"Kenapa dengan you?" tanya Anna, salah seorang pekerja di Salun Ace Cut. Matanya terbeliak melihat keadaan Nadia yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam salun itu.
"Ada orang gila tuang kopi atas kepala I," jawab Nadia dengan suara malas. Mendengar suara Nadia membalas pertanyaan itu, Alan terus tertoleh ke arahnya.
"Why?" tanya Anna lagi.
"Sebab dia gila," jawab Nadia lagi dengan nada geram. Ming dan Eddie, pendandan rambut Ace Cut dan tiga orang pelanggan juga menoleh setelah mendengar jawapan Nadia itu. Nadia mengeluh lalu dia tertunduk.
"Anna."
Alan memanggil Anna sambil menanggalkan sarung tangan, Anna faham yang Alan memanggilnya untuk menghabiskan kerjanya mewarnakan rambut pelanggan. Anna terus sahaja mengambil tempat bosnya menyambung tugas itu. Senyuman dilemparkan kepada pelanggan yang sudah kuyu matanya kerana mengantuk. Proses mewarnakan rambut memang lama, tambah-tambah pula rambutnya panjang.
Alan mendapatkan Nadia yang kaku di depan pintu salun. Wajah Alan terselit riak risau, keningnya berkerut. Tangannya memegang lembut lengan Nadia.
"Apa sudah jadi?" tanya Alan risau. Nadia menggeleng.
"Jangan macam ini, nanti I risau. Just tell me what happened?" sambung Alan bila Nadia enggan bersuara. Nadia panggung kepala lalu memandang ke dalam mata Alan, dia tersenyum tapi Alan tahu itu senyuman paksa.
"Alan, I nak cuci rambut," kata Nadia. Takkan nak balik ke rumah dengan rambut bau kopi. Alang-alang ada di salun rambut, cuci sajalah rambut ni.
"Come." Alan menarik lengan Nadia membuatkan gadis itu mengaduh serta-merta. Alan memandang Nadia, Nadia menjawab tanpa disoal.
"Tangan I ada lebam sikit."
"Oh, sorry." Terus sahaja Alan melepaskan lengan Nadia. Nadia mengikuti Alan ke ruang mencuci rambut. Alan menjalankan tugasnya seperti biasa, sudah lama dia tidak mensyampu rambut pelanggan kerana selalunya pekerja bawahannya yang akan membuat kerja itu.
"Now, can you please tell me why you smell like coffee?" soal Alan sambil tangannya membersihkan rambut Nadia.
"Tadi kan I dah beritahu, ada orang gila tuang kopi atas kepala I."
"Kenapa?"
"Sebab dia gila."
"Nadia, be serious." Keras suara Alan. Nadia menarik muka. Alan risau, baru sahaja Nadia dapat tersenyum gembira baru-baru ini tetapi hari ini senyuman manis Nadia seolah-olah diragut pergi daripada wajah cantiknya itu.
"You ni, mana boleh marah pelanggan," kompelin Nadia, bibirnya muncung tanda tak puas hati.
"Orang datang salun dia, dia marah kita. Tak datang terus baru padan muka. Hilang sorang pelanggan setia," bebel mulut Nadia. Terus sahaja wajah Nadia direnjis air.
"Ops... Sorry, tak sengaja," ucap Alan dengan nada tak ikhlas walau sekelumit pun, dia memang sengaja berbuat begitu kerana geramkan Nadia yang tidak mahu membuka cerita sebenar. Boleh pula Nadia membebel marahkan Alan depan-depan.
Nadia bangkit dan menoleh ke arah Alan dengan muka masam mencuka. Alan menarik lembut bahu Nadia memaksanya berbaring semula.
"Cik, tolong jangan bangun. Nanti baju basah," ucap Alan dengan pelatnya.
"Mana ada I marah pelanggan, I marah kawan I yang tak mahu cerita perkara sebenar," sambung Alan. Bibir Nadia yang diketap rapat mula herot ke kiri dan ke kanan, lagaknya seolah-olah sedang berfikir. Kemudian dia mengeluh lagi.
YOU ARE READING
NADIANA
General FictionTajuk: Nadiana Penulis: Cik Q Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-102-8 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018