Hari Isnin yang mendebarkan menjelma, buat pertama kalinya Nadia datang ke tempat kerja menaiki kenderaan awam.
Dia bangun lebih awal semata-mata untuk menunggu bas, maklumlah ini kali pertama buat Nadia, dia masih belum tahu bas yang mana perlu dia naik untuk ke tempat kerja dan berapa minit perjalanan ke sana. Mujur Diana sudi menemaninya di hentian bas sambil memberitahu nombor-nombor bas dan haluan bas-bas tersebut. Di mana lagi dia boleh bertemu manusia sebaik Diana? Nadia bersyukur dia ditakdirkan bertemu dengan Diana, walaupun segalanya bermula dengan satu kemalangan yang tidak disengajakan.
Nadia mengambil tempat di atas kerusinya, dia mengeluh kecil. Akhirnya sampai juga.
"Nasib baik cuaca baik, baru-baru ni selalu sangat hujan. Kalau hujan macam mana aku nak datang kerja," rungut Nadia sendiri.
Kalau hujan, pasti boleh basah Nadia sementara dia hendak sampai ke pejabat. Mana nak kejar bas lagi, nak berpayung lagi. Kalau terus begini, alamatnya hari-hari Nadia akan berdoa agar tidak hujan di waktu pagi dan petang.
Duduk sahaja di tempatnya Nadia sudah melepaskan keluhan, kalau ikutkan hati mahu sahaja berhenti tapi memandangkan dia belum tentu boleh dapat kerja lain, berhenti kerja bukan satu pilihan yang bijak. Setidak-tidaknya Nadia perlu mencari kerja lain sebelum menaip surat berhenti.
Lama Nadia berteleku, termenung sendiri memikirkan apa patut dia buat? Lamunan terhenti bila ada bunyi ketukan pada mejanya. Pantas Nadia menoleh, terlihat wajah bekas kekasihnya, Ezuan Rizal. Nadia memandangnya dengan mata kosong, lelaki itu memberi isyarat memanggil Nadia masuk ke biliknya.
Awal mamat ni datang kerja, tak senang duduklah tu aku tak ada kat rumah dia. Sempat lagi Nadia mengutuk Ezuan dalam hati sebelum bangun dari tempat duduknya. Dengan berat hati Nadia mengikut juga Ezuan.
Nadia diam tidak bersuara, wajahnya tidak ada ekspresi, kosong sahaja memandang ke wajah Ezuan. Nadia tidak mahu membuka mulut, biarlah Ezuan yang mulakan dahulu.
"You pergi mana?" Ezuan kalah dengan Nadia yang tidak mahu bersuara dahulu.
"Pergi mana apa, bos?"
Nadia buat-buat tak faham. Wajahnya kemudian memandang ke arah lain, malas hendak menatap wajah Ezuan yang semakin lama semakin tegang, marahkan Nadia.
"Jangan buat-buat tak faham. I balik rumah you tak ada, dua hari you tak balik, you pergi mana?"
"I pindah."
"I tak suruh you pindah pun. I tak benarkan you pindah keluar," tegas Ezuan, Nadia menarik muka menyampah. Hati Ezuan mula diasak marah yang semakin membara.
"Kita dah berpisah, Ezuan. Takkan I nak tinggal kat rumah tu lagi. Fikir logiklah." Nadia pun mula melenting. Jangan ingat Ezuan saja pandai marah, selama ini dia pendamkan sahaja marahnya. Entah jampi apalah Alan pakai sampai cara pemikiran Nadia boleh berubah sebegini rupa.
"I tak pernah setuju pun nak berpisah dengan you."
"You lupa agaknya apa I cakap Jumaat hari tu, you setuju atau tidak, I tetap nak tamatkan hubungan kita. Cukuplah..."
"Kalau bercakap tu pandang muka I ni!" marah Ezuan separuh menjerit. Nadia yang tidak sempat menghabisi ayatnya tadi terus tertoleh ke wajah Ezuan yang jelas sedang sakit hati dengan sikap Nadia, yang sengaja tidak memandang ke wajah Ezuan. Sebaik sahaja mereka sama-sama berbicara tadi terus Nadia memandang ke tempat lain, ke dinding, siling, bukan ke wajah Ezuan yang sedang bercakap dengannya.
"Ezuan, I rasa dah tak ada benda kita nak cakap rasanya. Orang bijak pandai macam you mesti cukup faham bila I cakap I nak berpisah dengan you," luah Nadia setenang mungkin. Minda Ezuan masih tidak dapat menerima kenyataan yang Nadia mahu berpisah dengannya, dia kenal hati Nadia. Nadia sangat cintakan dirinya, tak mungkin Nadia hendak berpisah.
YOU ARE READING
NADIANA
General FictionTajuk: Nadiana Penulis: Cik Q Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-102-8 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018