DELILA tersenyum mendengar bicara pemanggil di hujung talian. Jelas kebimbangan mendominasi nada suaranya. Dibiarkan si dia terus menghabiskan kata sebelum menyambung, "Kan I dah kata jangan risau. Dia memang dengan I. Nak ke mana lagi?"
Sejenak dia berdiam mendengar jawaban balas di sebelah sana. Delila ketawa kecil.
"Memanglah dia tak akan angkat. Tengah tidur. Kepenatan cari barang hantaran I tadi. Telefon dia pula tengah caj kat depan. Betul-betul risau you ni, Uzayr. Err, you nak I hantar gambar Thea tengah tidur dalam bilik tu ke?" usik Delila.
"I faham. Okey. Teruskanlah dengan kerja you. Nanti Thea bangun, I suruh dia telefon you semula."
Sebaik sahaja panggilan ditamatkan, senyuman di wajah Delila sirna. Dia menghenyakkan punggung di atas sofa. Alat kawalan pendingin hawa dicapai lalu suhu diturunkan. Biar sejuk sedikit resah hatinya.
Sambil menggeleng-geleng, Delila menaip pesanan untuk sang sahabat.
Delila:
Uzayr telefon cari kau. Aku cakap memang kau ada dengan aku, tapi tengah tidur.Thea, apa pun yang kau sedang buat sekarang ni, aku hendak kau jaga diri! Aku betul-betul maksudkannya. Jaga diri!
* * *
BUNYI dentuman yang kuat menyentak Thea. Dia segera berpaling. Penglihatan yang terbatas menyebabkan pengamatannya sia-sia. Lemas. Lelah.
Thea memejamkan mata. Nafas dihela dalam-dalam. Hati yang rancu diajak bertenang. Ini bukan kali pertama dia berdepan dengan situasi begini. Sudah acap kali. Dia sepatutnya dapat menyesuaikan diri dengan kegelapan itu. Ketakutan yang menghambat juga sewajarnya bisa ditakluki.
Jantung yang tadi berdetak kencang mula mengepam degup seragam. Teraba-teraba, langkah diatur perlahan. Penuh hati-hati. Thea tertanya-tanya, kegelapan kali ini ke mana halanya? Gudang? Lombong lama? Hospital? Atau asrama tinggal?
"Kelopak merah bara rindu, mangsi merah nian nyawa. Gugur kelopak, mengalir mangsi. Kesumat lerai di hujung atma."
Entah mengapa Thea tidak terkejut mendengar suara itu. Dia bagai dapat menduga kehadiran lelaki asing yang acap kali mengekorinya. Segera seluruh indera dikerah agar berjaga-jaga.
Dalam pada dia cuba meneka keberadaan lelaki tersebut, sekonyong-konyongnya ada tangan kekar yang memaut lehernya dari belakang. Thea tersentak. Dia bertindak pantas cuba meloloskan diri namun lengan itu menjerut lehernya tanpa belas.
"Kelopak merah bara rindu, mangsi merah nian nyawa. Kelopak merah bara rindu, mangsi merah nian nyawa. Gugur kelopak, mengalir mangsi. Kesumat lerai di hujung atma. Kelopak merah bara rindu, mangsi merah ...."
Kalimat itu dibisikkan ke telinga Thea berulang kali. Thea meronta lebih kuat. Nafasnya tersekat. Pandangan sudah berbalam. Dia sudah di hujung-hujung sedar. Tubuh dirasakan terawang-awang.
"Allah!" Thea membuka mata. Wajah runsing Delila yang mula-mula dilihat. Rupa-rupanya sentuhan Delila yang menariknya kembali ke alam jaga.
"Thea, kau mimpi lagi ke?"
Angguk. Tangan meraup muka.
"Mimpi apa? Kenapa aku dengar kau cakap pelik-pelik? Kelopak, mangsi ... atma .... Apa tu?" Dia benar-benar khuatir melihat Thea meracau-racau begitu.
Tiada respons daripada Thea. Masih mencari nafas, cuba menghimpun tenang.
"Ni ... macam mana kau boleh tidur dekat sofa ni? Bukan semalam kau tidur sebelah aku?" soal Delila hairan.

ANDA SEDANG MEMBACA
Somnambulis (Tamat)
Mystery / ThrillerKelopak baldu bara rindu mangsi merah nian nyawa gugur kelopak, mengalir mangsi kesumat lerai di hujung atma. Thea kerap dibayangi mimpi ngeri. Mimpi-mimpi yang suram, menggerunkan, kerap berulang dan sentiasa mendominasi lenanya. Enggan ditakluki m...