Nadia memandang refleksi dirinya pada dinding pintu lif yang berkilat. Memang lain benar daripada yang dia lihat di dalam refleksi cermin bilik air salun Alan beberapa jam lalu.
Tubuhnya dibaluti one piece dress berwarna krim dan bercorak bunga bunga kecil di bahagian atas dan berlengan panjang, manakala dari bahagian pinggang sehingga ke hujung skirt yang separas lutut itu berwarna hitam kosong tanpa corak. Rambut yang dipotong pendek separas bahunya memberikan satu imej baharu kepada Nadia yang selama ini hanya menyimpan rambut panjang lurus sehingga ke paras pinggang. Kakinya dihiasi kasut tumit tinggi hitam yang cantik, bertapak merah. Wajahnya yang pucat dan berlingkaran gelap sekeliling mata berubah menjadi lebih menarik dan cantik dengan solekan.
Ini hadiah Alan berikan kepada Nadia sempena perkenalan mereka hari ini.
Nadia tidak akan lupa saat tadi sampai bila-bila...
Baberapa jam yang lalu...
"He's your boyfriend, tapi dia nak bertunang dengan orang lain?" Suara Alan tidak percaya.
Nadia mengangguk.
"Kenapa?"
"Pilihan keluarga. Dan dia terlalu pengecut untuk beritahu ayah dia yang dia sudah ada kekasih," terang Nadia.
Satu kenyataan yang sangat mengecewakan baginya. Bagi Nadia, hanya ada tiga kemungkinan kenapa Ezuan tidak mahu berterus terang kepada ayahnya mengenai hubungan mereka;
a) Sebab dia terlalu pengecut untuk berterus terang dan bertindak tidak mengikut permintaan ayahnya.
b) Ezuan Rizal tamak. Bak kata Fazura dalam filem 'Pisau Cukur', lelaki, kalau boleh simpan dua, buat apa buang satu?
c) Ezuan Rizal tak pernah berniat untuk menikahinya, hanya nak seronok-seronok saja dengan Nadia.
d) Kesemua di atas.
A, B, C, atau D. Hmmm... Entahlah, walaupun sudah lama berkasih tetapi Nadia belum dapat membaca apa yang ada dalam hati Ezuan sepenuhnya. Sejak dari dahulu lagi Ezuan memang seolah-olah ada membuat benteng antara mereka. Dia tidak suka Nadia terlalu mengambil tahu mengenai dirinya. Tetapi dia mahu tahu segalanya mengenai Nadia, siapa Nadia, di mana dia berada, setiap gerak-geri Nadia dia ambil tahu. Bagi Ezuan, Nadia adalah hiburan bagi dirinya yang selalu berasa sunyi.
"Break up with him." Alan terus memberi cadangan tanpa ragu-ragu.
"Hah?"
"Break up with him. Kenapa you bazirkan masa dan kasih sayang you untuk lelaki macam itu? Banyak lagi lelaki yang lebih baik daripada boyfriend you, yang suka dengan gadis cantik macam you. Enam tahun, tapi sekarang mahu bertunang dengan orang lain? Don't waste your time, pretty girl. Dump him." Panjang nasihat Alan kepada Nadia.
Nadia memandang ke wajah Alan yang serius, dia tidak main-main bila memberi pandangannya itu. Nadia tersenyum.
"Ramai perempuan datang sini untuk make over bila mereka putus cinta. Do you want me to give you a new look?" tanya Alan lalu dia dia mengangkat kening kanannya dua kali.
Nadia mengangguk dan tersenyum.
Ting!
Pintu lif terbuka seluas-luasnya. Kenangan tadi hilang daripada minda Nadia, kakinya melangkah masuk ke dalam lif itu. Sebaik sahaja sampai ke tingkat tiga, Nadia terus ke mejanya. Kebanyakan pekerja sudah pun pulang, hanya beberapa orang sahaja lagi yang tinggal untuk kerja lebih masa. Sebaik sahaja punggung Nadia menghenyak kerusi, telefon di tempatnya berbunyi.
"Nadia, masuk bilik I." Ezuan memberi arahan sebaik sahaja panggilan itu diangkat. Nadia terus tarik muka, nak tak nak dia terpaksa juga menurut. Gagang telefon itu sengaja dihempasnya. Selepas menyimpan dompet duit dan telefon bimbitnya ke dalam beg tangan, Nadia melangkah ke bilik Ezuan.
"Ada apa?" tanya Nadia sebaik sahaja pintu bilik Ezuan tertutup, mendatar sahaja nadanya. Nadia mendekati Ezuan yang membelakangi dirinya.
"You pergi mana? Sampai habis office hour you hilang? You ingat ni ofis bapak you?" Ezuan menyindir, terus hati Nadia terbakar. Keningnya terangkat sebelah, bengang.
"Memanglah bukan ofis bapak I, ofis bapak you sebab tu you boleh suruh I pergi beli vanila latte untuk bakal tunang you tu. Tolak ajelah gaji I kalau you tak puas hati I ponteng hari ni," bidas Nadia tanpa rasa bersalah. Tajam nadanya menyindir Ezuan semula. Selama ini Nadia seorang pekerja yang berdisiplin, inilah kali pertama dia ponteng kerja dan bersikap biadab terhadap orang atasannya.
Meluat, menyampah, naik muak aku dibuatnya. Mulai hari ini, aku tak akan sentuh atau sebut vanila latte lagi. Nadia berjanji pada dirinya sendiri.
"What?!" balas Ezuan separuh menjerit. Selama ini Nadia tidak pernah melawan cakapnya, tidak pernah meninggikan suara dan tidak pernah sekali pun membahasakan dirinya 'I' dan memanggil Ezuan 'you'. Ayat yang terkeluar daripada bibir Nadia tadi berdesing kuat di telinga Ezuan. Dia terus berkalih, sekali lagi dia terkejut apabila melihat perubahan pada diri Nadia. Nadia seperti seorang yang tidak dia kenali, luar dan dalam.
"I cakap, kalau you tak puas hati, potong ajelah gaji I," ulang Nadia selamba tanpa ragu-ragu.
"I cuma tanya you pergi mana?"
"Tanya lagi, tadi kan I dah cakap, I pergi beli air untuk bakal tunang you, tak dengar?!" marah Nadia membuak-buak. Dada Ezuan juga naik turun menahan marah, lain benar Nadia yang sedang berdiri di hadapannya ini. Mereka sama-sama berwajah tegang.
"Takkan pergi beli minuman balik tiga jam kemudian dengan penampilan yang lain daripada hujung rambut sampai hujung kaki?" Ezuan cuba sedaya upaya untuk tidak menaikkan suaranya lebih daripada yang sepatutnya, bimbang kalau-kalau saki baki pekerja yang ada di pejabat akan terdengar pergaduhan mereka.
"Oh, you nak full story macam selalu. Okey," sindir Nadia, kemudian dia menyambung.
"I pergi belikan air. Hujan turun dengan lebatnya dan you tak nak datang tolong I, I cuba redah hujan tapi akhirnya I basah kuyup, tersungkur kat atas jalan dengan air tu tumpah atas badan I. Nasib I baik sebab ada yang sudi tolong I. That's it, puas hati?"
Ezuan terdiam.
"I dah bosan dengan sikap you, Ezuan. Selama ni I tak pernah melawan you sebab takut you akan tinggalkan I. Tapi hari ni I sedar yang I tak akan rugi apa-apa kalau I tak ada you. I nak kita berpisah, you setuju atau tidak, this is the end of our relationship. I dah tak nak boyfriend macam you."
Ezuan merentap lengan Nadia bila dia mula menapak menghampiri pintu bilik itu, Nadia terus mengaduh sakit.
"Apa maksud you?"
"Nak kena ulang ke? You tak faham apa yang I cakap tadi? I nak berpisah dengan you, kita putus, break up. Faham sekarang? Ezuan, you jangan ingat Nadia yang berdiri depan you ni Nadia yang innocent tak tahu apa-apa macam dulu. Dekat tujuh tahun I kenal you memang banyak yang I dah belajar. I tak nak terus jadi bodoh," sambung Nadia, dia merentap tangannya lalu meninggalkan Ezuan yang terkesima dek terpukul dengan kata-kata Nadia.
Nadia ke tempatnya, dia terus menyambar beg tangan dan bergerak meninggalkan pejabat. Dada Nadia naik turun, jantungnya berdegup dengan laju. Nadia melangkah laju menuju ke keretanya, sebaik sahaja memboloskan diri ke dalam perut Perodua Myvi itu Nadia terus menghambur semua air matanya yang ditahan sedari tadi. Nadia terus menangis sendirian.
YOU ARE READING
NADIANA
Fiction généraleTajuk: Nadiana Penulis: Cik Q Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-102-8 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018