SEKEMBALINYA ke bilik hotel, Thea membuat panggilan video menghubungi Uzayr. Sementara menunggu panggilan diangkat, Thea menanggalkan aksesori perhiasan seperti cincin dan gelang yang dipakai. Semua diletakkan di atas meja kopi.
"Assalamualaikum, sayang. Baru balik? Lambatnya acara habis." Paparan wajah Uzayr di skrin telefon menghantar segantang girang di hati. Bagaikan separuh daripada kepenatannya hari itu hilang sebaik sahaja mendengar suara kecintaannya.
"Waalaikumussalam, abang. Book signing Thea selesai petang tadi lagi. Selepas tu, Thea ikut Abang Thaqif. Kan dia ada seminar beberapa hari di sini. Abang Thaqif datang sekejap jumpa Thea. Thea baru balik makan dengan dialah ni."
"Oh, pergi makan apa? Ni mesti Abang Thaqif bawa Thea makan asam pedas dekat restoran kesukaan Thea tu, kan?"
"Mestilah. Dah sampai sini tak kanlah tak pergi makan asam pedas. Kami pesan asam pedas ikan pari dan ikan parang. Puas Thea makan! Siap beli pes asam pedas lagi. Thea balik nanti, Thea masak untuk abang ya." Panjang celoteh Thea.
"Abang dah makan? Hari abang bagaimana? Okey?"
"Alhamdulillah. Macam biasa, sayang. Mesyuarat, jumpa klien. Tadi habis mesyuarat, abang keluar makan malam dengan Lukman," jelas Uzayr.
"Sayang ...."
"Hmm?"
"Minggu depan memang sayang tak ada terlibat dengan apa-apa, kan?" risik Uzayr.
"Tak."
"Bagus. Nanti sayang kemas baju untuk seminggu. Abang dah tempah tiket, dah selesaikan penginapan semua. Kita ke Bali."
Thea tersenyum lebar. Bali. Destinasi bulan madu mereka. Thea dan Uzayr pernah merancang untuk ke sana semula apabila punya peluang. Namun, di sebalik senyum ada perasaan tidak enak yang cuba diselindung. Sehabis daya dia memaniskan muka meneruskan perbualan.
"Okeylah, abang. Dah cakap dengan abang ni senang hati Thea. Abang rehat ya. Thea pun nak bersihkan diri dan solat Isyak."
"Selamat malam, sayang. Jangan rindu abang," gurau Uzayr.
Thea ketawa kecil. Jemari spontan menyentuh wajah sang suami yang tersenyum manis di skrin.
"Thea takut abang yang rindu Thea. Dah dua malam Thea tak ada."
"Jangan risau. Kalau abang rindu, abang ada ni," ujar Uzayr sambil menunjukkan novel Tersingkap Hijab Mimpi di tangan sebelum panggilan ditamatkan.
Thea menggelengkan kepala. Selama ini, meskipun setia menyokong perjalanan karier Thea sebagai penulis, Uzayr bukan penggemar novel-novelnya. "Novel romantik tidak sesuai dengan jiwa abang, sayang." Itulah yang sering diucapkan oleh lelaki itu.
Tetapi, untuk karya terbaharu Thea, Uzayr merupakan peminat nombor satu! Sejak di peringkat awal lagi, Uzayr setia membaca bab demi bab yang dihasilkan. Tidak jemu membantu Thea menyemak dan mengedit manuskrip. Malah dia sentiasa memberi komen-komen kritis yang membina.
Thea bertuah memiliki Uzayr. Uzayr suami sempurna. Tiada cacat cela di matanya. Kadangkala, Thea tertanya-tanya sendiri. Adakah dia cukup baik untuk Uzayr? Adakah dia telah melakukan yang terbaik dalam menyayangi Uzair? Menunaikan tanggungjawab seorang isteri terhadap si suami?
Mengenangkan Uzayr, ingatannya melayang jauh. Insiden beberapa hari lalu di kamar tidur mereka mengundang gundah.
Thea berdiri di hadapan cermin di bilik air. Dalam gementar dia sabar menanti. Bukan dia tidak pernah melakukan perkara itu sebelum ini. Hampir saban bulan. Setiap kali itulah dia hampa. Diperhatikan bacaan waktu di tangan. Tiga minit! Cepat-cepat diangkat alat ujian kehamilan dari atas sinki.
YOU ARE READING
Somnambulis (Tamat)
Mystery / ThrillerKelopak baldu bara rindu mangsi merah nian nyawa gugur kelopak, mengalir mangsi kesumat lerai di hujung atma. Thea kerap dibayangi mimpi ngeri. Mimpi-mimpi yang suram, menggerunkan, kerap berulang dan sentiasa mendominasi lenanya. Enggan ditakluki m...