"Nadia, aku nak tanya sikit, boleh?" Diana membuka bicara.
"Tanyalah," balas Nadia walaupun mata masih lagi terpaku di kaca televisyen. Maklumlah, sudah kekenyangan dengan makan malam.
Sambil berehat sebelum masuk tidur, melepaklah di depan TV. Kalau hendak melayari Internet, dia tak ada komputer, dulu di rumah Ezuan adalah. Telefon pintar hadiah daripada Ezuan juga sudah pun ditinggalkan di rumah lama itu, Nadia belum lagi berkesempatan membeli telefon bimbit baru.
"Kau period ke?"
"Eh, tak adalah. Kenapa?" balas Nadia pelik, tiba-tiba sahaja tanya pasal datang bulan.
"Ni... Kuku kau ni. Merah. Macam mana kau solat? Atau kau tak... Solat?" tanya Diana, dia serba salah juga nak tanya tapi ini tanggungjawab, dia kena tanya juga.
"Errr..."
Nadia kehilangan kata-kata. Memang betul, dia sudah lama tinggalkan tikar sembahyang. Dulu bila dia dihalau daripada rumah, mak tiri Nadia campak sahaja begnya keluar rumah. Sudah tentu telekung tidak disumbat masuk sekali ke dalam beg kecil itu.
Selepas dia 'dikutip' oleh Ezuan, dia tidak berani untuk meminta-minta. Dia sudah cukup berterima kasih bila lelaki itu memberinya tempat tinggal yang selesa dan makan minum yang cukup. Bila sudah lama meninggalkan amalan itu, dia sendiri sudah tidak ingat bahawa solat pernah menjadi rutinnya dahulu yang dia perlu teruskan sehingga hujung hayat.
"Betul ke apa aku cakap ni?"
Diana serkap jarang, tetapi perubahan wajah Nadia membuatkan dia percaya apa yang ditukasnya benar belaka. Suara Diana sangat lembut bila bertanya, Diana bukan main lantang bila menyatakan peraturan-peraturan rumahnya, apa yang boleh buat, apa yang tidak boleh buat dan sebagainya tetapi bila menyentuh isu agama suaranya lembut seolah-olah memujuk.
Nadia mengangguk, tiada guna untuk dia menipu. Memang jelas lagi nyata.
"Kau tak pernah solat?" tanya Diana lagi.
Nadia menelan liur, segan dan takut. Dadanya berdebar-debar bila soal ini dibangkitkan, sedang dia sudah lama melupakannya.
"Eh, taklah. Aku pernah. Tapi, aku dah lama tinggal." Suara Nadia perlahan. Rasa bersalah terbit dalam diri.
"Aku tengok kau ni nampak baik sangat, orang baik-baik. Kenapa?"
Nadia tidak dapat menjawab soalan Diana itu, dia hanya menjongketkan bahu dan menggeleng sedikit. Dirinya terasa kosong. Diana tidak tahu apa-apa mengenainya, luaran saja nampak baik tapi bergunung sudah dosanya. Nadia menundukkan kepalanya. Teringatkan dirinya yang banyak berdosa buat dia malu untuk mengangkat kepala di hadapan Diana. Diana memegang tangan Nadia, Nadia sedang menahan getaran jantungnya yang laju berdegup. Mereka berdua diam seketika.
"Aku tak ada telekunglah, Diana. Kau ada telekung lebih tak?" tanya Nadia kepada Diana. Baru sekarang dia berani memandang wajah Diana yang kelihatan seperti bersimpati dengan Nadia. Diana tersenyum bila mendengar soalan itu.
"Ada. Nanti aku hadiahkan pada kau," ujar Diana senang.
"Aku kena buang benda ni. Nanti orang kat pejabat kata aku tak beretika pula, datang ofis kuku merah."
Nadia berkata sendiri sambil merenung ke arah kuku-kukunya setelah menarik tangannya perlahan-perlahan daripada genggaman Diana.
Ini semua kerja Alan, dialah yang pandai-pandai meletakkan nail polish warna merah garang ini, bentak Nadia dalam hati, namun sebentar kemudian terus dia terlintas dalam fikirannya yang Alan langsung tidak bersalah. Dia boleh menghalang Alan daripada berbuat demikian tetapi dia membiarkan sahaja. Bukan salah Alan, Nadia tidak menunaikan tanggungjawabnya. Memang sudah lama dia meninggalkan amalan wajib itu.
YOU ARE READING
NADIANA
Genel KurguTajuk: Nadiana Penulis: Cik Q Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-102-8 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018