Bab 8 - Kelopak Rindu

45 6 0
                                        

SATU demi satu kelopak bunga teluki yang dipegang dipetik, dileraikan dari kuntuman. Kemudian, kelopak-kelopak berwarna merah pekat itu dimasukkan ke dalam sebuah mangkuk jernih berisi air. Thea ralit menatap apungan sari bunga menari mengikut pusaran air yang dibuatnya dengan jari.

Bunyi seretan kerusi dari ruang tengah rumah menandakan Uzayr sudah selesai makan malam. Dia tidak turut serta. Dibiarkan sang suami makan seorang diri walaupun berkali-kali lelaki itu mengajaknya. Pujukan dan pelawaan Uzayr langsung tidak diacuhkan.

Thea tiada angin hendak berdepan dengan Uzayr. Sejujurnya dia tersinggung. Uzayr seolah-olah tidak memahami gejolak jiwanya. Tidak membenakan letak duduk hati yang amat terdera tatkala disuguhkan berita-berita pembunuhan yang berkait rapat dengan Tersingkap Hijab Mimpi.

Hubungan mereka belakangan ini menjadi semakin tegang. Mereka kerap berbalah. Semua berpunca daripada keinginan Thea yang berkeras mahu menyiasat kes pembunuhan bersiri sehingga ke akar umbi. Sedangkan Uzayr pula bersungguh-sungguh mengehadkan penglibatannya setelah mereka ke balai polis beberapa hari yang lalu.

Thea buntu. Selagi si pembunuh tidak ditangkap dan diheret ke muka pengadilan, selagi itu dia tidak dapat berlapang dada.

Menyedari Uzayr datang menghampiri, jemarinya semakin giat meleraikan kelopak-kelopak teluki. Rasa tidak puas hati terhadap si suami dilempiaskan dengan cara sedemikian. Ekspresi diri yang sedang melayan emosi.

Uzayr memandang wajah muram Thea sekilas sebelum meletakkan sepiring kuih-muih dan kole berisi air coklat panas di atas meja kopi. Dia melabuhkan punggung berhampiran Thea.

"Makan kuih tu, sayang. Dari tadi abang tengok sayang tak jamah apa-apa pun," tutur Uzayr. Beberapa kelopak teluki yang jatuh di atas lantai dikutip. Spontan dimasukkan ke dalam mangkuk jernih berair yang sedari tadi menjadi bahan mainan isteri.

"Masa mula-mula kita kenal, abang pelik bila dapat tahu teluki ni bunga kegemaran sayang. Kalau orang lain sukakan bunga mawar, bunga lili, pilihan nombor satu sayang tetap teluki merah." Uzayr mengimbau kenangan lama, cuba mengumpan Thea agar berbual dengannya.

Tiada respons.

"Ada satu tahun tu, masa hari lahir sayang, boleh pula tak ada bunga teluki di kedai bunga. Kenapa entah. Abang tak akan lupa, puas satu KL ni abang pusing semata-mata nak dapatkan jambangan teluki. Berpeluh-peluh abang dibuatnya," sambung Uzayr bersulam tawa. Kedengaran canggung bunyi tawanya apabila cuma disahut hening suasana.

"Thea ...." Kali ini intonasi suaranya berubah serius.

Thea mengangkat muka memandang Uzayr. Hanya pandangan hampa tanpa bicara. Sekuntum bunga teluki dicapai lalu dipetik lingkaran kelopak paling luar.

"Abang percaya Thea," bisiknya perlahan. Kelopak yang terpisah dari tangkai dilepaskan. Satu lagi kelopak dipetik. "Abang tak percaya Thea ...."

"Abang percaya Thea ... abang tak percaya Thea." Itulah yang diulang silih berganti sehinggalah ke kelopak yang terakhir.

"Abang tak percaya Thea," ujar Thea lirih, meletakkan tangkai bunga yang gondol di atas riba Uzayr.

Saat tangannya hendak mengambil sekuntum bunga lagi, lembut Uzayr menahan.

"Thea, kenapa bersikap begini? Thea buat abang risau."

Diam.

"Sampai bila Thea nak marah pada abang? Cakap dengan abang, sayang. Kita bincang elok-elok." Tubuh Thea ditarik rapat ke dalam dakapan.

"Abang tak percaya, Thea."

"Siapa cakap abang tak percaya?"

"Tapi abang larang Thea siasat siapa dalang di sebalik semua pembunuhan tu."

"Kita sudah lapor pada polis. Thea sendiri dah beberapa kali ke balai untuk bantu siasatan. Apa lagi? Selebihnya bukan dalam bidang kuasa kita. Biarlah pihak polis lakukan kerja mereka."

"Abang tak percaya Thea, kan? Abang ingat Thea gila, kan?" Tubuh dikalih menghadap Uzayr. Sepasang matanya tunak menentang redup tenungan sang suami.

"Astaghfirullah al-Azim. Apa sayang cakap ni? Tidak ada siapa yang cakap Thea gila. Abang percaya pada Thea. Abang Thaqif, Tsara, ibu ... semua percaya pada Thea."

"Habis tu kenapa tak izinkan Thea terus cari pembunuh tu? Kenapa? Kenapa nak biarkan pembunuh tu terus bebas?" duga Thea.

"Sayang, boleh tak bertenang? Jangan diikutkan sangat perasaan tu." Uzayr berdiplomasi, mengajak Thea agar tidak terlalu mengikut rentak amukan hati.

"Perkara ini tidak semudah yang sayang fikirkan. Sayang hendak cari pembunuh tu, hendak cari di mana? Bagaimana? Cuba beritahu abang.

Siapa dia pun kita tak tahu. Kita tiada klu. Tak ada bukti nak syak sesiapa. Kita serahkan sahaja semuanya pada pihak polis. Tahulah mereka bertindak. Sayang dah kongsi semua maklumat yang sayang rasa boleh bantu siasatan. Sayang dah mainkan peranan sayang. Sekarang ni kita tunggu dan lihat."

"Maksud abang, kita tunggu dan lihat sampai pembunuh tu bunuh mangsa seterusnya?" Nada Thea seolah-olah mencabar Uzayr.

Uzayr cuma menggeleng. Enggan menghangatkan lagi bara perselisihan yang kian marak. Wajah Thea direnung penuh kasih.

"Sayang pernah fikir tak, apa rasionalnya abang tak mahu sayang terlibat lebih jauh lagi?"

Diam. Anak mata dilarikan. Tidak mahu bersabung pandang dengan Uzayr dalam keadaan dirinya yang sedang memendam marah. Dia khuatir andai terlepas kata atau tingkah yang boleh memburukkan lagi situasi antara mereka.

"Abang tanya ni," aju Uzayr.

Masih tiada balasan. Hakikatnya Thea malas melayan pertanyaan Uzayr. Itu bukan masa yang tepat untuk sesi soal jawab. Masa yang ada sepatutnya diperuntukkan untuk menjejak penjenayah sadis berhati kering yang mungkin sedang sibuk memburu mangsa seterusnya.

Menerima reaksi negatif daripada Thea, Uzayr melepaskan keluhan kecil. Perlahan-lahan dia menangkup pipi Thea dengan kedua-dua telapak tangan. Dahi isteri dikucup lembut.

"I love you. Abang buat semua ini ... halang sayang, tidak izinkan sayang untuk teruskan siasatan sebab abang sayang Thea," jelasnya. Seraut wajah tirus itu ditatap, mengharapkan sebuah pengertian.

"Abang khuatir akan keselamatan Thea. Abang percaya semua pembunuhan tu berdasarkan Tersingkap Hijab Mimpi. Abang risau sebenarnya. Mana tahu, di sebalik keghairahan dan kegilaan penjenayah itu dalam memastikan pembunuhan-pembunuhan dalam novel sayang menjadi realiti, dia akan turut terpancing untuk mengenali siapa di sebalik Tersingkap Hijab Mimpi.

Mungkin dia memuja sayang ... atau setidaknya menganggap yang cara kalian berfikir sama.

Inilah antara perkara yang menjadi ketakutan abang dan Abang Thaqif. Kami bimbang, jika sayang campur tangan, nyawa sayang akan turut terancam," terang Uzayr. Sekarang ini pun hati sentiasa dijerut kebimbangan memikirkan keselamatan isterinya.

Solusi terbaik, penglibatan Thea biarlah di tahap paling minima. Jika boleh dia mahu Thea hilang dari radar Tersingkap Hijab Mimpi. Langsung tidak dikaitkan dengan novel tersebut. Tetapi, perkara itu muhal sama sekali. Nama Thea dan Tersingkap Hijab Mimpi saling bersandaran.

"Tolong faham abang, sayang. Macam mana kalau isteri kesayangan abang ni jadi sasaran pembunuh tu? Abang sayang Thea. Abang cintakan Thea. Abang tidak mahu ada apa-apa yang buruk menimpa sayang."

Tanpa sepatah kata, Thea bangkit dari kerusi lalu beredar meninggalkan Uzayr sendirian.

Uzayr meraup muka sembari melepaskan hela nafas. Mati akalnya memikirkan bagaimana hendak menangani Thea.

Sorotan mata terhenti pada kelopak-kelopak merah yang berserakan di atas meja. Entah mengapa, saat terpandangkan cebisan-cebisan merah itu, hati disapa rasa kurang enak.

Somnambulis (Tamat)Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang