Nadia melangkah keluar dari surau kecil pejabat, sekarang Nadia cuba membiasakan diri untuk kembali ke rutin wajib setiap umat Islam. Kaki baru sahaja hendak melangkah, terasa lengannya direntap kasar oleh seseorang.
"Ouch... Sakitlah!" marah Nadia kasar, hilang rasa tenang yang dia rasakan sebentar tadi. Tak payah pandang pun dia tahu siapa yang merentap lengannya, dah buat hobi baharu agaknya rentap lengan orang dengan kasar.
"Lepaslah, sakit tahu tak? Dah la sakit semalam tak hilang lagi, tak takut ke orang nampak?!" marah Nadia lagi. Matanya tajam menikam Ezuan yang buat muka tak bersalah seperti biasa.
Kesan lebam akibat sikap Ezuan yang suka-suka hati rentap lengan Nadia semalam pun masih belum hilang, hari ini Ezuan merentap lengannya lagi di tempat yang sama. Memang terasalah sakitnya.
"You jangan ingat I tak nampak you lepak dekat salun seberang tu."
"So?"
"You tahu kan I tak suka you bergaul dengan orang luar." Ezuan mengingatkan Nadia berkenaan pesanannya dahulu. Nadia ingat lagi bila dia mula bekerja di sini, rakan-rakan satu tempat kerja mengajak dia keluar menonton wayang bersama, tetapi kerana Ezuan tidak membenarkan dia pergi, terpaksalah Nadia batalkan janji temunya di saat akhir. Ezuan memang diktator, bila dia kata tak boleh, maka tak boleh.
"Kalau you tak suka pun, apa masalahnya? I bukan milik you lagi." Nadia berbicara sambil mengetap gigi, dia menarik lengannya daripada cengkaman Ezuan. Nadia baru hendak berlalu ke tempat duduknya tetapi Ezuan menghalang, Nadia merengus geram.
"I tak habis cakap lagi."
"Apa lagi?" Nadia cukup malas hendak melayan kerenah Ezuan yang tak faham-faham.
Nak kata bodoh tak faham bahasa, tapi belajar sampai universiti. Tapi cakap aku pun tak reti-reti nak faham. Nadia maki hamun Ezuan cukup-cukup, ayat-ayat marah Nadia makin sebati sebab selalu sangat terlintas dalam hati Nadia. Ezuan, tolonglah elak daripada buat aku menambah dosa mengutuk kau dalam hati.
"Lelaki petang semalam tu siapa?" soal Ezuan dalam nada marah, kalau ikutkan hati yang panas, mahu sahaja dia menengking Nadia, tetapi memandangkan pekerja-pekerja lain sudah mulai masuk pejabat, Ezuan menjaga nada agar tidak ada yang perasan situasi tegang yang berlaku sekarang.
"You sibuk sangat nak tahu kenapa? Bukan ada kena-mengena dengan you pun. Please la, jangan ganggu I."
"Kalau aku tanya tu jawablah. Sejak bila degil sangat ni?!" Makin mengeras nada suara Ezuan, sudah lama dia tak marah-marah sampai begini. Dadanya terasa seperti hendak meletup dek rasa marah yang membuak-buak.
"Dia tauke salun depan tu, ha... Itu dia jawapannya. Sekarang dah puas hati?"
Kalau ikutkan hati, Nadia malas hendak melayan marah Ezuan, tetapi mengalah dan berdiam diri adalah perkara yang selalu dia buat selama ini. Jadi hari ini adalah hari dia mahu bertikam lidah sungguh-sungguh sampai Ezuan terdiam. Dulu Nadia hanya berani berperang dingin, dan setiap kali pun Nadia yang akan mengangkat bendera putih dahulu.
"Itu bukan yang aku nak tahu, dia tu siapa dengan kau? Jangan nak buat-buat tak faham. Mamat Cina tu boyfriend kau atau kawan kau?"
Ai... Dah tukar title nampak, jadi aku kau pula. Laki ni nak kena ni. Ingat aku nak diam. Nadia mengepal tangan kegeraman.
"Dua-dua pun boleh, yalah sekarang I dah bebas nak kawan dengan siapa pun." Nadia membalas dalam nada bangga, dia menukar strategi perang mulut. Semua kemarahan dia telan, dengan meninggikan suara mungkin dapat buat dia makin marah tetapi dengan sindiran dan buat bolayan pada Ezuan akan buat Ezuan terasa egonya tercabar. Sejak berpisah dengan Ezuan, ego Nadia juga semakin mencanak naik, dia tidak akan sesekali kembali kepada dirinya yang dahulu yang mudah mengaku kalah.
YOU ARE READING
NADIANA
General FictionTajuk: Nadiana Penulis: Cik Q Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-102-8 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018