Nadia merenung ke wajah sendiri di dalam cermin. Matanya merah kerana menangis, ada lingkaran gelap sekeliling matanya akibat tidak dapat melelapkan mata untuk beberapa hari. Nadia perhatikan keningnya yang berkerut, untuk beberapa minggu ini itulah ekspresi wajah yang selalu tertayang di mukanya.
Memang patutlah Ez abaikan kau, tengoklah rupa kau sekarang, memang muka nak kena tinggal. Lelaki, mestilah dia pilih yang lebih cantik. Nadia bercakap dengan dirinya sendiri. Kemudian dia mengeluh.
Tok! Tok! Tok!
Bunyi ketukan di pintu kedengaran. Nadia terus menoleh ke arah pintu itu. Baru dia teringat yang dia sedang berada di dalam bilik air salun bernama 'Ace Cut' ini. Salun kecantikan (uniseks) yang sepatutnya tidak beroperasi hari ini. Salun yang dia teringin sangat hendak jejaki, akhirnya dia berada di sini tetapi dalam keadaan yang memalukan.
"Kenapa you mandi lama sangat? Sudah satu jam you kat dalam, you pengsan ke?" Lelaki yang membantu Nadia tadi bertanya, dialah yang membawa Nadia ke sini. Tergelak kecil Nadia mendengar kata-katanya berbunyi pelat.
"Pandai juga dia cakap bahasa Melayu, pelat-pelat pun," komen Nadia perlahan. Bibirnya masih tersengih, terlupa dia sebentar yang dia sekarang sedang ditimpa masalah.
"You tak jawab, I anggap you pengsan kat dalam. I'm coming in."
Ternganga Nadia mendengar ayat itu, menggelabah dia bila mendengar bunyi pintu yang berkunci cuba dibuka.
"I... I dah siap," balas Nadia lekas. Risau jika lelaki itu melihat keadaannya sekarang. Dia cuma berjubah mandi, pakaiannya tadi sudah basah lencun dan kotor, tidak dapat dipakai lagi.
Alamak, baju aku dah basah. Aku nak pakai apa ni? Nadia resah, tak mungkin dia akan melangkah keluar dari bilik air ini dengan hanya berjubah mandi. Dia menggaru-garu kepala, runsing. Matanya memandang ke arah baju yang basah di atas singki. Nadia mengeluh lagi, buntu.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan di pintu berbunyi lagi. Nadia menghampiri pintu bilik air itu. Dengan teragak-agak dia membuka pintu itu sedikit.
"Nah. Baju untuk you." Lelaki itu berkata sambil menyua sepasang baju kepada Nadia.
"Kat sini tak ada pakaian dalam, but I found a bikini. Better daripada tak pakai apa-apa, kan? It's brand new, so don't worry," katanya lagi sambil menyerahkan sepasang bikini yang disangkut pada penyangkut. Tangan Nadia menyambutnya lalu dia terus menutup pintu tanpa memberi ucapan terima kasih. Tanpa membuang masa, dia berpakaian. Walaupun kekok kerana memakai baju orang lain, tetapi dia terpaksa. Daripada tidak berpakaian langsung, baiklah dia sarung saja baju itu dahulu.
Sebaik sahaja dia lengkap berpakaian, dengan beraninya dia menapak keluar. Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari bilik air itu. Lelaki tadi yang sedang mengemop lantai pegun sebentar. Dia berdiri tegak lalu memandang ke arah Nadia. Sambil bertongkatkan pada kayu mop dia perhatikan Nadia dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, lalu dia tersenyum.
"Hai, I Alan."
Jarinya menunjukkan tanda 'peace', Nadia diam tidak membalas. Pipinya berona merah kerana malu. Alan kemudian cepat-cepat menyiapkan kerjanya mengeringkan lantai yang sedikit basah akibat titisan air hujan daripada tubuh Nadia sewaktu dia membawa Nadia masuk tadi. Nadia hanya pegun di hadapan pintu bilik air tadi, diam tidak bergerak. Hanya bola anak matanya sahaja lincah bergerak, menyoroti pergerakan Alan ke mana sahaja dia pergi.
"Kasut you dah basah, you boleh pakai kasut tu," kata Alan sambil memberikan isyarat mulut menunjukkan kasut yang sudah dia tinggalkan di sebelah pintu bilik air. Alan kemudian berjalan ke stor untuk menyimpan semula mop.
YOU ARE READING
NADIANA
Ficção GeralTajuk: Nadiana Penulis: Cik Q Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-102-8 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018