"Kak long."
"Yup."
"Ganggu ke?" soal Diana serba salah, melihat kak longnya yang langsung tidak mengangkat kepala membuatkan dia berasa tidak selesa.
"Nope. Studi ni. Apa hal?" balas si kak long tanpa melihat wajah Diana yang berkerut.
"Hmmm... Rumah ni ada kawan nak sewa biliklah, kak long. Boleh tak? Kalau tak boleh lama, sekejap. Sementara dia cari rumah lain pun tak apalah. Boleh tak?" tanya Diana tanpa berselindung. Apa guna nak berselindung? Berterus terang adalah salah satu jalan yang memudahkan menyelesaikan masalah. Akhirnya kak long Diana mengangkat kepalanya dan memandang adiknya di skrin komputer ribanya.
"Kenapa dengan muka kau?"
"Accident sikit semalam, tak ada apa. Luka sikit aje." Diana membalas.
"Boleh ke tak kak long, kawan nak tinggal sini?" Diana balik kepada topik asal.
"Siapa?"
"Kawan. Kak long tak kenal dia," balas Diana sambil tergeleng-geleng cepat.
"Perempuan?"
"Isy, kak long ni. Takkanlah lelaki."
"Melayu?"
"Melayu, sama umur dengan adik."
Kak long terangguk-angguk kepalanya.
"Bila dia masuk?"
"Kira bolehlah ni?" Diana meminta kepastian, macam tak percaya pula kak longnya bersetuju tanpa payah memujuk. Cool betul kak longnya kali ini.
"Elok juga kalau ada orang teman kau, dik. Sekarang macam-macam jenis bahaya boleh datang pada perempuan tinggal seorang macam kau."
"Kak long ni... Janganlah menakutkan orang, selama ni adik tinggal sorang tak ada masalah pun. Kata-kata tu doa tau." Diana membalas, risau pula bila kakak sendiri pun berkata begitu.
"Kak long bukan nak doakan, tapi nak ingatkan. Mak pun kadang-kadang bising juga kata risaukan kau sorang-sorang kat KL tu, kita saudara-mara pun tak ada kat sana."
"Ala, macam baru dua hari adik kat sini. Dah bertahun. Mak aje risau lebih-lebih."
"Sebab kau jarang balik kampung, jarang telefon mak sekarang sebab itulah dia risau. Sudah-sudahlah tu. Balik kampung, jenguk mak. Telefon mak selalu."
"Yalah, adik salah. Nanti adik telefon mak," balas Diana.
"Bagus."
Mereka sama-sama senyap seketika sebelum Diana bertanyakan soalan terakhir.
"Kak, sewa tu tiga ratus okey ke?" soal Diana.
"Okeylah. Tak kesahlah berapa asalkan bayar. Duit tu bagilah mak abah. Jangan buat benda tak elok kat rumah tu, itu aje kak long pesan."
"Okey. Kak long, nak pergi masak ni. Babai. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Talian Skype itu dimatikan. Diana terus bergegas ke dapur untuk menyediakan makan tengah hari.
"Aku dah contact kakak aku, dia benarkan kau duduk kat sini. Dia pun cakap lagi selamat sebab selama ni aku duduk sorang-sorang, tapi kau jangan buat benda bukan-bukan kat sini."
Diana memberitahu Nadia yang baru turun, Nadia terus menerpa Diana dan memeluk gadis itu dari belakang. Dengan Diana, dia terasa seperti sudah berkawan lama, sudah akrab, kerana personaliti Diana yang menyenangkan membuat Nadia selesa. Lagipun Nadia sudah bertekad untuk belajar menjadi lebih mesra dengan orang lain, dan mencari lebih ramai kawan. Ezuan sudah tidak ada hak untuk mengawal dengan siapa dia hendak berkawan.
YOU ARE READING
NADIANA
General FictionTajuk: Nadiana Penulis: Cik Q Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-102-8 Muka Surat : 720 Harga: RM28.00 (Semenanjung) // RM31.00 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2018