Prolog

511 36 10
                                    

LENSA mata dikelintar mengamati keadaan sekeliling. Hati yang tidak henti berdebar diajak bertenang. Puas Thaqif Akmal memanjat doa yang tidak putus kepada Allah. 

'Ya Allah, kau pelihara dan lindungilah Thea. Jauhkanlah adikku daripada sebarang musibah. Hanya Kau tempat kami memohon belas dan perlindungan. Lindungilah Thea, Ya Allah. Lindungilah Thea.'

Dia benar-benar berharap agar Thea selamat. Semoga tiada apa yang buruk menimpa adiknya.

Setelah menerima arahan dan lampu hijau, Thaqif mempercepat aturan langkah mengikut beberapa anggota polis menyerbu sebuah kediaman di Kondominium Casa Astonia. Dia terlebih dahulu sampai di situ. Tetapi, atas faktor keselamatan, dia perlu menunggu ketibaan Inspektor Khalish dan pasukannya.

Sebaik sahaja sampai di pintu utama kediaman yang dituju, kedengaran teriakan lantang seorang wanita.

"Del! Bangun, Del! Bangun!" Jahar suara bersulam tangisan itu hingga ke luar rumah.

Semerta jenjam Thaqif tergugat. Itu suara Thea Arissa. Kerisauannya sudah berada di aras maksima. 'Apakah yang berlaku di sebalik pintu itu?'

"Del, bangun Del! Bangun! Kau buat aku takut! Bangun, Del!" Raungan Thea benar-benar membuatkan dia tidak senang duduk.

Tidak menunggu lama, pintu rumah dirempuh. Anggota-anggota polis yang bersamanya meluru masuk. Dengan pelbagai andaian buruk berlegar di kotak minda, Thaqif cuba untuk kekal tenang.

Meskipun sekadar dari luar, dia nampak dengan jelas apa yang berlaku. Di tengah-tengah ruang tamu, Thea dilihat terduduk di atas lantai dalam keadaan tidak terurus. Tangisannya bergema laksana guntur berdentum di tengah prahara.

Thaqif tersentak. Dia sama sekali tidak senang dengan situasi yang terentang di hadapan mata.

Tangisan Thea kedengaran terlalu perih. Sarat diuliti pilu. Dalam keadaan teresak-esak, dia sedang memangku seorang gadis yang tidak sedarkan diri. Kepala dan wajah gadis itu tidak jelas dek kerana lencun dibasahi pekat darah.

Kedua-dua tangan Thea, muka dan pakaiannya juga berlumuran darah. Blaus berwarna krim yang dikenakan sudah dicemari tompok-tompok merah.

Ingin sahaja Thaqif berkejar mendapatkan si adik, memeluk dan menenangkannya. Namun, apakan daya. Dia tidak boleh bertindak serampangan.

Kehadiran mereka disedari oleh Thea. Dengan mata yang berkaca, satu per satu wajah anggota polis yang berada dalam ruang itu ditatap. Cuma tatapan tanpa suara. Renungan kosong yang kadangkala bertingkah sedu.

Akhir sekali, barulah tatapan Thea terhala ke arahnya. Mengecam Thaqif, manik-manik jernih di tubir mata semakin deras jatuh. Memandang abangnya, hati Thea dipagut sayu.

"Abang ...." panggilnya dalam ngongoian hiba.

Gadis kaku dalam ribaan dirangkul. Jasad tanpa nyawa itu dipeluk erat. Tangisannya kembali bergema.

"Thea, tenang, dik. Tenang ya." Thaqif memujuk Thea dari jauh. Hanya itu yang termampu dilakukan pada masa itu. "Ingat Allah, Thea."

Thea menggeleng-geleng. Apa yang terjadi umpama merenggut tangkai jantung. Dia merasakan tubuhnya ringan, terawang-awang. Lemah. Tiada lagi daya yang tersisa.

"Abang, kita dah terlambat!" rintih Thea kesal sebelum terkulai di atas lantai tidak sedarkan diri.

Somnambulis (Tamat)Where stories live. Discover now