Bab 5

547 9 0
                                    

"Kejap, kejap. Ulang balik apa kau cakap tadi?" pinta Diana. Diana langsung tidak faham apa yang Nadia sampaikan sejak lima minit lalu yang Diana rasakan Nadia merapu sahaja. Otaknya sudah pening.

"Oh, awak panggil saya 'kau'? Okey, saya suka. Baru rasa macam rapat, kan? Saya pun nak tukarlah."

Nadia dengan terujanya memberi komen, dia tahu mereka lahir pada tahun yang sama. Semalam ketika mereka di dalam kereta masing-masing sudah bertanya mengenai umur, sama-sama 24 tahun. Jadi, tak salah kalau cuma ber-aku-kau sahaja, kan?

Kata-katanya tidak mendapat respons daripada Diana, terus Nadia menyambung,

"Aku sebenarnya nak cari rumah sewa. Memandangkan kau duduk sorang-sorang kat sini, apa kata kau sewakan salah satu bilik kat sini untuk aku? Selain dapat duit, kau juga dapat teman berbual. Dan lebih selamat kalau berkawan, buatnya kau sakit tengah malam siapa nak tolong? Kalau ada orang cuba nak rompak, tak ke menakutkan kalau kau sorang-sorang, jadi... Aku kat sini boleh selesaikan masalah kau."

Bukan main lagi Nadia berkempen supaya Diana menerimanya sebagai penyewa di rumah ini. Mulut dia berceloteh bak bertih jagung, laju sahaja kata-kata bernas keluar daripada bibir mungilnya itu. Daripada cara dia bercakap, seumpama mereka ini sudah bersahabat lama.

Diana diam sebentar, mencerna baik-baik penerangan Nadia sekali lagi.

"Dah setahun aku duduk rumah ni seorang diri, tak ada masalah pun," balas Diana, sama sekali tidak bersetuju dengan kata-kata Nadia.

Memang tak pernah pula dia sakit tengah malam, tak pernah juga dia kena rompak. Dan nak kata dia bosan berseorangan tak juga kerana dia sudah biasa seorang, tak ada masalah.

"Malang tak berbau Diana, tengok aje macam mana kau kemalangan semalam. Jalan yang kau guna hari-hari tu juga kau kena langgar, dekat rumah pun belum tentu selamat."

Nadia mengingatkan Diana. Bukan main lagi memujuk, sekarang segan, malu, kekok, semua ditolak tepi. Dia memang sedang desperate mencari tempat berlindung. Sangat terdesak!

"Tapi kau yang langgar aku semalam."

Diana pula mengingatkan Nadia kembali sambil tunjuk muka bosan. Terus Nadia menarik muka sedih. Dianalah satu-satunya harapannya, walaupun baru kenal tapi dia pasti Diana seorang yang baik. Dia tahu, ini idea gila tetapi tak mustahil. Bukan mudah nak cari rumah segera, tambahan pula Nadia bukan jenis ramai kawan yang boleh minta tolong carikan mahupun tumpangkan buat sementara.

"Ini bukan rumah akulah, Nadia. Ini rumah kakak aku. Dia ikut suami dia kerja luar negara, jadi dia amanahkan aku untuk jaga rumah dia. Aku tak boleh buat keputusan sendiri." Diana beralasan. Walaupun Nadia tidak nampak seperti orang jahat, namun tetap mencurigakan. Yalah, mereka kan baru kenal petang semalam, tiba-tiba sahaja hari ini muncul di rumahnya.

"Aku bukannya nak duduk free. Ingat, Diana. Aku baru aje kena pecat, kalau ada aku bolehlah juga kau makan dengan duit sewa aku tu sementara nak cari kerja lain." Nadia mengeluarkan idea bernasnya.

Eh, macam betul pula budak Nadia ni cakap.

Diana terhasut, tetapi dia mengawal riak supaya tidak menunjukkan yang dia sudah mula terpengaruh. Nadia melihat Diana tidak memberi respons dengan apa yang dia katakan, tangannya terus menyeluk ke dalam begnya lalu dia keluarkan wang yang baru dia ambil daripada ATM. Mengumpan Diana supaya menerima dirinya yang terdesak ini.

"Seribu, sebulan aku bayar tiga ratus boleh? Deposit tiga bulan dengan api air, seratus? Kalau tak cukup, kau cakap aje, aku tambah lagi," kata Nadia sebaik sahaja wang itu diletakkan di atas meja kopi, pandai-pandai sahaja dia meletakkan sewa bilik.

NADIANAWhere stories live. Discover now