PERBUALAN Thea dan teman baiknya, Delila terhenti seketika saat Joshua, pemilik Kafe Perindu yang biasa dikunjungi mereka datang membawa pesanan. Secawan americano, secawan cappuccino dan dua biji mufin keju krim dihidangkan di atas meja.
"Enjoy!" ucapnya.
"Terima kasih, Josh," balas Thea. Delila pula sekadar membalas dengan senyuman mesra.
"Bagaimana percutian kau dan Uzayr? Seronok tak?" soal Delila. Bicara yang tergantung sebentar tadi disambung. Sambil itu, tangan teruja membelek ompang-ompang dari Bali pemberian Thea. Seutas gelang perak berukir cantik dan bertatah batu kristal diacukan ke pergelangan tangan. Padan.
Thea senyum lebar. "Alhamdulillah. Sekali-sekala dapat lari daripada rutin dan kesibukan harian, kami seronok sangat. Dapat tukar angin tengok tempat orang tanpa perlu fikir tentang kerja."
"Baguslah. Suka hati aku dengar. Semenjak novel keempat kau keluar, aku rasa ni baru kau betul-betul rehat."
Angguk. Mufin keju krim disuapkan ke mulut.
"Oh, sebut tentang novel, boleh kau tolong aku sekejap, Del? Aku perlukan pendapat kau," ujar Thea. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari beg tangan.
Tiba-tiba pergerakannya terhenti. Hati dijengah perasaan tidak enak. Intuisi berat menghantar isyarat yang diri sedang diperhati. Thea menebarkan pandangan ke sekeliling kafe. 'Siapa?'
"Kenapa?"
"Eh, tak! Tak ada apa-apa." Cepat-cepat tumpuan dihalakan semula ke telefon.
"Kau tahukan, untuk tujuan promosi novel aku ni, pihak penerbit ada anjurkan pertandingan di Instagram. Pembaca boleh guna kreativiti masing-masing untuk muat naik gambar bersama novel dan kena letak tanda pagar #tersingkaphijabmimpi," jelas Thea.
Akaun Instagramnya dibuka. Tanda pagar yang dimaksudkan ditekan. Sejurus, terpapar pelbagai gambar dalam bentuk grid yang menggunakan tanda pagar yang sama.
"Wah, banyak juga penyertaan! Okey, yang ini kelakar," ucap Delila, menunjuk gambar seorang anak muda yang berusaha menyerupai gaya dan penampilan watak utama pada kulit buku Tersingkap Hijab Mimpi.
"Oh, comelnya budak ni!" ulasnya saat pandangan berganjak ke foto lain pula.
"Memang banyak! Lepas tu gambar masing-masing bukan calang-calang. Kim suruh aku pilih pemenang untuk pertandingan ini. Nak umum hujung minggu nanti," hurai Thea.
"Jadi, alang-alang dah jumpa kau, aku nak minta kau tolong aku tentukan siapa yang layak. Aku rambang mata. Tak tahu nak pilih mana satu," sambungnya.
"Berapa orang pemenang?"
"Semua sekali akan ada empat pemenang. Satu berdasarkan jumlah 'likes' terbanyak. Lagi tiga kita putuskan ya. Aku dah senarai pendekkan beberapa gambar. Bak sini telefon tu kejap."
Telefon bertukar tangan. Thea meneliti beberapa gambar sebelum telefon diserahkan semula kepada Delila.
"Aku paling suka yang ini."
"Mana satu?"
"Ni ha. aidahisma. Kreatif. Bersahaja. Tak terlalu mencuba," komen Delila.
"Aku pun secara peribadi suka yang ini," ujar Thea bersetuju. Kopi panas di hadapannya dihirup perlahan. Saat itulah lensa mata menangkap pantulan kelibat seseorang melalui cermin tingkap kaca. Segera dia menoleh ke belakang. Tiada sesiapa.
YOU ARE READING
Somnambulis (Tamat)
Mystery / ThrillerKelopak baldu bara rindu mangsi merah nian nyawa gugur kelopak, mengalir mangsi kesumat lerai di hujung atma. Thea kerap dibayangi mimpi ngeri. Mimpi-mimpi yang suram, menggerunkan, kerap berulang dan sentiasa mendominasi lenanya. Enggan ditakluki m...