergi keluar berdating ke?"

"Bukan dating la.. Apa abang merepek ni. Tu kawan Haikal okey." Kata Haikal menegaskan perkara sebenar kepada abangnya yang sengaja ingin mencetus kontroversi.

"Haikal ni asyik demam je. Tak penat ke hah?" Hana memeluk tubuh sambil menyoal adiknya.

"Bukan orang minta pun." Haikal menjeling. Sakit hati pula mendengar soalan yang diajukan Hana itu. "Lagipun tadi okey je, bila balik ni baru demam."

"Dah, dah. Haikal pergi naik atas berehat. Yang lain jangan kacau-kacau dia ye. Pening kepala ibu dengar korang bising-bising ni." Arah Sofia sambil memegang kepalanya. Tak habis dengan melayan pesakit-pesakit yang bermacam ragam di tempat kerja, kena pula melayan karenah anak-anak bila pulang ke rumah. Boleh migrain kepalanya kalau berterusan begini.

Haikal bangun. Seperti yang disuruh ibunya, dia bergerak menuju ke bilik.

Hadi hanya memerhati langkah-langkah Haikal yang mengencut itu. Timbul rasa kasihan dalam hatinya. Sudahlah kemalangan, penyakit biasanya pula datang bersama menambahkan lagi dugaan yang baru menimpa.

Tapi dia kagum dengan Haikal. Selama berbelas tahun Haikal hidup bertemankan penyakit demam yang selalu datang dan pergi, tidak pernah sekalipun Hadi mendengar kata-kata rungutan keluar dari mulut adiknya itu. Dia melalui semuanya tanpa sedikitpun menyoalkan ujian yang diterima. Itulah salah satu sifat Haikal yang Hadi banggakan. Kerana dia yakin, tidak semua orang mampu berbuat begitu.

Jawapan Dari BintangWhere stories live. Discover now