"I nak vanila latte boleh?" Walaupun rasa meluat membuak-buak, Nadia tetap tidak dapat menahan diri daripada mengajuk suara manja Iryana tadi. Hati Nadia sudah menyampah sangat dengan Si Iryana tu.
"Eee... Gedik!" bentak Nadia sambil berjalan dengan tangan yang berpeluk tubuh. Kaki menghentak keras kaki lima kedai itu tanda geram, kuat bunyi tapak kasut kesan hentakan kakinya. Kalau boleh dijampi lantai kaki lima itu biar hentakan kakinya terasa pada muka Si Iryana, memang Nadia sudah buat.
Nasib baik dia tak reti sahaja, selamat wajah cantik putih mulus Iryana tu. Mulut Nadia tidak habis-habis terkumat-kamit menghambur kata-kata makian khas kepada Iryana bagai orang kurang siuman bercakap seorang diri.
"Nadia tolong belikan. Isy, mengada-ada. Ezuan pun satu, tahulah dia bos tapi bila masa pula aku ni jadi tukang beli air untuk tetamu dia? Suka-suka hati mengarah aku pergi beli vanila latte perempuan gedik tu. Eee... tolonglah, mengada-ada gila. Dahlah beli guna duit aku, sakitnya hati."
Ikutkan hati mahu sahaja tangan Nadia melayang ke wajah Iryana acah-acah polos itu. Malangnya tamparan itu hanya dapat dilayangkan di dalam mindanya sahaja. Berkasar di tempat kerja bukan cara Nadia, dia masih tahu apa yang patut dia buat dan apa yang tak patut dia buat.
Melayangkan satu tamparan pada pipi bakal menantu bos besar bersamaan dengan Nadia berkemungkinan perlu mencari pekerjaan lain. Tangan Nadia cepat-cepat naik ke atas kepala, mengetuk lembut sekali dua kepala kecilnya itu lalu menggelengkan kepalanya, menyingkir bayangan dirinya yang semakin menggila mengganyang Iryana daripada otaknya, daripada tampar ke tarik rambut, daripada tarik rambut kepada berguling, bergaduh sampaikan bertumbuk.
Sudah Nadia, sudah... Makin dilayan marah kau ni, makin naik hantu bayangan kau dalam otak ganyang Si Iryana tu. Kau tak mahu pergi cari kerja lain, kan?
Nadia menyabarkan diri, bukan senang nak dapat kerja sekarang. Dengan lambakan graduan menganggur sekarang, dia pasti kalah dalam persaingan merebut jawatan dengan graduan universiti yang ada ijazah, berbanding dia yang hanya ada sijil SPM. Bila otak berhenti membayangkan benda-benda merapu, bibir pula gatal hendak menyambung bebelan buat dua makhluk yang membuatkan dia menapak ke kafe berhampiran untuk memenuhi permintaan Iryana yang tidak mahu minuman lain selain vanila latte. Dasar budak loaded.
"Masa ofis tengah kelam-kabut macam inilah dia nak datang melawat tunang belum tentu jadi tu. Si Ezuan tu pun layan aje. Memang dasar tetamu tak diundang betul."
Nadia bernasib baik kerana kafe yang sesuai dengan standard tekak Si Iryana tidak jauh dari pejabat Nadia. Dia hanya perlu berjalan sedikit dan kemudian melintas jalan untuk sampai ke kafe itu.
Nadia mengeluh panjang bila dia berdiri di hadapan kafe yang hendak ditujui, sudah tidak terbilang berapa kali dia mengeluh. Mulutnya pun sudah letih membuat dosa memaki hamun Iryana dan Ezuan. Nak tak nak, walaupun terasa kaki berat macam mana pun, Nadia terpaksa juga melangkah masuk ke dalam kafe itu. Dah sampai pun, tak guna kalau dia hendak menukar fikiran sekarang dan berpatah balik dengan tangan kosong, rugi masa dan tenaga.
"Ice vanilla latte dua."
Jari Nadia secara automatik terangkat tanda 'peace', mudah untuk orang faham dan mengelakkan salah dengar pesanan.
Setelah membuat pembayaran, Nadia duduk di kerusi bulat di tepi dinding kaca kafe. Matanya terus sahaja memandang salun kecantikan di seberang lorong kecil di antara kafe dan salun itu. Salun yang juga berdinding kaca nampak sangat mewah lagi moden dan elegan.
Sudah lama Nadia teringin hendak menjejakkan kaki ke salun kecantikan itu, tetapi tak pernah sekali pun dia pergi. Memandang dari jauh pun sudah boleh membuatkan Nadia teruja. Tak dapat bayangkan bagaimana perasaannya kalau sudah berada di situ. Bibir Nadia mengukir senyuman, tak sangka dengan hanya memandang salun itu boleh buat Nadia lupa sebentar marahnya pada Ezuan dan Iryana.

YOU ARE READING
NADIANA
Tiểu Thuyết ChungTajuk: Nadiana Penulis: Cik Q Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-102-8 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018