Bab 1 - Mimpi

626 62 30
                                    

THEA Arissa memacu langkah deras. Semakin lama semakin laju. Apa pun di sekelilingnya sudah tidak lagi diendahkan. Dia perlu lari menyelamatkan diri.

Deru nafas berombak hebat memukul dada. Jantung berpacu kuat. Sesekali dia menoleh ke belakang, melihat kalau-kalau lelaki bertopeng berpakaian serba hitam yang sedari tadi mengekori berjaya mengejarnya.

Gelap pekat malam menyukarkan kelancaran langkah. Thea terpaksa mengikut naluri untuk terus bergerak. Dia tidak tahu dia berada di mana. Yang pasti, dia sudah jauh terpisah dari kawan-kawan yang lain.

Lorong sunyi busuk dan hanyir yang dilalui memantulkan gema derap tapak kaki. Dia sudah termengah-mengah. Peluh merecik membasahi baju yang dipakai. Lencun.

Keterbatasan penglihatan membuatkan Thea terpaksa bergantung pada deria lain. Sedaya upaya dia memicingkan telinga. Cuba mengesan andai ada ancaman yang datang. Senyap. Hening. Cuma sekali-sekala keheningan itu diselangi bunyi titis air yang menitik. Bertingkah dengan hela nafas yang berdehit-dehit.

Thea teraba-raba. Indera sentuh dibiarkan mencari jalan agar dia dapat pergi ke kawasan yang dirasakan lebih selamat. Ada dinding besar di sebelah kirinya.

Setapak demi setapak dia bergerak berpandukan dinding tersebut. Dingin malam yang mula mencengkam tubuh tidak dihirau.

'Aku perlu selamatkan diri. Selamatkan diri.' Itu yang diulang berkali-kali dalam hati.

Perubahan suhu di sekitar membuatkan Thea lebih berhati-hati. Keadaan bertukar sedikit hangat, tidak sejuk menggigit seperti tadi. Bau kepam menerpa rongga hidung. Udara yang disedut terasa berdebu.

Dia berdehem kecil, melegakan ketidakselesaan tekak yang bagaikan berpasir. Mungkin dia kini berada di dalam sebuah bangunan. Bukan di luar. Bukan lagi di lorong sempit yang sunyi.

Telefon pintar miliknya dikeluarkan dari poket belakang seluar. Mujurlah dalam kalut melarikan diri telefon itu tidak tercicir. Perlahan-lahan Thea menekan aplikasi lampu suluh di telefon.

Sejalur cahaya putih mula menerangi ruang. Dengan terketar-ketar dia menghalakan lampu ke kiri dan ke kanan. Sorotan limpahan cahaya menunjukkan dia berada di dalam sebuah bangunan besar. Kosong tidak berisi.

"Dekat mana aku ni?" Matanya liar menerawang. Sesekali, tangan kiri menampung kedudukan tangan kanan yang memegang telefon untuk meredakan ketar. Menenangkan debar. Pandangan dilontarkan ke segenap arah. Dia berada di dalam sebuah gudang.

'Uzayr ....' Sebaik sahaja nama itu menerpa kotak ingatan, cepat-cepat Thea berusaha membuat panggilan. Hampa. Paparan skrin diteliti. Tiada liputan. Thea mengeluh.

Baru sahaja hendak melangkah, ada sesuatu yang menerjahnya. Thea terperanjat. Telefon terlepas dari genggaman. Terpental jauh ke satu sudut.

Lelaki bertopeng kini berada betul-betul di hadapannya. Belum sempat Thea bertindak, tangan besar dan gagah lelaki itu menekup mulutnya. Sebelah lagi tangan mengilas tubuh Thea sehingga pergerakannya terkunci.

Thea meronta sekuat hati. Namun apa sangatlah kudrat wanitanya jika dibandingkan dengan kekuatan lelaki bertubuh tegap itu. Setiap kali dia bergelut cuba meloloskan diri, setiap kali itulah si penyerang menguatkan cengkaman, membataskan geraknya.

"Lepaskan aku!" jerit Thea. Laungannya tertahan. Hanya bunyi bergumam terzahir. Mulut yang ditekup rapat membuatkan Thea sukar bernafas. Dia tidak mahu putus asa. Dia perlu pertahankan nyawanya. Kedua-dua kaki ditendang liar ke beberapa arah dengan harapan dapat mencederakan lawan. Tidak berhasil.

Mati akal, akhirnya Thea menggigit tangan yang sejak tadi menyengkang mulut. Dibenamkan gigi sedalam mungkin pada beberapa jari lelaki itu sehingga tembus kulit dan isinya. Dia mengerang kesakitan lalu melepaskan Thea.

Somnambulis (Tamat)Where stories live. Discover now