Bab 11

397 7 0
                                    

"Ini misi balas dendam Ez ke apa ni?" Nadia gumam sendiri perlahan, matanya menyoroti langkah Iryana dan Ezuan yang sama-sama beriringan masuk ke dalam bilik Ezuan. Mereka baru lepas makan tengah hari bersama, Iryana pula menawarkan diri mengemas bilik Ezuan untuk bersedia berpindah ke bangunan pejabat baharu. Ezuan masih terlalu sibuk dengan urusan kerja untuk berkemas.

"Dalam sebulan dua ni, akak selalu nampak anak bos besar tu bawa perempuan tu datang ofis dia." Suara Suria, kerani akaun yang duduk di sebelah Nadia. Nadia tertoleh bila mendengar ada suara bercakap.

"Hah? Apa? Apa?" Nadia bertanya semula kerana dia tidak dapat menangkap apa yang Suria katakan tadi, dia terlalu leka dengan fikirannya sendiri.

"Akak cakap dalam sebulan dua ni akak selalu nampak perempuan tu kat sini."

Suria mengulang ayatnya. Nadia membuat muka setuju, memang pun Iryana selalu bertandang ke sini sejak Tuan Khalid perkenalkan Iryana dan Ezuan.

"Memang selalu, tiap-tiap minggu pun datang. Macam dah tak boleh dating lepas waktu pejabat," balas Nadia dalam nada menyindir. Dia kembali menyambung kerjanya, malas hendak melanjutkan topik ini, buat panas hati dan menambah dosa aje. Lagipun Nadia tak biasa bergosip dengan rakan sekerja sangat, takut terlepas cakap pasal dia dan Ezuan.

"Dating? Bukan Encik Ezuan tu dengan Nadia ke?" Suria bertanya, memancing cerita daripada Nadia. Biasalah, siapa yang tak bergosip di pejabat. Kalau dah bos sibuk angkut perempuan, mana dia nak nampak staf dia bergosip.

Nadia tersentak mendenger kenyataan Suria itu, jarinya berhenti menaip.

Mana dia tahu ni?

"Dengan saya? Mana ada akak, ada-ada aje akak ni. Dia mana nak pandang perempuan kampung macam saya ni kak." Nadia menafikan, Suria tertawa kecil dengan jawapan Nadia. Memang dia sudah agak Nadia tidak akan mengaku.

"Sudah-sudahlah kau nak sorok Nadia, semua orang dah tahu. Sebab kau orang sorok-sorok aje kami diam, kami dah lama dah tahu," ujar Suria sambil menampar lembut bahu Nadia. Nadia terus menggigit bibir, tak sangka pula staf pejabat ni dah tahu tapi masih boleh diam buat-buat tak nampak. Atau mungkin mereka ada bergosip di belakang Nadia dan Ezuan, cuma dia sendiri yang tak nampak kerana kurang bergaul dengan mereka. Dada Nadia mula berdebar, sejauh mana mereka tahu?

"Kalau buat air, nak minta tolong ke, kamulah tiap kali kena panggil. Mula-mula kami ingat dia buli kamu tapi akak tengok Nadia okey aje, tak ada pula marah-marah ke, mengamuk ke. Lama-lama baru perasan dia layan Nadia baik sangat, kalau ada apa-apa pun semua dia dahulukan Nadia. Kadang-kadang kami nampak aje kau orang berdua berbual tapi kami buat-buat tak nampak, kami semua ada mata tau," usik Suria pada Nadia. Nadia tertunduk, jarinya menggigil sejuk, dalam hati makin berdebar bimbang kalau-kalau mereka tahu yang dia pernah tinggal di rumah milik Ezuan dahulu.

Apa aku nak jawab ni?

Belum pun sempat Nadia mencari akal untuk membalas kata-kata Suria, telefon di tempatnya berdering, Nadia menarik nafas lega kerana dia dapat melarikan diri daripada terus membalas kata-kata Suria. Atau paling tidak pun, beri dia masa untuk berfikir.

"Nadia, buat air." Suara Ezuan menyapa sebaik sahaja gagang telefon itu melekap ke telinga Nadia. Nadia terus tarik muka bosan, Ezuan memanglah boleh minum tapi si bakal tunang tu boleh ke nak hadam?

"Buat air, kan?" tukas Suria sambil menuding jari kepada Nadia. Nadia mengangguk, bibirnya melepaskan keluhan malas.

"Kan akak dah cakap."

Nadia terus bangun dan berlalu ke pantri. Cepat sahaja Nadia menyediakan dua cawan kopi buat Ezuan dan Iryana dan menghantarnya ke bilik Ezuan. Otak Nadia kosong ketika dia menyediakan minuman itu, sedar-sedar sahaja dia sudah berada di bilik Ezuan. Di hadapannya terpacak Ezuan dan Iryana yang sibuk mengeluarkan beberapa fail dari kabinet untuk dimasukkan ke dalam kotak besar.

NADIANAWhere stories live. Discover now