Bab 6

2.7K 184 5
                                    

"Cik ni siapa?"

          Suara feminin menyapa Luna dan membuatkan dia mencodak. Matanya berpaut dengan sepasang mata berwarna coklat gelap. Berkongsi warna yang sama dengan warna mata Adi. Begitu juga dengan bentuk hidung dan senyumannya. Sama seperti Adi.

          "Saya Luna..."

          "Oh!"

          Belum sempat Luna selesai memperkenalkan diri, gadis yang berambut ikal mayang itu mencantasnya. Siap petik jari lagi seperti dia teringat akan sesuatu. Senyuman gadis itu bertambah manis.

         "Kak Luna ni maid yang mama hire untuk Abang Adi, kan?" Kata gadis itu lalu menghulurkan tangannya. "Dhia."

         "Selamat berkenalan, Cik Dhia."

         Huluran tangan Dhia tidak bersambut. Luna hanya menundukkan kepalanya sedikit sebelum kembali bertentangan mata dengan Dhia. Luna yang sudah sedia kaku seperti patung bertambah kaku apabila Dhia tiba-tiba memeluknya dengan erat seperti mereka sudah lama berkenalan.

         Pelukan terlerai setelah beberapa saat. Senyuman Dhia melebar tetapi Luna pula terkebil-kebil melihatnya. Hairan dengan kelakuan gadis itu.

         "Kak Luna guna perfume apa? Wangilah! Patutlah..."

         "Dhia!"

         Alih-alih Adi muncul di hadapan mereka. Keningnya hampir bertaup. Memandang tepat ke mata Dhia. Amat mengancam.

         "Tadi dah janjikan takkan kacau orang? Duduklah diam-diam. Halau nanti baru tahu." Ugut Adi sambil kedua-dua tangan diselukkan ke dalam poket celananya.

          "Halaulah kalau berani!"

         Dhia menjelirkan lidahnya. Sikit pun tak takut dengan ugutan Adi yang terang-terang tidak akan menjadi kenyataan.

         "Budak ni!"

         Adi maju beberapa langkah. Ingin menarik Dhia tetapi Dhia bertindak pantas dengan bersembunyi di sebalik Luna. Sekali lagi Luna terkejut dengan kelakuan gadis itu. Langkah Adi terencat apabila Luna menjadi pemisah di antara dia dan Dhia.

        "Meh sini!"

        Adi cuba untuk mencapai lengan Dhia tetapi Dhia mengelak. Badan Luna dijadikan sebagai perisai manusia.

        "Tak nak!" Balas Dhia.

        Badan Luna dipusingkan oleh Dhia. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Sekejap lagi ke depan. Kalau tak pun ke belakang. Pening Luna dibuatnya walaupun dia kekal tanpa sebarang ekspresi.

        Dek dipusingkan seperti merry-go-round, Luna mula terasa mual. Perabot rumah seakan-akan bergerak. Lantai rumah pula bagaikan ombak yang beralun. Lantas tangannya mencekak kaunter dapur untuk menstabilkan dirinya yang hampir terjelopok pada lantai.

        "Kak Luna okey tak ni?"

        "Kau okey tak ni?"

        Tanya dua beradik itu dalam masa yang sama. Masing-masing menyedari Luna kehilangan keseimbangannya kerana mereka berdua.

        Luna mengangguk tetapi tangannya masih mencengkam kaunter dapur sekuat yang mungkin. Tiba-tiba, Dhia dan Adi meledakkan tawa mereka. Terhibur dengan tindak balas Luna. Luna juga mahu tergelak sama tetapi dia masih lagi mual.

        Adi dan Dhia menggelengkan kepala.

     


Saluran TV bertukar setiap lima saat. Sukar untuk Adi menumpukan sepenuh perhatian pada kaca televisyen kerana fikirannya asyik ke dapur saja.

Jodoh In DisguiseWhere stories live. Discover now