Kepala Daniel Arman terasa berat saat dia bangun untuk bersembahyang subuh pagi itu. Tangannya dibawa ke kepala bagi mengurut-ngurut bahagian dahi yang dirasakan berdenyut-denyut. Saat itu dia merasakan tidak berdaya untuk bangun dan bersembahyang. Namun digagahkan jua dirinya bangun dan mengangkat wudhu’. Suhu badannya yang panas menyebabkan dia tidak mampu untuk mandi. Bimbang langkahnya yang goyah akan menyebabkan dia jatuh di bilik air. Dalam keadaan dia duduk bersendirian di rumah begitu, dia tidak mahu itu berlaku. Tambahan pula Datin Rogayah tiada di rumahnya kerana menyertai rombongan persatuan ke Melaka untuk memberi sumbangan kepada ibu tunggal di sana. Hanya ibunya itu sahaja yang mengambil berat akan dirinya.
Usai bersembahyang, Daniel Arman mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan disisi katil. Pantas jarinya menekan nombor Nina, mahu memaklumkan Nina tentang keadaannya dan dia mungkin terpaksa mengambil cuti untuk hari tersebut.
Namun apabila dia mendail nombor Nina, panggilannya terbiar sepi. Nina tidak mengangkat dari talian hujung sana. Daniel Arman mencuba lagi untuk kali kedua namun hasilnya masih sama. Dia kemudian mengeluh. Lantas jari jemarinya menaip-naip sesuatu dan menghantar pesanan ringkas kepada Nina.
Daniel Arman kemudiannya kembali berbaring di tilam. Terasa seluruh urat sarafnya sakit-sakit. Untuk turun ke tingkat bawah dan mencari ubat pun dia tidak mampu. Langkahnya goyah, kepalanya berpusing-pusing. Langkah yang terbaik yang boleh diambil saat itu ialah dia berbaring dahulu. Berharap menjelang tengah hari peningnya itu akan beransur hilang. Badannya yang sakit juga akan sembuh.
Jam sudah menginjak ke angka sebelas malam. Namun Daniel Arman masih terbaring lesu di atas tilam. Sejak awal pagi tadi, tiada apapun yang mampu dia lakukan. Dia tidak mampu untuk bergerak jauh. Kalau bergerak pun pergerakannya lambat dan perlahan-lahan. Buntu dia memikirkan apa yang boleh dibuat. Sejak awal pagi juga dia masih tidak menjamah apa-apa makanan. Walaupun tiada selera, namun perutnya yang kosong perlu diisi untuk dia menambah tenaga.
Daniel Arman raih semula telefon bimbitnya. Pantas nombor Zachary didail. Saat itu dia benar-benar tidak berdaya. Dia tiada pilihan melainkan meminta pertolongan dari Zachary. Sejurus Zachary menyambut taliannya, Daniel Arman menyatakan hasratnya meminta pertolongan lelaki itu.
Namun begitu, Zachary yang berada di China ketika itu tidak dapat membantunya. Daniel Arman mengeluh, kenapa dia boleh lupa yang dia sendiri mengarahkan Zachary pergi ke China selama seminggu bagi membincangkan perjanjian import barangan China ke syarikat mereka.
Tiba-tiba Daniel Arman teringatkan Nina. Saat itu dia terfikir tentu Nina boleh membantunya. Untuk meminta bantuan ibunya, adalah mustahil memandangkan ibunya itu tiada untuk bertandang ke rumahnya ketika itu. Nak diharapkan pada Datuk Zainudin, memang Daniel Arman tidak pernah terfikir. Bapanya itu tidak pernah mengambil berat akan hal dirinya. Danish Arham juga begitu. Hanya Nina sahaja yang boleh membantunya saat itu.
Telefonnya diraih kembali dan Daniel Arman cepat-cepat mendail nombor Nina.
Nina melihat lama ke skrin telefon bimbitnya. Apabila nama Daniel Arman muncul, dia jadi hairan. Mengapa Daniel Arman memanggilnya selewat itu. Selepas butang hijau di skrin di tekan, Nina letak telefon bimbitnya di telinga.
“Hello.” Terdengar suara lemah Daniel Arman sejurus Nina menjawab panggilan.
“Encik Arman, kenapa ni?” Soal Nina hairan. Jelas ditelinganya suara Daniel Arman yang tidak bermaya.
“Nina, boleh tolong saya?” Soal Daniel Arman lambat-lambat. Suaranya juga serak-serak basah.
“Tolong apa?, Encik Arman okey?” Soal Nina kembali. Dia tidak pasti apa yang berlaku kepada Daniel Arman.
YOU ARE READING
BIS[BUKAN ISTERI SEMPURNA]
RomanceNina seorang gadis kampung yang menolong maknya berkerja di rumah dato zainuddin Sutu hari nina diperkosa oleh danish arman,daniel arman ialah penyelamat nina mereka berkhawin tanpa perasaan cinta tapi apabila daniel arman melihat penampilan baru n...