Bab 14

422 5 0
                                    

Mata Diana terkebil-kebil melihat Nadia memarkir kereta Perodua Kelisa merah berbumbung hitam di anjung rumah. Nadia berlagak bersahaja sebaik sahaja keluar daripada kereta baharu yang tak berapa nak baharu itu. Terus dia menutup pagar.

"Eh, kau tak pernah nampak Perodua Kelisa ke?" tanya Nadia kepada Diana yang masih ternganga di muka pintu.

"Comel tak?" tanya Nadia sambil mengangkat keningnya, bangga berdiri di sebelah keretanya.

"Comel... Sesuai dengan kau," puji Diana. Dia terangguk-angguk memperkukuhkan kenyataannya, sesuailah dengan Nadia yang comel.

Semalam dia berposing habis dengan kereta-kereta yang ada semasa dia memilih kereta, kejap Perodua Myvi hitam, Perodua Myvi kuning, Perodua Kancil merah, Proton Saga biru, Proton Satria silver dan banyak lagi jenis kereta yang ada. Alan pun melayan aje dia, sikit pun tak kompelin, dan akhirnya Perodua Kelisa merah ini juga yang jadi pilihan hati setelah ditolak campur darab bahagi gajinya, inilah yang sesuai dengan gajinya sekarang dan dia sangat suka dengan pilihannya ini. Nadia tersenyum luas, bukan main dia berposing dengan kereta Kelisa itu, kereta kebanggaannya kerana dia membelinya dengan duit sendiri.

"Kereta siapa pula kau bawa balik ni?" Diana bertanya. Tak pernah pula dia dengar Nadia ada kata dia hendak beli kereta ke apa. Tiba-tiba sahaja muncul, mungkin dia pinjam daripada kawan kut. Nadia terus merangkul lengan Diana dan sama-sama beriringan ke dapur.

"Kereta akulah. Tiga hari lepas aku pergi beli. Hari ni lepas OT tadi aku ambil." Nadia menghempas tubuh di atas kerusi di meja makan. Seperti yang dia jangka pasti Diana sudah siap masakkan makan tengah hari, bau masakan sudah menusuk hidungnya sejak dia melangkah masuk rumah tadi. Perut sudah lapar, tak sabar nak makan. Nadia apa lagi, cepat-cepatlah mencuci tangannya di singki.

"Cepatnya."

"Dunia sekarang, asal ada duit sekejap aje," balas Nadia. Lagi cepat lagi bagus, tak perlu lagi nak kejar bas untuk ke mana-mana. Selama ini dia terlalu disenangkan oleh Ezuan sampai masa dia berasa susah sedikit, sudah menggelupur. Cepat-cepat cari jalan penyelesaian, mujurlah dia masih mampu untuk membeli kereta, second hand pun second hand la, janji boleh bergerak.

"Ha... Itu agaknya beza orang dah kerja dekat tujuh tahun dengan orang yang baru kerja tujuh bulan. Kau dah boleh beli kereta, aku pula kena buang kerja."

Diana mengeluh, tempoh dia tidak bekerja itu terasa sangat-sangat panjang. Baru seminggu, tapi terasa macam sudah lama dia duduk goyang kaki. Rasa tak enak mula bertamu dalam hati, siapa nak tanam anggur lama-lama, duit bergunung pun boleh habis macam tu aje.

"Ala, ada officemate aku kerja baru sebulan dua dah beli kereta tau. Sekarang kereta tu satu keperluan, tak ada kenderaan susah nak gerak. Public transport kita belum cukup cekap lagi, bas kejap awal kejap lambat, stesen lrt, mrt dengan ktm pun tak boleh banding dengan negara jauh macam Jepun dengan Korea tu, lawan dengan negara jiran kita pun kalah."

Nadia mula mencedok nasi ke atas pinggannya dan ke atas pinggan Diana. Tetapi Diana masih lagi berdiri di sebelahnya, masih risaukan mengenai status dirinya sebagai penganggur dan duit.

"Macam manalah nak buat hutang kereta kalau hutang PTPTN pun banyak lagi."

Bukan Diana nak merungut, tetapi memang kenyataan. Dia dirundung rasa tidak enak bila mengenang nasib diri yang sedang menganggur sekarang. Bukan juga sebab dia tak mahu bersusah sikit naik kenderaan awam, dia sanggup bangun awal untuk mengejar train dan bas untuk ke tempat kerja. Tetapi sekarang ini banyak pula majikan yang awal-awal sudah pamerkan dalam iklan jawatan kosong mereka yang mereka mahukan pekerja ada lesen, boleh memandu dan ada kenderaan sendiri.

Kalau kena buat sales, masuk akallah tapi banyak juga jawatan yang bukan bidang jualan dan pemasaran tetapi masih mahukan pekerja yang ada kenderaan sendiri. Dah macam syarat wajib pula.

NADIANAWhere stories live. Discover now