Bab 5 - Bermula

259 37 19
                                    

RUMAH lama itu tetap sama. Kelam. Hening. Penuh misteri.  "Kenapa aku ada di sini?" Thea tertanya-tanya. Sudah lama dia tidak 'dibawa' ke situ. Seperti mimpi-mimpinya sebelum ini, cuma mentol kuning yang buram cahayanya membantu penglihatan. Dia menapak perlahan. Setiap ceruk rumah sudah tidak asing lagi buat diri.

Tiba-tiba ekor mata menangkap kilas bayang satu lembaga. Segera Thea berpaling. "Siapa?"

Senyap. Tiada respons. Thea mula rasa tidak sedap hati. Berjaga-jaga, dia melewati ruang tamu menuju ke bilik-bilik.

Satu demi satu pintu bilik yang ada di rumah itu dibuka. Penglihatan dikerah bekerja lebih keras agar dapat memerhati setiap penjuru meskipun kesuraman keadaan membataskan. Tiada sesiapa yang ditemui. Ke mana perginya lembaga tadi? Di manakah dia bersembunyi? Atau mungkin kelibat itu sekadar mainan imaginasi?

Dia berada di hadapan bilik yang terakhir. Dari balik pintu, telinga menangkap bisikan suara asing. Menahan nafas, dia memicingkan telinga.

"Kelopak baldu bara rindu, mangsi merah nian nyawa. Gugur kelopak, mengalir mangsi. Kesumat lerai di hujung atma. Kelopak merah ...."

Jantung Thea berdetak hebat. Dia yakin memang ada seseorang di sebalik pintu itu. Tanpa memikirkan risiko yang bakal didepani, tangan memulas tombol pintu.

Bunyi keriuk engsel pintu yang karat bagaikan bergema memecah hening ruang itu sebaik sahaja pintu terbuka. Belum sempat berbuat apa-apa, Thea merasakan tubuhnya dirempuh kuat! Dia gagal mengimbangkan badan.

"Argh!"

Thea tersentak. Mata dibuka luas. Tubuh yang disangka jatuh terhempas ke lantai tidak menerima sebarang impak kuat. Sebaliknya mendarat di atas permukaan lembut. Dia segera bangkit. Dia berada di atas katil. Di dalam biliknya. Bukan di rumah lama.

Thea meraup muka. Nafas dihela dalam-dalam, kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Dada yang berderau hebat cuba ditenangkan. Semangat yang terbang bercempera dihimpun sedikit demi sedikit.

Jam di meja sisi katil dipandang. Pukul dua pagi. Berkalih ke sebelah kiri, Uzayr tiada. Hanya ruang kosong yang masih rapi tidak berusik menandakan Uzayr belum masuk tidur.

"Abang?" panggil Thea. Mana tahu suaminya berada di dalam bilik air.

Tiada jawaban.

Thea keluar dari bilik menuju ke ruang tamu. Semerta lega bertandang tatkala melihat kelibat Uzayr yang tidur lenyak di atas sofa.

Perlahan-lahan Thea merapati Uzayr. Dia tersenyum sendiri. Suaminya tertidur ketika sedang membaca Tersingkap Hijab Mimpi. Novel yang separuh terbuka di atas dada Uzayr diangkat. Cermin mata yang sudah terlurut di hidung, dilucutkan lalu kedua-dua objek itu diletakkan di atas meja kopi.

Pandangan terhala ke arah karangan bunga teluki di dalam pasu di atas meja itu. Spontan senyuman yang dari tadi terukir di tampang muka Thea melebar.

Uzayr pandai membelai hati. Acap kali mengungkapkan rindu melalui jambangan bunga berkelopak merah pekat itu.

Wajah tampan sang suami ditenung penuh kasih.
"I love you so much, abang."

Bunyi suara televisyen yang terpasang memasung lamunnya. Dia mencapai alat kawalan jauh televisyen. Baru sahaja telunjuk hendak menekan butang 'Off', paparan berita lewat malam yang disiarkan membuatkan dia kaku.

"Ini susulan laporan mengenai mayat seorang lelaki berusia lewat 30-an yang ditemui di sebuah rumah lama awal pagi tadi. Mengikut siasatan awal, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai bunuh diri kerana mangsa ditemui dalam keadaan tergantung.

Somnambulis (Tamat)Where stories live. Discover now