Tengah malam, lena Adi terganggu sekali lagi. Sudah dua hari dia tidak pergi ke kerja dan meminta setiausahanya saja yang menguruskan segalanya. Demamnya juga belum kebah.
Dia terlena sepanjang hari kerana sakit kepala yang memaksanya untuk terus memejamkan mata tetapi rumahnya kekal terjaga. Lampu dapur juga dibiarkan hidup. Mesti Luna yang mengemas rumah itu sementara Adi terlena.
Ingatannya hari itu agak kabur tetapi dia masih ingat Luna menyediakannya bubur dan ubat untuk dimakan. Usai saja mengisi perut dan makan, dia dibuai lena semula sehinggalah tengah malam.
Peningnya masih ada tetapi tidaklah seteruk pagi tadi. Tekak yang terasa kering memaksanya untuk bangun dan ke dapur. Dia mengeluarkan gelas dari dalam kabinet dapur dan mengisinya dengan air. Jag air dia letakkan semula ke dalam peti sejuk kemudian meneguk segelas air itu.
Pandangannya secara tidak sengaja ditalakan pada pintu peti sejuk. Sticky note berwarna kuning ditampal pada pintu peti sejuk itu.
"Kalau lapar, panaskan lauk dalam bekas warna kuning?" Adi membaca apa yang tertera pada sticky note itu.
Dia membuka peti sejuk dan mencari bekas berwarna kuning seperti yang dinyatakan pada kertas tersebut. Dia tersenyum apabila matanya bertembung dengan bekas berwarna kuning yang terletak di bahagian bawah peti sejuk.
Dia menutup peti sejuk semula. Gelas yang sudah kosong dia bawa ke singki. Baru saja dia hendak membuka pili air, dia sekali lagi menjumpai sticky note yang ditampal pada kepala paip. Kali itu berwarna merah jambu pula.
"Letakkan pinggan, gelas dan lain-lain yang baru dicuci di rak dahulu sebelum letakkan ke dalam kabinet." Adi membaca arahan pada kertas itu. "Yes bos." Sahutnya lalu tertawa kecil.
Setelah mencuci gelas yang dia gunakan tadi, dia meletakkan gelas itu pada rak kecil yang terletak bersebelahan dengan singki. Akur dengan arahan Luna.
Dia meninggalkan dapur selepas itu dan melabuhkan punggungnya pada sofa. Dia mencapai alat kawalan jauh televisyen dan menjumpai satu lagi sticky note.
"Get well soon?"Dia membaca tulisan berangkai pada kertas itu.
Senyuman kecil melebar. Memaksanya untuk menggigit bibir agar tidak tersenyum terlalu lebar seperti orang dilamun cinta.
Berbunga pula hati.
Petikan gitar memenuhi segenap ruang kamar kerja Adi. Memandangkan sudah waktu makan tengahari, Evan singgah sebentar di situ untuk berbual dengan Adi. Kebiasaannya, Evan yang sukar mengeluarkan kata-kata, tetapi hari itu Adi pula yang diam tidak berkutik.
Evan berhenti memetik gitarnya dan mencodak. Memandang muka Adi yang sedang mengelamun itu. Nak kata dilanda masalah, mana ada orang dilanda masalah senyum-senyum sendiri macam tu.
"Lama kau cuti." Evan bersuara.
"Dua hari aje kut. Itu pun dah nak rindu ke?"Usik Adi.
"Agak-agaklah nak rindu dengan yang muka timun macam kau ni." Balas Evan disertakan dengan jelingan. "Kau pergi mana? Bercuti?" Tanyanya lagi.
"Hm... cuti sakit. Nasib baik ada yang jaga. Kalau tak, entah bila nak habis sakit aku." Balas Adi.
Adi menyandarkan belakangnya pada sofa lalu memejamkan matanya. Mahu melepaskan penat sementara masih ada waktu.
"Jaga? Siapa? Mama kau? Adik kau?"
Adi membuka matanya semula. Pandangan ditalakan tepat ke muka Evan. Banyak cakap pula dia hari ni. Kena sampuk jin peramah mana entah.
"Maid aku."
"Sejak bila pula kau ada maid ni? Aku tak tahu pun."Evan menjongketkan keningnya.
"Sejak tiga-empat hari yang lalu kut. Entahlah. Aku pun tak pasti sejak bila dia kerja kat rumah aku."
"Cantik tak?" Evan menunjukkan minat.
"Cantik tu... bolehlah. Biasa-biasa aje kut. Tapi mulut dia... fuhh!" Adi menepuk tangan. "Aku rasa, dia dah hafal semua fakta dalam dunia ni. Kau tahu tak dia larang aku tiup bubur? Dia kata hidrogen dengan karbon dioksida bergabung... entah apa-apa aje yang dia merepek." Kepala dia gelengkan.
"Dari cara kau cerita pasal dia ni, nampak macam kau annoyed..."
"Memang pun! Dia tu memang annoying! Even bila mama aku dengan adik aku bergabung sakat aku pun tak annoying macam dia tahu?"
Bukan main bersemangat lagi Adi menceritakan tentang pembantu rumah baharunya, Luna. Evan tersenyum herot melihatnya.
"Mana ada orang annoyed senyum-senyum sendiri." Nyata Evan lalu memetik gitarnya.
"Mana ada aku senyum! Tak ada pun! Tak nampak ke muka orang tengah... annoyed ni?!"
Evan menggelengkan kepalanya.
"Siapa nama dia?"
"Luna."
Evan menganggukkan kepalanya. Betullah dia tak pernah jumpa pembantu rumah Adi itu kerana itu merupakan kali pertama dia mendengar nama Luna. Tiba-tiba berminat pula nak bertemu orang yang membuatkan sahabatnya itu tersenyum dan tersengih macam kerang expired.
YOU ARE READING
Jodoh In Disguise
Short StoryJodoh In Disguise, seseorang yang tidak menyenangkan pada awalnya tetapi dialah jodoh pada akhirnya. Luna, gadis yang kaku dan serius sepanjang masa. Tapi semua itu hanya pada luaran saja. Dia terpaksa mengekalkan imej itu kerana sebab yang dia send...